Opinion

Mimpi ngeri gabungan Umno-PAS

Masih tidak habis kita mendengar desakan, gesaan, seruan dan seumpamanya supaya PAS bekerjasama atau bergabung dengan Umno, kononnya demi survival orang Melayu.

Kononnya juga jika PAS-Umno tidak bersatu, dibimbangi orang Melayu akan menjadi Red Indian di tanah air mereka sendiri.

Menurut mereka yang mendesak ini, ancaman terhadap orang Melayu tidak pernah seserius ini sepanjang sejarah kaum di negara ini.

Menurut para pendesak itu lagi, jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya, PKR dan PAS tidak akan dapat ‘mengawal’ DAP seperti cara Umno "mengawal cita-cita MCA dan Gerakan".

Desakan seumpama ini bukan baru kedengaran, tetapi sejak puluhan tahun, iaitu tidak habis-habis pemikiran supaya Umno-PAS bergabung.

Perlu diingat, selepas diadakan retreat peringkat pemimpin tertinggi PAS di Kuala Selangor beberapa minggu lalu untuk menyelesaikan masalah dalaman parti, pemimpin PAS memperbaharui ikrar akan terus berada dalam Pakatan Rakyat, bahkan akan terus memperkukuhkannya. Maknanya tidak ada masalah PAS bersama Pakatan.

Ikrar pemimpin PAS ini tentu menghampakan harapan musuh politik PAS dan para pendesak yang menuntut supaya PAS bergabung dengan Umno demi perpaduan Melayu/Islam.

Saya yakin, pendukung PAS menganggap gabungan itu hanya "mimpi ngeri", di mana realitinya adalah mustahil.

Apa perlunya PAS-Umno bergabung, kerana kehadiran PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat sudah terbukti mempunyai kemampuan mempertahankan kedudukan politik Melayu di negeri yang ditadbirnya seperti Selangor dan Kelantan, walaupun ada yang menafikannya.

Malah di Pulau Pinang, walaupun kerajaan di negeri itu berada di bawah pentadbiran DAP, tetapi realitinya, kedudukan orang Melayu sama sekali tidak terancam. Ini kerana ia diperintah secara adil, walaupun pihak musuh PR siang malam tidak henti-henti memberi gambaran buruk kononnya berlaku diskriminasi terhadap orang Melayu di sana.

Oleh itu, saya yakin tidak akan berlaku gabungan antara Umno/PAS, kecuali ditakdirkan berlaku keadaan yang sangat luar biasa, yang tidak disangka-sangka, iaitu di luar bacaan politik biasa.

Namun, seperti saya katakan, gabungan antara Umno/PAS itu hanya mimpi ngeri.

Seingat saya, sebanyak empat kali PAS mengadakan muktamar tahunannya yang mempertegaskan komitmen PAS, ia akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

Maka itu, betapa nyaring pun seruan supaya PAS-Umno bergabung, ia tidak akan berlaku atas pelbagai sebab dan hujah munasabah yang diketahui umum sejak puluhan tahun.

Bahkan pemimpin ulung PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat berkali-kali menyatakan "selagi ambo masih ada hayat, PAS tidak akan bergabung dengan Umno".

Ikrar Mursyidul Am PAS ini dipegang kukuh pendukung PAS semua peringkat.

Beliaulah di antara pemimpin PAS yang amat tahu dan berpengalaman luas dalam hal ini kerana amat lama berdepan dengan pelbagai karenah Umno/BN.

Hujah selanjutnya dari Tuan Guru ialah fahaman perkauman – assabiyyah – dalam apa bentuk dan namapun, bertentangan dengan Islam dan fitrah manusia.

Penentangan PAS terhadap pemikiran perkauman ini dilahirkan sejak puluhan tahun lalu. Perlu diingat tiga puluh tahun lalu, melalui Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-30 iaitu pada 13 April 1984, di Alor Setar, Kedah, PAS memilih tema ‘Menggempur Pemikiran Asabiyyah (Perkauman)’ kerana pada waktu itu lagi semarak perkauman yang ditiupkan oleh Umno/BN begitu kencang sekali.

Ucapan Dasar Presiden PAS waktu itu, Almarhum Tuan Guru Haji Yusuf Rawa di Muktamar PAS itu menggariskan sebab penentangan PAS terhadap pemikiran perkauman yang berlandaskan nas Al-Quran dan hadis.

Almarhum menyebut, Umno/BN meneruskan sikap perkauman hingga kini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah untuk membina perpaduan rakyat, negara kehilangan arah dan keadaan tidak menentu.

Kini tidak sehari pun sunyi dari ledakan isu perkauman yang diteriakkan pelbagai pihak, terutamanya sebelum pilihan raya, malah selepas pilihan raya dalam nada yang sangat mengerikan.

Meneliti kembali Ucapan Dasar Presiden PAS 30 tahun lalu itu, kita melihat pandangan dan hujahnya menentang perkauman sangat relevan hingga hari ini.

Meninjau dan membandingkan keadaan 30 tahun lalu itu dengan keadaan masa kini, malah lebih parah lagi, di mana isu perkauman menjadi modal politik yang sangat ampuh digunakan pihak tertentu dengan segala kepentingan mereka untuk terus mendapat keuntungan politik dan kuasa.

Adapun sebahagian besar generasi lama di bandar dan semi bandar masih terpengaruh juga dengan fahaman perkauman ini, antara lain adalah kerana faktor sejarah.

Generasi lama ini dengan pemikiran lama mereka dan kurang pula terdedah dengan apa yang berlaku masa kini serta kurang memahaminya, menyebabkan kebanyakan mereka bukan saja enggan menerima perubahan, tetapi menentang perubahan.

Ini disebabkan antara lain, mereka mendapat maklumat yang sangat terbatas – hanya melalui media tradisional dan kurangnya pendedahan. Lalu mereka melayan emosi dan sentimen perkauman sepuas-puasnya.

Bagaimanapun, jelas beberapa tanda generasi baru, khususnya golongan terpelajar – di mana golongan ini yang semakin besar jumahnya – akan bersama-sama menentang pemikiran assabiyyah ini.

Generasi baru ini terdidik dalam suasana yang sangat terbuka, rasional dan berimbang. Mereka melihat sesuatu isu bukan dari kaca mata perkauman. Ini tentu sangat menolong usaha PAS menentang perkauman.

Kesimpulanya, pendukung PAS sendiri pada umumnya menolak sama sekali gabungan Umno-PAS itu atas sebab yang sangat munasabah. – 25 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments