Ketika pelbagai pihak bercakap mengenai kepimpinan – kepimpinan yang baik dan buruk – sejak zaman berzaman, tentu sekali umat Islam tidak lupa akan kepimpinan khalifah Islam yang ke-2, Abu Bakar Al-Siddiq.
Lebih-lebih lagi ramai yang masih mengingat ucapan sulung Abu Bakar ketika berdiri di atas mimbar, di depan ummah.
Katanya: “Aku bukanlah orang yang terbaik di antara kamu, tetapi kerana kamu semua memilih aku, maka aku akan melaksanakan kewajipanku semampu mungkin. Jika aku salah perbetulkan, jika aku melakukan kerja dengan betul, bantulah aku.”
Ucapan klasik daripada tokoh ini menjadi mercu tanda akan keluasan pemikiran dan visi kepimpinan Islam yang tidak ada tolok bandingnya, selepas Nabi Muhammad.
Maknanya, sebagai pemimpin yang dilantik, Abu Bakar mendedahkan dirinya kepada teguran, pandangan berbeza, malah kritikan daripada ummah.
Dalam situasi yang ada sekarang, siapakah pemimpin yang mampu menawarkan dirinya untuk menghadapi pandangan yang berbeza, teguran ataupun kritikan?
Tentu sekali sangat sukar ditemui malah para pengkritik akan berdepan pelbagai ancaman dan sebagainya daripada sang pemimpin.
Kepimpinan yang bersikap sangat terbuka ini wujud di dalam Islam sejak kepimpinan Nabi Muhammad yang sentiasa meraikan pandangan berbeza dari para sahabat dalam sepanjang sejarahnya.
Selepas kewafatan Nabi Muhammad, muncul kepimpinan Abu Bakar Al-Siddiq dan kemudian Umar Al-Khattab, khalifah Islam yang kedua, yang bersedia menerima kritikan.
Bahkan, pada suatu hari ketika Khalifah Umar berucap di atas mimbar, seorang rakyat biasa dengan memegang pedang, memberitahu Umar dengan suara tegas:
“Umar, jika engkau menyeleweng, tidak memimpin secara adil, pedang ini akan mengajar engkau.”
Sayidina Umar tidak terkejut, tidak juga marah tetapi segera menjawab:
“Aku bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada orang ini, kerana ada orang yang ikhlas, berani mengingatkan aku.”
Sepanjang sejarah dunia, sejak zaman berzaman, belum ada peristiwa secemerlang ini seperti dalam peristiwa Sayidina Abu Bakar dan Umar Al-Khattab ini, yang menyerlahkan manifestasi keunggulan kepimpinan generasi pertama Islam.
Dua tokoh ini adalah pendamping setia Nabi Muhammad, yang mengajarkan sikap terbuka, mendengar pandangan berbeza, mengajarkan supaya pemimpin bersikap adil, mengasihi ummah merentasi suku dan kabilah, menjauhi perkauman.
Ertinya Islam menyediakan role-model kepimpinan Islam untuk dicontohi. Walaupun Abu Bakar hanya menjadi khalifah selama lebih kurang 2 tahun dan Umar 12 tahun tetapi kecemerlangan kepimpinan keduanya itu hingga kini tidak tolok bandingnya.
Kedua-dua tokoh terbilang ini mempunyai integriti tinggi, yang pernah dilahirkan dunia Islam disebabkan kedua tokoh ini tidak mempunyai sebarang kepentingan duniawi, melainkan melaksanakan amanah yang diletakkan di pundak mereka kerana kata Sayidina Umar “aku akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya di akhirat nanti.”
Sebab itu ketika dicadangkan beberapa sahabat supaya Umar melantik anaknya Abdullah, menggantikannya sebagai khalifah nanti, lalu Umar menjawab: “Cukuplah aku seorang memikul tanggungjawab seberat ini.”
Di sinilah, baik di Timur mahupun di Barat, wujud pemimpin yang sehebat ini, yang dibentuk Nabi Muhammad sendiri, yang mengajarkan erti amanah dan tanggungjawab.
Demokrasi memang berkembang di Barat, terutama sejak zaman pencerahan tetapi di samping demokrasi yang subur di sana, muncul juga para pemimpin yang korup silih berganti, skandal demi skandal baik di Eropah mahupun di Amerika.
Kini dunia moden – Timur dan Barat – dengan segala kecanggihan teknologi, wujud pelbagai jenis pemimpin – diktator atau semi diktator ataupun sedang dalam pembentukan sebagai diktator, bersikap aneh, gelojoh, korup dan pelbagai lagi, harta rakyat dan negara menjadi hartanya.
Sering kita mendengar, para pendakwah mengulang-ulang menyebut kepimpinan cemerlang 2 khalifah Islam yang masyhur itu – keadilan, keterbukaan dan kasih sayangnya kepada ummah.
Namun apa yang disaksikan di tengah masyarakat, kepimpinan yang demikian tidak juga lahir, bahkan keadaan semakin gawat.
Sementara itu, diktator dalam istilah yang umum adalah seorang pemimpin negara yang memerintah secara otoriter/tirani dan menindas rakyatnya.
Diktatorisme adalah sebuah fahaman yang ertinya diambil daripada kata ‘diktator’ ertinya orang yang memerintah suatu negara/pemerintahan dengan hak-hak dan kekuasaan absolut dan –isme yang bererti pemahaman.
Maka disimpulkan diktatorisme adalah sebuah fahaman yang dianut suatu negara untuk dipimpin seorang pemimpin otoriter yang mempunyai hak dan kewajiban absolut.
Walaupun sepanjang sejarahnya, pemerintahan diktator seperti ini banyak terjadi di Eropah dan Amerika Latin, tetapi secara umumnya pemerintahan demokrasi sangat sukar berkembang subur, terutamanya di Dunia Ketiga atas pelbagai sebab.
Ini pernah ditegaskan sendiri oleh bekas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Botrus- Boutrus Ghali, yang mengatakan:
“Demokrasi sangat sukar berkembang di Dunia Ketiga atas pelbagai sebab.”
Namun di Indonesia, menerusi langkah bekas presiden ketiganya, BJ Habibie, membukakan seluas-luasnya demokrasi dan pilihan raya bebas, menyebabkan negara itu hingga kini menikmati demokrasi seluas-luasnya.
Kerana itu negara 240 juta rakyat itu sangat subur demokrasinya jika dibandingkan dengan zaman pemerintahan Order Baru, di bawah diktator Presiden Soeharto.
Tidak mudah melahirkan, walau seorang pemimpin demokrat seperti BJ Habibie yang walaupun dikalahkan kawan-kawannya sendiri apabila ucapan penanggung jawapannya ditolak di Parlimen.
Tetapi beliau berundur bukan sebagai orang kalah. Justeru, membuka ruang demokrasi seluas-luasnya untuk Indonesia, malah wajar dicontohi negara lain.
Ertinya di sini, Indonesia mempunyai kemampuan melahirkan seorang pemimpin demokrat, berintegriti tinggi.
Inilah contoh kepimpinan di abad ini. – 22 Disember, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments