Opinion

P Ramlee sebagai pemikir budaya

Kadang-kadang ada ketikanya saya merasa hendak keluar seketika – hanya seketika - daripada memikirkan persoalan politik tanah air yang saya kira sangat tajam dan semakin berkecamuk serta membingungkan, tidak manusiawi, seperti tidak ada penyelesaiannya.

Maka itu, saya mendengar kembali melalui YouTube lagu-lagu lama seniman agung P Ramlee – antaranya Joget Si Pinang Muda, Tanya Sama Hati, Anakku Sazali, Beginilah Nasib Diriku dan beberapa lagu lain yang sangat popular kerana bumbu seninya demikian tinggi.

Secara kebetulan, pada awal 60-an di Singapura ketika saya bekerja di beberapa penerbitan sambil belajar di Sekolah Inggeris, Jalan Daud, di sebelah malam, di sana saya sering bertemu dengan Allahyarham.

Lebih-lebih lagi ketika bekerja selama setahun dengan majalah yang diterbitkan oleh Allahyarham P Ramlee sendiri - Gelanggang Filem.

Pemimpin majalah itu ialah novelis Abdullah Hussein (Sasterawan Negara) dan saya bekerja di sana selama setahun.

Bersama penyair A S Amin - sahabat karib Sasterawan Negara A Samad Said – yang menjadi pengurus majalah tesebut, kami sering menemui Allahyarham P Ramlee, sama ada di studio Jalan Ampas atau di rumahnya di Macpherson Road.

Biasanya jika tidak ada kelas, saya ke rumahnya untuk menyaksikannya bermain piano dan menggubah lagu.

Lagu-laginya sentiasa popular, kerana nilai estetiknya yang tinggi, adunan irama lama dan baru, liriknya yang sangat menarik.

Umpamanya lagu ‘Kenek-Kenek Udang’, lagu rakyat Terengganu yang diberi nafas baru, dengan liriknya disusun semula oleh Jamil Sulong.

Maka pada 29 Mei ini genap 41 tahun pemergiannya, tetapi lagu-lagunya dan filemnya yang banyak mengandungi sindiran tajam dan kritik sosial, masih terus diminati oleh kalangan generasi lama dan baru.

Karya seninya ini terus segar justeru beliau adalah seniman luar biasa yang versatil di mana setakat ini belum tandingannya.

Saya teringat kembali di masa lampau ketika menyaksikan shooting filem Seniman Bujang Lapok di Studio Jalan Ampas di mana P Ramlee dan teman rapatnya – Allahyarham S Shamsudin dan Aziz Satar yang meminggal dunia tidak lama dulu beraksi dengan penuh lucu.

Di sana juga saya menyaksikan bagaimana pelakon Ahmad Nisfu dengan penuh lucu menjalankan peranan sebagai ‘Direktor Ahmad Nisfu’ yang menjadi bingung dan hampir pitam gara-gara kelakuan tiga bujang lapok – P Ramlee, S Shamsudin dan Aziz Satar itu.

Ahmad Nisfu adalah pelakon watak yang sangat menarik. Ketika bersara daripada berlakon, beliau bertugas sepenuh masa sebagai muazzin di masjid Onan Road, dekat Geylang hingga akhir hayatnya.

P Ramlee sering mengambilnya berlakon dalam filemnya kerana mimik muka dan karekternya yang lucu.

Kejayaan P Ramlee juga kerana dibantu oleh ramai sahabatnya, seperti Ahmad Nisfu, Sudarmadji dan lain-lain.

Maka ketika di Jalan Ampas, seniman besar ini sangat berjaya dan mengharumkan nama negara dan bangsansanya.

Ketika menerima Bintang Kehormatan AMN daripada Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur, Almarhum Pendita Za’aba mengucapkan tahniah kepada P Ramlee dengan berkata “Awak mengharumkan nama bangsa Melayu.”

Itulah P Ramlee di zaman gemilangnya dan tidak ada siapa pun yang menyangka pada waktu itu bahawa seniman agung ini menghadapi zaman suramnya hingga akhir hayat ketika menetap di Kuala Lumpur.

Di sinilah, mereka yang tahu mengenai P Ramlee mengingati bahawa pada zaman ‘mewah’nya di Jalan Ampas, pelbagai jenis orang mengadu susah kepadanya, meminta pertolongan darinya, khususnya meminta wang untuk membeli makanan atau wang tambang pulang ke kampung.

Semua tidak dihampakannya. Itulah P Ramlee yang pemurah.

Nama penuh seniman ini, Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh bin Teuku Teuku Karim, berasal dari Lhokseumawe, Aceh, Sumatera dan membuka perniagaan di Pulau Pinang.

Ibunya benama Che Mah Hussein. P Ramlee lahir di Counter Hall Road,  Pulau Pinang, 22 Mac 1929, selepas fajar dalam dingin pagi ketika umat Islam bertakbir menyambut Aidilfitri.
Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1974 setelah diserang sakit jantung.

Ketika di Singapura, saya sering melihat beliau bekerja, sangat teliti, berfikir dan berfikir lama sebelum menyusun skrip dan menggubah lagu.

Sebab itulah beliau pernah menyatakan kesal yang amat sangat ketika ada penulis di Kuala Lumpu yang menulis di sebuah majalah bahawa kononnya, “P Ramlee hanya seorang seniman, bukan pemikir budaya.”

Lalu dengan nada kesal beliau memberitahu saya, “Penulis ini tidak tahu apa yang dia tulis. Bukanlah aku berfikir ketika menulis skrip, menggubah lagu, malah ketika berlakon, 'Macam mana penulis ini mengatakan abang hanya seniman bukan pemikir budaya.'” 

Bagi P Ramlee ini suatu penghinaan kepadanya.

Ketika di Singapura, beliau banyak menulis kertas kerja mengenai seni filem dan muzik untuk pelbagai seminar anjuran badan budaya di sana.

Tetapi, biasanya kertas kerjanya hanya dua muka surat, tetapi ketika membentangkannya sendiri kadang-kadang memakan masa hampir sejam setengah menghuraikannya dan beliau boleh berhujah dengan baik dengan stail dan jenakanya.

Dia pernah menunjukkan kepada saya dua helai kertas kerjanya mengenai seni budaya Melayu dan saya dimintanya membetulkan ejaannya.

Saya bertanya mengapa dua helai saja kertas kerja ini. Lalu P Ramlee menjawab, “Abang boleh syarahkan sampai dua tiga jam. Jangan bimbang.”

Allahyarham menguasai hampir semua bidang seni – menyanyi, menggubah lagu, berlakon, bermain alat muzik dan segalanya.

Para tokoh seni yang paling banyak membantunya, antaranya, ialah S Sudarmadji, Jamil Sulong, penggubah lagu Kasim Masdor, Yusuf B., Othman Ahmad, penulis lirik Yusnor Ef dan lain-lain.

Kadang-kadang sambil minum kopi o ais di warung Jalan Ampas, dia menyanyikan lagu yang baru digubahnya.

Kemudian berhenti sebentar untuk mengunyah roti yang dikukus dan dibubuh telur masin di dalamnya. Itulah kegemarannya ketika bersarapan.

Pernah pada suatu hari beliau memberitahu sambil menunjukkan sebuah akhbar Melayu.

Dengan nada marah, kesal dan kecewa beliau memberitahu bahawa ketika beliau menang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia di Tokyo kerana lakonannya dalam filem ‘Anakku Sazali’ akhbar itu menyiarkan gambarnya sangat kecil dan di muka belakang pula serta tersorok.

Tetapi, katanya, waktu beliau di saman kerana lambat membayar cukai pendapatan, akhbar itu menyiarkan gambar dan beritanya begitu besar di muka depan.

“Adilkah macam ini, mengapa akhbar ini buat macam ini,” tanyanya.

Semasa hayatnya, Allahyarham sangat ingin mengarahkan filem berunsur agama, ‘Hidayah’ di mana skripnya sudah
pun disiapkannya.

Malangnya, tiada siapa yang hendak membiayai penerbitannya. Maka cita-citanya itu tidak kesampaian hingga akhir hayatnya.

Bagaimanapun P Ramlee, kawan-kawan dan karyanya terus dikenang oleh generasi baru dan lama sebagai seniman dan pemikir budaya. – 20 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments