Saya sama sekali tidak terkejut, malah dapat memahami kenyataan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang menasihatkan agar masyarakat Melayu tidak taksub dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bangsa itu kini semakin terancam.
Ini kerana, menurut pendapat saya, sasterawan yang satu ini bukan saja sebagai penulis kawakan, tetapi juga seorang pemikir yang mengamati dengan amat serius apa yang berlaku di tengah masyarakatnya.
Novel dan puisinya menjadi jurubicaranya berkomunikasi dengan rakyat mengenai kehidupan rakyat Malaysia.
Maka itu beliau amat terkesan dengan apa yang berlaku dan yang didengar dan dibacanya selama ini.
Katanya, masyarakat perlu memahami Malaysia diperintah pemimpin Melayu yang turut mewakili parti yang dikatakan memperjuangkan bangsa itu.
Oleh itu, Pak Samad hairan, kerana masih timbul dakwaan kononnya kedudukan orang Melayu kini terancam, lalu beliau berharap masyarakat Melayu janganlah terlalu taksub dengan kata-kata orang Melayu sedang terancam.
Demikianlah pandangan beliau yang melihat Melayu dalam dilema di tengah situasi masa kini, di mana jeritan perkauman yang tidak henti-hentinya melatari keadaan politik masa kini.
Lama sebelum ini, seorang lagi penyair ternama, Sasterawan Negara Usman Awang menulis puisinya mengenai bangsa Melayu. Antara baik-bait puisinya yang mengesankan itu ialah:
Melayu
Baiknya hati Melayu itu
Tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
Demikian pandangan dua sasterawan besar yang melihat dan memikirkan perihal Melayu dengan segala keluh kesahnya. Selama ini memang demikian ramai yang membicarakan persoalan Melayu ini dari pelbagai sudut.
Ini termasuklah allahyarham Pendeta Za'aba, intelektual ternama, yang mengupas malah mengkritik orang Melayu, di tahun 1950-an lagi, yang menurutnya malas berfikir dan berusaha.
Tun Dr Mahathir Muhamad juga mengkritik Melayu yang menurutnya 'mudah lupa'. Ironinya, majoriti orang Melayu yng dikritiknyalah yang menjadi penyokong tegar Umno/BN hingga memerintah sekian lama.
Sehubungan itu, ada pandangan yang sangat menarik mengenai Melayu ini iaitu daripada tokoh pemikir Islam terkenal, Dr Siddiq Fadhil, presiden Wadah (Wadah Pencerdasan Ummah Malaysia) dan juga sebagai presiden Kolej Dar al-Hikmah (KDH) sebuah kolej swasta yang ditubuhkan di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), beliau melihat dan menilai Melayu daripada perspektif Islam.
Beliau menulis khusus sebuah buku yang sangat mengesankan yang membahaskan kedudukan Melayu dan Islam, malah bukunya itu sendiri berjudul 'Islam dan Melayu'.
Beliau melihat daya maju sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh faktor budaya yang teguh dan kepimpinan yang tangguh. Untuk memacu daya maju bangsa Melayu, budayanya harus diperkasa dengan nilai kudus kewahyuan daripada Al-Quran dan Sunnah, katanya.
"Dengan demikian bangsa ini akan menjadi umat yang berjaya menepati kata al-falah, kejayaan hakiki duniawi-ukhrawi. Laungan azan hayya `ala 'l-falah (mari bersama meraih kejayaan) yang berkumandang setiap hari bekali-kali itu seharusnya diangkat menjadi salah satu nilai utama pembentuk winning mind-set dan seterusnya pembina orientasi kejayaan (success orientation) yang kuat di kalangan umat," katanya.
Yang kita aspirasikan, kata Dr Siddiq, ialah bangsa berjaya yang benar-benar berjaya, bukan bangsa yang berlagak sebagai bangsa yang berjaya dengan berbelanja besar membeli barang perhiasan mewah bangsa yang berjaya, buying the ornaments of success.
Menurutnya, Melayu perlu dibangun dengan nilai murni keagamaan, bukan dengan sentimen perkauman sempit. Melayu ideal adalah Melayu yang Islamis, bukan Melayu yang rasis, katanya.
Melayu yang Islamis, menurur Dr Siddiq, adalah Melayu yang berakhlak mulia, kaya dengan rasa kasih kemanusiaan, setia menjunjung nilai ukhuwah, persaudaraan dalam erti luas merentasi batasan ras dan agama, ukhuwah yang meliputi ukhuwah Islamiyyah (persaudaraan seagama), ukhuwah wataniyyah (persaudaraan setanahair) dan ukhuwah insaniyyah (persaudaraan kemanusiaan).
"Untuk merealisasikan gagasan Melayu yang menepati ciri khayra ummah, kita memerlukan pemimpin yang membina bangsa, bukan 'pemimpin' yang membesar diri dan memperkaya kroni. Bangsa Melayu perlu bijak memilih pemimpinnya yang mampu melaksanakan misi pemberdayaan bangsa, pemimpin-pendidik-teladan yang menghayati nilai murni yang diperjuangkannya," katanya.
Dengan kata lain, tambahnya, kita memerlukan mekanisme pengangkatan pemimpin yang dapat menjamin terangkatnya orang yang terbaik dalam pengertian pemimpin berkualiti integriti moral, kekuatan daya fikir, stamina kerja kuat, menyintai ilmu dan menyayangi rakyat, menepati konsep al-Imam al-`adil (pemimpin adil).
Ini kata Dr Siddiq, sebagaimana yang dihuraikan al-Imam Hasan al-Basriy dalam risalah jawapannya kepada permintaan Umar ibn Abd al-Aziz, mujaddid abad pertama Hijriah yang diiktiraf sebagai Khamis al-Khulafa' al-Rashidin.
Bangsa ini, kata Dr Siddiq lagi, akan bangkit sebagai umat yang gagah dan bermaruah dengan pemimpin yang empowering and inspiring dan sekarang adalah saatnya kita memikirkan dengan jujur tentang kualiti kepimpinan yang seperti itu.
Itulah dia perihal bangsa Melayu di mana kehadirannya terus diperkatakan. – 18 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments