Opinion

Pakatan belum usaha baiki imej

Seperti yang saya katakan dahulu, politik sangat dinamik sifatnya, ia pantas berubah. Kerana itu, tidak mungkin persepsi masyarakat terhadap perkembangan politik akan terus kekal, tidak berubah.

Dalam hal ini, adakah pemimpin dan pendukung parti politik, khususnya Pakatan Rakyat, sedar dan mengakui hal ini, atau sekadar mengakuinya tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menghadapi perubahan ini? Sama-sama kita saksikan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, persepsi pengundi begitu ketara berubah, menyebabkan Barisan Nasional tidak mendapat majoriti di Parlimen, bahkan undi popularnya merosot kepada 48%, sementara Pakatan Rakyat mendapat undi popular 52%, sesuatu yang mengejutkan pelbagai pihak. Ertinya majoriti pengundi menyokong Pakatan Rakyat.

Ini berlaku dalam PRU12 dan PRU13, ketika Pakatan kuku berpadu, tidak ada krisis serius dalam parti komponen baik PAS, PKR mahupun DAP.

Maka, majoriti rakyat memberi sokongan kepada Pakatan, bahkan menaruh harapan Pakatan mampu menggantikan Barisan Nasional memerintah negara di masa depan.

Tetapi dinamik politik merubah segalanya. Lebih-lebih lagi apabila tercetus krisis politik di Selangor selama tujuh bulan di mana gejalanya merebak hampir ke seluruh negara. Maka imej Pakatan Rakyat rosak dan persepsi rakyat terhadapnya menjadi buruk hingga kini. Segalanya berubah.

Saya tertarik dengan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan apabila beliau menyatakan dalam Malaysian Insider bahawa senario politik sekarang berbeza dengan 16 tahun dahulu. Beliau merujuk kepada kes Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai rayuan terakhir kes liwatnya minggu depan:

Pemerhati politik mengingatkan, sebarang harapan bagi demonstrasi jalanan seperti ‘Reformasi 1998’ adalah tidak produktif.  Mereka memetik lanskap politik yang berbeza, sokongan tidak jelas berikutan perpecahan dalam Pakatan Rakyat (PR) dan keperluan orang ramai untuk maju ke depan daripada hanya berhimpun di keliling Anwar sebagai simbol menentang ketidakadilan. – 20 Oktober, 2014.

Wan Saiful berkata, PKR sepatutnya sedar ia tidak lagi berada dalam kedudukan yang kuat seperti dahulu apabila menerima sokongan rakyat Malaysia dari rakan-rakan mereka dari PAS dan DAP. Kini, katanya,  PKR sedang bergelut dengan sokongan dalaman parti, kerana hubungannya dengan PAS tidak sebaik dahulu.

Sementara itu, pengundi lama merasa kecewa dengan krisis dan ‘masam muka’ berterusan antara komponen dalam Pakatan Rakyat, generasi baru bosan lagi dengan situasi politik masa kini.

Mereka benci dengan politik perkauman dan ektremis agama yang diketengahkan sesetengah pemimpin politik perkauman dan penyokong mereka, serta NGO yang juga menyokongnya.

Golongan muda ini benci dengan keadaan politik seperti itu. Tetapi malangnya, apabila melihat apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, maka mereka juga amat kecewa.

Hingga kini belum ada sebarang tanda di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat untuk mengambil langkah segera memperkukuh Pakatan, membaik pulih imej dan persepsinya yang tercemar.

Mungkin ada juga di kalangan sesetengah pemimpin Pakatan yang sedar trend pengundian generasi muda yang akan banyak berubah dalam PRU14 akan datang.

Tetapi ramai yang tidak sedar, malah beranggapan trend undian akan sama sahaja tiap kali pilihan raya.

Sebenarnya persepsi generasi muda perlu disedari oleh Pakatan Rakyat, khususnya PAS sendiri yang biasanya banyak bertanding di kawasan pengundi Melayu di bandar dan di luar bandar. Jangan merasa selesa dan tidak mempedulikan perubahan ini.

Trend pengundian generasi muda sudah disebut Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dalam ucapannya di Muktamar Dewan Pemuda di Kota Tinggi September lalu. Nada bimbangnya jelas terbayang jika Pakatan Rakyat tidak bersedia dari sekarang untuk menghadapi gelombang cita-rasa anak muda itu.

Katanya, Pemuda PAS sangat sedar kecenderungan kuat di kalangan sebahagian anak muda Malaysia yang menolak politik kerana meluat dengan gelagat sebahagian ahli politik. Kata beliau, mereka tidak mencerminkan kualiti yang diharapkan, termasuklah di dalam Pakatan Rakyat.

Suhaizan juga sedar bahawa generasi muda adalah majoriti rakyat Malaysia. Beliau menyebut, menurut data yang dikemukakan oleh Welsh dan Chang pada tahun 2012, jumlah penduduk di Malaysia berumur di bawah 30 tahun adalah sebanyak 63%.

“Sekiranya kita mahu mengambil usia 40 tahun ke bawah sebagai umur maksima belia di negara kita, maka komposisi anak muda di Malaysia semestinya lebih besar.

Walaupun golongan ini ‘tidak gembira’ dengan gelagat sesetengah ahli politik, ini tidak bermakna mereka tidak terlibat dalam proses politik,” katanya.

Kajian mendapati anak muda semakin terbabit dengan proses politik negara walaupun tidak begitu berminat menyertai parti politik. Kemunculan kumpulan anak muda independen, tanpa hierarki dan ketua, terutamanya dalam siri demonstrasi rakyat, sangat wajar diberikan perhatian malah didampingi untuk memahami suara dan hasrat mereka.

Dengan trend politik yang ada sekarang, generasi muda tidak berminat menyertai sebarang parti politik atas pelbagai sebab yang diketahui. Lebih-lebih lagi apabila sesetengahnya setelah lulus dari pengajian tinggi sukar mendapat kerja – walaupun tidak memilih.

Gaji begitu rendah dan sukar untuk menampung kos hidup yang tinggi. Generasi muda marah apabila menyaksikan jurang miskin kaya semakin melebar.

Semua perubahan ini nampaknya belum banyak menyedarkan pemimpin Pakatan Rakyat, malah masalah dalaman komponen dalam Pakatan itu sendiri belum juga selesai.

Sepatutnya pemimpin Pakatan melupakan perselisihan sesama sendiri dan segera berbincang bersama untuk mebaiki kembali imej dan persepsi rakyat terhadapnya untuk mengelak Pakatan kecundang dalam PRU akan datang. – 21 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments