PAS perlu bergerak maju ke depan, bukan undur ke belakang. Ini kerana sifat politik yang sangat dinamik ditambah dengan suasana sekeliling yang demikian cepat berubah, di mana menuntut PAS melakukan perubahan terutama dari segi pendekatan dan imej yang ditampilkan.
Jika tidak dilakukan segera perubahan ini – betapa sucipun perjuangan yang didukung PAS – nescaya ia akan ditinggalkan, malahan dilupakan dan ini tidak mustahil berlaku . Oleh itu, pimpinan dan pendukung PAS akan memikirkan dengan serius persoalan ini dan bertindak dengan cepat dan bijaksana ke arah membuat perubahan ini.
Dalam hal ini jangan ada kebimbangan seperti kata Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, iaitu betapa kita bertoleransi dan terbuka, namun kita masih tetap berada dalam orbit Islam.
Namun apa yang berlaku di Muktamar PAS ke-60 dan Muktamar Dewan Pemuda sebelumnya menghantar isyarat jelas PAS seperti ditarik untuk undur ke belakang.
Bermula dengan insiden keluar dewan di Muktamar Pemuda, doa laknat, sorak menyorak, insiden kena ‘boo’ dan ucapan yang tidak sepatutnya disampaikan oleh sesetengah pemimpin, menghantar isyarat tidak baik kepada masyarakat umum. Ini kerana – tindakan dan ucapan di muktamar ternyata tidak melakarkan imej dinamik, terbuka, toleransi, berbahas dengan hujah dan fakta, menyebabkan ia menampakkan imej yang kabur, bukan sebuah parti masa depan yang diharapkan oleh rakyat sebagai pilihan kepada Umno/BN.
Seperti ada usaha golongan tertentu untuk mendominasi PAS melalui tindakan dan ucapan mereka. Pada hal tidak sewajarnya pihak tertentu melakukannya, sama ada secara sedar atau tidak sedar.
Jika ini berlaku, maka kesannya ialah PAS akan dilihat seperti berundur ke belakang – seperti PAS tahun 70-an, 80-an dan 90-an – di mana ia hanya mendominasi wilayah pengundi Melayu: Terengganu, Kelantan dan Kedah. Jauh sekali daripada mencapai kemenangan seperti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 melalui Pakatan Rakyat (PR) hingga kini.
Benar, PAS bukan saja parti politik, tetapi juga gerakan Islam di mana fungsi utamanya ialah dakwah. Tetapi perlulah disedari akan realitinya bahawa dengan kuasa politik yang dimenangi dalam PRU maka peluang berdakwah jauh lebih luas dengan memberi kefahaman yang luas mengenai tasawuur Islam.
Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat pernah berkata, faedah yang kita peroleh bersama PR, ialah kita dapat meluaskan dakwah kepada bukan Islam.
Kepada saya, bukan itu saja, malah faedah besar yang kita peroleh ialah dapat memberi gambaran sebenar mengenai tasawuur Islam bahawa Islam itu agama yang adil, ramah, toleran dan menentang perkauman serta tidak jumud.
Secara jujur saya katakan, inilah imej yang ditampilkan oleh golongan yang dipanggil sederhana dalam PAS, yang tidak wajar sama sekali dipandang serong atau negatif. Mereka tidak berkompromi dalam mempertahankan asas-asas Iskam, tetapi mereka berusaha memberikan gambaran sebenar Islam seperti yang terserlah di dalam Al-Quran, hadis dan sunnah di mana ia diterima dengan baik oleh pelbagai pihak.
Golongan sederhana ini tidak dilihat cuba mendominasi pemikiran di dalam Muktamar PAS di Batu Pahat minggu lalu. Malah kelihatan mereka sangat terbuka, tenang, ucapan dan perbahasan mereka sangat tertib, berhujah dengan fakta, bukan dengan jeritan emosi. Di sinilah dilihat sudut kesegaran muktamar.
Golongan sederhana ini tidak mengeluarkan retorik yang berapi-api dan tidak mendakwa bahawa merekalah pejuang Islam tanpa kompromi dan merekalah saja yang hendak menyelamatkan PAS. Oleh itu, saya percaya, golongan ini boleh diletakkan harapan masa depan PAS.
Saya mengamati ucapan perbahasan di muktamar itu, ternyata masih ada di antara mereka yang dapat mengawal emosi dan tidak meledakkan nafsu amarah ketika berucap. Contohnya, ucapan wakil Johor, Melaka, wakil Muslimat dan beberapa wakil lagi. Sementara di saf pimpinan ramai yang menjawab tanpa emosi, tetapi dengan fakta.
Kepada saya, masa depan PAS tidak bergantung kepada kumpulan segelintir Pemuda PAS yang keluar meninggalkan Dewan Muktamar Pemuda ketika Haji Muhamad Sabu berucap, demikian juga tidak kepada sejumlah pemerhati yang menjerit dan mem‘boo’ ketika sesetengah pemimpin yang tidak disukai mereka menyampaikan ucapan.
Masa depan PAS juga tidak bergantung kepada pembahas yang menyampaikan ucapan melalui doa untuk menghentam pemimpin yang tidak disukainya. Semuanya ini merosakkan imej PAS sebagai gerakan Islam, malah menghantar mesej yang salah kepada masyarakat.
Masa depan PAS ialah ditangan pendukung yang bersikap sederhana, berilmu, memahami politik moden, rasional dan dapat mengawal diri dengan akhlak Islam. Kita tidak mahu PAS hanya dilihat dan dirasakan besar serta hebat oleh pendukungnya saja, atau syok sendiri, sedangkan rakyat umum melihatnya kecil dan lemah disebabkan masalah dalamannya.
Akhirnya, segala peristiwa yang berlaku di Muktamar PAS di Batu Pahat itu menuntut pimpinan supaya membaik-pulih segera akan kerosakan dalaman yang dilakukan oleh segelintir pendukung PAS.
Harapan kita di muktamar tahun depan segala peristiwa hitam seperti ini tidak akan berulang lagi. Justeru, PAS memerlukan pendukungnya yang berilmu, bermoral tinggi, bijaksana dalam berpolitik dan bersikap terbuka serta berdisiplin.
Di samping itu diharapkan juga pimpinannya yang berpandangan jauh, tidak jumud, terbuka dan mampu melakarkan masa depan parti. – 23 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments