Opinion

Membina harapan dari ‘retreat’ PAS

Setelah berbulan-bulan mengalami krisis dalaman yang berat, akhirnya ada khabar yang sangat melegakan, 'retreat' dua hari pimpinan PAS Pusat berhasil merongkai pelbagai masalah.

Bukan itu saja, tetapi bersetuju bukan saja kekal dalam Pakatan Rakyat, bahkan berikrar memperkukuhnya di masa depan untuk mendepani cabaran dan memenuhi harapan rakyat.

Berita baik dari hotel di Kuala Selangor, tempat 'retreat' itu diadakan, tentunya disambut dengan rasa shukur kepada Ilahi kerana krisis berat itu dapat diselesaikan. Ini menggambarkan jiwa besar para pimpinan PAS.

Pertamanya kerana bersedia bertemu wajah sesama pemimpin, kedua bersedia berbincang yang khabarnya dalam suasana penuh ukhuwah Islamiyah dan ketiga, usaha mengadakan pertemuan penting ini menggambarkan keperihatinan pemimpin supaya krisis ini berakhir segera dan keempat, keperihatinan pemimpin juga terhadap desakan warga PAS dan para simpatisan supaya krisis ini diakhiri segera.

'Retreat' yang melibatkan AJK PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama ini mencapai kata sepakat, sebulat suara akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat.

Keputusan ini suatu langkah yang tepat, tidak undur ke belakang, malah percaya masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Keputusan ini sangat melegakan banyak pihak, terutama di kalangan warga PAS sendiri setelah mereka membaca dan mendengar pelbagai kenyataan seperti “Kita akan kaji kedudukan kita dalam Pakatan,” “Kita melihat jika berada dalam Pakatan tidak menguntungkan Islam maka kita akan kaji semula kedudukan kita” dan pelbagai lagi kenyataan negatif yang menggambarkan rasa ragu-ragu berada dalam Pakatan Rakyat.

Maka itu dengan keputusan yang diambil oleh pimpinan di 'retreat' itu segala keraguan ini sudah terjawab dan kita yakin ia tidak akan berbangkit lagi.

PAS mengadakan retreat itu ketika suasana parti itu berkecamuk dengan isu perbezaan pendapat di kalangan pimpinan dan ahlinya selepas isu pertukaran menteri besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Mohamed Azmin Ali.

Hampir semua pemimpinnya menyertai 'retreat' itu, di mana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan kertas kerja utama, iaitu mengenai pelaksanaan Islam di negara demokrasi yang selalu menjadi isu antara PAS dengan rakannya dalam Pakatan khasnya DAP.

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub pula menyampaikan kertas kerja mengenai hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat.

"Kita mencapai satu kemajuan yang baik apabila segala perbezaan pendapat di kalangan pimpinan dinyatakan dalam program ini dan dibincangkan dengan terbuka," kata seorang AJK PAS Pusat kepada The Malaysian Insider.

Namun begitu, katanya, samada keseluruhan isu boleh diselesaikan atau tidak terserah kepada semua yang hadir untuk menyampaikannya ke peringkat bawah.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata pertemuan kali ini mendengar semua harapan rakyat kepada Pakatan sebagai kerajaan akternatif dan akan menyelesaikan segala masalah yang timbul dengan rakan-rakannya.

"Kami akan bekerja sekuat mungkin untuk memperkukuhkan Pakatan walaupun apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katannya.

Beliau dipercayai merujuk kepada perbicaraan Anwar di hadapan Mahkamah Persekutuan yang berakhir Jumaat lalu, tetapi keputusan mengenainya akan diketahui kemudian.

Kita yakin, krisis dalaman PAS akan berakhir segera selepas ini justru rakyat sangat menantikan pencerahan parti itu, malah diharapkan ia tidak akan berulang lagi.

Mereka mahukan PAS kembali membina kedudukan yang kukuh, malah mengambil peranan utama, dalam Pakatan Rakyat. Ini kerana PAS mempunyai keahlian 1.3 juta orang dan sudah mempunyai pengalaman 63 tahun.

Dengan hasil 'retreat' itu, maka warga PAS, malah di kalangan penyokong PAS juga mengharapkan supaya pelbagai kekecohan yang tercetus dalam muktamar PAS di Johor September lalu itu tidak akan berulang lagi dalam muktamar akan datang.

Ini kerana apa yang berlaku itu sangat merosakkan imej dan persepsi rakyat terhadap PAS.

Diharapkan Muktamar Tahunan PAS Ke-61 yang dijangka diadakan pertengahan tahun depan akan berjalan lancar dan penuh harmonis.

Tidak akan ada lagi kempen sama ada di Facebook, WhatsApp, SMS, pertemuan sulit untuk berkempen calon pimpinan tertentu yang disokong dengan cara yang terkeluar dari akhlak Islam. Ini kerana pada tahun depan adalah tahun pemilihan pucuk pimpinan PAS.

Laksanakanlah proses pemilihan secara harmonis, justru masyarakat akan melihat perjalanan muktamar itu nanti. Pilihlah calon pimpinan yang dikira mempunyai kualiti tinggi dari segi prestasinya, ilmunya, pandangan jauhnya, keterbukaannya, pandangan politiknya yang terkini dan keterampilannya.

Untuk itu saya teringat lagi ucapan wakil Johor itu, ustaz Zul Hilmei Mohamad Rohani yang mencadangkan supaya PAS memulakan inisiatif membuka sessi dialog yang berterusan di dalam parti termasuk pelbagai perbahasan ilmiah, debat dan forum serta diskusi.

Kata Zul Helmei, kita tidak perlu risau akan perbezaan pandangan ini, kerana berbeza pendapat ini jika boleh diuruskan dengan baik dan bijaksana akan menjadi aset pada parti bukan membawa keruntuhan padanya.

Beliau mencadangkan supaya menjelang pemilihan kepimpinan parti dalam muktamar akan datang maka sebagai langkah permulaan PAS mempraktikkan dialog antara ahli parti.

Oleh itu, katanya, PAS perlu menyediakan pentas debat, diskusi, forum dan dialog serupa ini menjelang muktamar, supaya para ahli boleh memilih barisan kepimpinan yang mantap, mempunyai visi dan misi, yang terserlah kebolehannya dalam jamaah.

“Jika ini dapat dilakukan terutamanya bagi pemilihan jawatan penting parti, maka PAS akan mempunyai satu set kepimpinan yang lebih dinamik untuk masa depan selain dari kita akan menjadi tok guru kepada demokrasi di Malaysia, yang memilih kepimpinan melalui perbahasan intelektual,” katanya.

Kesimpulannya, dengan hasil 'retreat' pimpinan PAS minggu lalu itu yang dilihat sangat menjanjikan, kita merasa optimis bahawa masa pencerahan PAS akan kembali semula dengan segala kekuatan dan kewibawaannya seperti masa lalu. -- 11 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments