Penubuhan NGO baru bernama “Negara-Ku” (Gerakan Rakyat untuk Menebus Kembali Negara Malaysia) yang disokong oleh 68 kumpulan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan memberikan gambaran bahawa masyarakat sivil sangat prihatin terhadap suara perkauman dan fahaman agama sempit yang kini dilihat sebagai trend yang sangat merbahaya.
NGO ini melantik dua tokoh ternama ini – peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said – sebagai penaung. Ia dipengerusikan oleh naib presiden Ikram, Zaid Kamaruddin.
Ia bertekad menghapuskan politik perkauman yang dilihat menggugat keharmonian kaum di Malaysia dan NGO ini memperjuangkan keadilan serta kebebasan.
Selain Ambiga dan A. Samad Said, seorang lagi penaung ialah bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia dan hakim, Tan Sri Simon Sipaun.
Gabungan NGO itu, yang kebanyakannya pernah bekerjasama dalam gabungan NGO Bersih 2.0, bertekad menghapuskan politik perkauman dan kelompok yang dilihat menggugat proses pembinaan dan pembentukan bangsa Malaysia.
Negara-Ku adalah sebuah gerakan rakyat yang bertujuan memulihkan Malaysia dan mengembalikan harapan akan cabaran masa kini yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Ini adalah bukti yang sangat jelas bahawa masyarakat sivil kini semakin berpengaruh menentang kuat tarikan perkauman dan fahaman agama yang sempit.
Masyarakat sivil ini adalah masyarakat terpelajar dan terdedah kepada situasi terkini dengan memiliki kesedaran yang tinggi bahawa golongam perkauman dan fahaman agama yang sempit bukanlah mewakili atau menjadi jurucakap rakyat Malaysia.
Ia hanya mewakili segelintir golongan yang tidak mampu menerima hakikat realiti masyarakat majmuk di negara ini.
Golongan rasis ini semakin lantang bersuara, memberi gambaran seolah-olah mereka mewakili jumlah besar masyarakat Malaysia. Padahal mereka ini adalah segelintir kecil rakyat Malaysia yang tenggelam dalam emosi dan prejudis, tidak mampu berhujah dengan ilmu.
Golongan ini tidak sedar perbuatan mereka bertentangan dengan Islam kerana Islam sebagai agama rahmah, menjadi pelindung kepada semua manusia. Ia memancarkan sifat wasatiyah – seimbang, adil dan sederhana. Malangnya, konsep yang ditegaskan di dalam al-Quran ini tidak difahami oleh golongan perkauman ini.
Golongan ini bercakap konon untuk mempertahkan Islam, pada hal perbuatan mereka mencemarkan nama baik Islam. Ini kerana Islam sendiri menentang perkauman seperti yang diajar oleh Nabi Muhamad SAW menerusi hadis sahihnya yang amat tegas, iaitu “Bukan daripada umatku, mereka yang menyeru kepada assobiyah (perkauman).”
Ini jelas bahawa perkauman adalah suatu kejahatan dan menjadi musuh masyarakat sivil, kerana itu ia mesti ditentang.
Maka itu masyarakat bertamadun perlu sama-sama menyokong NGO anti perkauman ini untuk mempastikan elemen perkauman tidak lagi boleh berkembang dalam masyarakat.
Berucap di majlis penubuhan Negara-Ku di ibu negara itu, Datuk Ambiga berkata, ada sesetengah parti politik dan sekutu mereka yang tidak menumpukan kepada pembinaab negara, sebaliknya hanya membina empayar kuasa mereka masing-masing.
Bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 itu menambah, politik berasaskan kaum dan etnik serta ahli politik berfikiran perkauman akan terus merosakkan proses pembinaan negara yang inklusif dan pencapaian satu identiti bangsa Malaysia pelbagai kaum.
Menurut Ambiga selepas pilihan raya umum lalu, banyak retorik kaum dan agama dimainkan seolah-olah ada pihak yang mempunyai “agenda tersembunyi” cuba mengkucar-kacirkan masyarakat.
Ini katanya, termasuk kenyataan pemimpin tertentu mengenai isu seperti 13 Mei dan ugutan keganasan berasaskan agama. "Adakah ini cara yang bermaruah dan sopan santun? Adakah rakyat Malaysia menerima perkara seperti ini?" tanyanya.
A. Samad Said pula berkata, ada pihak semakin giat menggunakan agama sebagai penunjuk utama identiti seseorang dan mekanisme yang meletakkan sempadan untuk memecahbelahkan rakyat.
"Mobilisasi dan manipulasi kaum, etnik dan agama menyebabkan manusia makin tidak bertolak ansur, taksub dan melampau,” katanya dan menambah, “terdapat juga kebangkitan sub-budaya keganasan politik. Ini adalah tanda wujudnya pergolakan yang bahaya dalam masyarakat kita.”
Sasterawan negara itu berpendapat, kerajaan gagal menangani kebangkitan ini dan tidak memainkan peranan sebagai penyelia yang jujur dalam menangani konflik dalam masyarakat.
Beliau percaya majoriti masyarakat Malaysia mahu dihentikan segera politik yang membahagi antara kaum dan agama.
"Kita mesti bertindak sebelum masyarakat kita jatuh lebih jauh ke dalam jurang ketidakstabilan,” katanya.
Pada pendapat saya, masyarkat prihatin perlu menyokong usaha murni ini kerana semakin hari semakin nyaring suara perkauman yang diteriakkan oleh pihak yang berkepentingan tanpa menyedari bahayanya.
Janganlah lagi diulang sebut Peristiwa 13 Mei. Justeru, peristiwa hitam itu sudah dilupakan oleh ramai orang, malah generasi baru tidak berminat mengetahuinya.
Oleh itu, sama ada pemimpin negara, orang tertentu dan golongan manapun yang gemar memainkan isu perkauman perlu sedar bahawa perbuatan mereka tidak disokong oleh majoriti rakyat Malaysia.
Saya yakin di bawah kepimpinan pengerusinya, Zaid Kamaruddin dengan dokongan bekas dua tokoh pimpinan Bersih 2.0, NGO baru ini akan mendapat sokongan kuat daripada rakyat prihatin. Justeru, cita-cita mereka ialah untuk menyelamatkan rakyat dan negara ini daripada jurang dan kancah perkauman.
Semangat perkauman tidak kenal batas halal dan haram. Semua yang dilakukan oleh bangsanya terhadap bangsa lain adalah betul dan perlu disokong. Inilah pemikiran yang tidak mempunyai nilai manusiawi, sebuah kejahatan dan wajib ditentang. – 15 Julai, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments