Opinion

Menggempur pemikiran rasis sejak 30 tahun

30 tahun lalu, melalui Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-30 iaitu pada 13 April 1984, di Alor Setar, Kedah, PAS memilih tema “Menggempur Pemikiran Asabiyah (Perkauman)” kerana pada waktu itu semarak perkauman yang ditiupkan oleh Umno/BN begitu kencang sekali.

Ucapan dasar tersebut yang disampaikan oleh Yang Dipertua Agung PAS (Presiden), Yusuf Rawa menggariskan kejahatan perkauman di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Antaranya beliau mengambil contoh mengenai asobiyyah di negara Arab di mana dengan fahaman perkauman Arab yang sempit itu negara Arab sepakat, bersekongkol dengan Eropah menentang Kerajaan Khalifah Uthmaniyah Turki.

Pemimpin sekular tentera Turki, Mustafa pimpinan Mustafa Kemal Attaturk memimpin gerakan menentang kerajaan Uthmaniyah hingga tumbang pada 1924. Kesan sejarah pahit perebutan perkauman bangsa Arab ini dirasakan hingga kini.

Di rantau ini – khususnya di Malaysia - Umno/BN meneruskan sikap perkauman ini hingga kini di mana akibatnya, perpecahan yang parah sedang berlaku. Negara kehilangan arah dan keadaan tidak menentu.

Tidak sehari pun yang sunyi daripada ledakan isu perkauman yang diteriak pelbagai pihak, terutama sebelum pilihan raya, malah selepas pilihan raya dalam nada yang sangar mengerikan.

Maka, saya berpendapat, dalam suasana yang begini dan sangat mencemaskan, sewajarnya Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Johor Baru pada September akan datang, kita meninjau kembali Ucapan Dasar Presiden PAS 30 tahun lalu.

Penekanan semula perlu diberikan dan memperbaharui usaha menggempur pemikiran perkauman itu dalam karangka yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

Meneliti kembali ucapan dasar yang disampaikan oleh Yusuf Rawa 30 lalu itu kita melihat pandangan dan hujahnya menentang perkauman sangat relevan hingga hari ini. Pandangan 30 tahun tidak berubah.

Perlu difahami perkauman melibatkan emosi, nostalgia masa lampau, kedudukan bangsa Melayu itu sendiri yang menjadi penduduk majoriti di negara ini, asal usul dan sejarah mereka sebagai pribumi negara ini.

Inilah latar belakang dan suasana yang menyuburkan fahaman perkauman terutama di kalangan penduduk luar bandar.

Dengan watak orang Melayu yang lemah lembut, berbudi bahasa, mengenang budi, di mana budi dibawa mati, maka sukar untuk percaya mereka bersikap prejudis kepada orang bukan Melayu.

Malangnya keadaan ini terjadi apabila ada hembusan udara politik parti dalam usaha mengekalkan kuasa maka elemen perkauman sempit digunakan.

Dengan propaganda pemimpin politik perkauman sempit – atas kepentingan politik mereka – menyebabkan orang Melayu sentiasa rasa terancam dan tidak selamat berdepan dengan kedudukan ekonomi kaum lain, umpamanya.

Padahal, Malaysia yang makmur membuka peluang seluas-luasnya kepada semua rakyat untuk mencari rezeki, bahkan menjadi kaya pun tiada halangan, dengan syarat mereka berusaha keras bersama dengan kaum lain.

Meninjau dan membandingkan keadaan 30 tahun lalu seperti dalam ucapan dasar Yusuf Rawa, keadaan masa kini lebih parah lagi, di mana isu perkauman menjadi modal politik yang sangat ampuh digunakan oleh pihak tertentu dengan segala kepentingannya untuk terus mendapat keuntungan politik dan berkuasa.

Ini trend yang berterusan dan sangat merunsingkan di mana kita sangat bimbang trend perkauman ini akan meruntuhkan ketenteraman dan keharmonian semua kaum.

Maka itu melalui Muktamar di Johor Baru itu nanti, PAS sebagai parti yang berpaksikan Islam dan menentang perkauman sewajarnya memberikan penekanan yang sungguh-sungguh, dengan usaha terancang dan berterusan menentang pemahaman asabiyah ini.

Isu perkauman ini sangat bersemarak diteriakkan di kawasan pedalaman kerana di sanalah subur dan kukuhnya fahaman seperti ini, justeru isu perkauman ini menjadi modal politik yang ampuh bagi parti memerintah untuk mempertahankan kuasa politik mereka.

Adapun sebahagian besar generasi lama di bandar dan semi bandar masih terpengaruh dengan fahaman perkauman ini, antara lain kerana faktor sejarah.

Generasi ini dengan pemikiran lama mereka dan kurang terdedah dengan apa yang berlaku masa kini serta kurang memahaminya menyebabkan kebanyakan bukan saja enggan menerima perubahan, tetapi menentang perubahan.

Ini disebabkan, antara lain, mereka mendapat maklumat yang sangat terbatas – melalui media tradisional dan kurangnya pendedahan.

Bagaimanapun, kita yakin generasi baru yang ada sekarang serta golongan terpelajar – di mana golongan ini semakin besar jumahnya akan bersama-sama menentang pemikiran asabiyah ini.

Generasi baru ini terdidik dalam dalam suasana yang sangat terbuka, bersikap rasional, berimbang. Melihat sesuatu isu tidak dari kaca mata perkauman.

Ini tentu sangat menolong usaha PAS untuk melihat sesuatu tidak berdasarkan perkauman.

Sementara itu, hadis sahih daripada Nabi Muhammad tegas menyebut: “Bukan dari umatku, mereka yang menyeru kepada asabiyah.” Penegasannya itu disertai sekali dengan contoh sikapnya yang tidak perkauman ketika memimpin umat di Madinah.

Di sini kita wajar merenung kembali pesan penting pemimpin PAS mengenai kedurjanaan asobiyyah ini seperti yang diungkapkan oleh Yusuf Rawa. Maka jangan sesekali ia dibiarkan berlalu.

Kata Yusuf Rawa:“Kecenderungan menolong orang Melayu dari kalangan pemimpin Melayu tidak seharusnya melampaui batas kebenaran dan keadilan. Kecenderungan itu tidak seharusnya dilayani sehingga membenarkan kezaliman, pembaziran, perlindungan ke atas penjenayah dan rasuah.”

Begitu juga, katanya, pembaziran, kezaliman, rasuah dan penyelewengan tidak seharusnya dibiarkan menjadi rintangan dalam usaha memperbaiki kehidupan orang Melayu.

Semoga Muktamar Tahunan PAS di Johor Baru akan mempertegaskan kembali komitmen PAS menentang perkauman dengan pelbagai saranan dan langkah, justeru perkauman itu satu kejahatan. – 24 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments