Opinion

Pakatan Harapan sedia hadapi PRU

Dalam beberapa bulan ini, atau mungkin selewat-lewatnya hingga hujung tahun ini, perkembangan politik tanah air semakin rancak, malah luar biasa rancaknya, untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang begitu dekat sekali.

Pertandingan 2 penjuru atau 3, atau lebih ramai daripada itu tidak mungkin dapat diramalkan. Sehubungan itu, masing-masing parti politik kelihatan begitu ghairah untuk bertanding. Ada kecenderungan bertanding sendirian, kerana merasakan partinya sangat gagah. Namun itu terpulanglah.

Tetapi PKR, Amanah dan DAP setia mendukung Pakatan Harapan. Adapun Pakatan Rakyat(PR), hanya tinggal kenangan dan menjadi sebahagian sejarah politik tanah air, walaupun ia pernah mencapai kejayaan gemilang.

Pakatan Harapan bakal membuat mengumumkan besar dalam tempoh terdekat dalam usaha untuk menghadapi Umno/BN dalam PRU14.

Minggu lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengumuman besar itu melibatkan pendedahan dokumen saf kepimpinan Pakatan Harapan sebagai persediaan berdepan PRU14.

"Saya percaya dokumen ini bakal menjadi asas penting yang sekali lagi membuktikan PKR serta parti-parti komponen Pakatan Harapan bersedia untuk menggalas tanggungjawab," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2016.

Presiden PKR itu berkata, Pakatan Harapan akan terus bekerjasama semua pihak untuk menentang kezaliman dan membawa keadilan kepada rakyat Malaysia selepas pelbagai kejadian dan skandal sepanjang 2015.

Wan Azizah berkata, pertubuhan bukan kerajaan dan bukan politik yang cintakan negara diseru bersama dengan pembangkang untuk membawa perubahan besar kepada negara.

Ini keazaman Pakatan Harapan yang dilihat sebagai usaha memperkukuhkannya dan tentulah komponennya akan belajar daripada kesilapan yang membawa berakhirnya PR dulu.

Sementara itu, Amanah berazam setiap keluarga akan ada ahli Amanah dan nampaknya beransur-ansur dapat dibuktikan di beberapa negeri seperti Kelantan, Johor, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu juga tidak terkecuali.

Kini Amanah melipatgandakan usahanya membela rakyat, khususnya pekebun kecil penoreh getah yang menderita kerana harga getah merudum jatuh.

Sementara peneroka Felda yang juga sedang terhimpit hidup mereka kerana harga kelapa sawit yang begitu rendah sekali juga sedang diberi perhatian. Program membela peneroka Felda ini dipimpin Mazlan Aliman, yang sudah terkenal kerana usahanya membela peneroka Felda sejak sekian lama.

Sementara itu, beberapa hari lalu, Amanah Kelantan mengadakan majlis makan malam di Petaling Jaya dan mendapat sambutan luar biasa. Lebih 1,000 hadir hingga kerusi ditambah pada saat akhir, malah ada yang duduk bersila.

Ini menggambarkan rakyat Kelantan, khususnya para perantau memberikan respons gemilang terhadap Amanah. Ia menghantar isyarat inilah parti masa depan Malaysia, khususnya rakyat Kelantan. Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Rahim dan seluruh pimpinan Amanah Kelantan menyatakan rasa terharu atas sambutan luar biasa ini. Turut hadir Datuk Husam Musa.

Maknanya di sini, Amanah Kelantan dan negeri lain semakin menyerlah dan dalam beberapa segi, Kelantan terkedepan dalam sambutan rakyat. Ini menghantar isyarat Amanah juga mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu, selain bukan Melayu di bandar. Jika hendak diukur, sambutan masyarakat Melayu bandar seperti di Wilayah Persekutuan, Selayang, Shah Alam, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Ampang, Gombak, Klang dan kawasan lain juga sangat memberangsangkan.

Di Selangor sendiri, walaupun majoritinya kawasan bandar dan semi bandar, tetapi sambutan kepada Amanah kelihatannya menyeluruh dan merentasi kaum serta agama.

Maka menjelang PRU akan datang ini akan semakin jelas haluan politik Selangor dan di laluan mana ia berada. Pimpinan Selangor mestilah memikirkan sedalam-dalamnya perkara ini. Ia tidak boleh lagi bermain teka teki,  yang nyata PR, tidak lagi relevan atas sebab diketahui umum.

Setiap negeri mesti mematuhi agenda penting Pakatan Harapan. Ia menuntut kesetiaan komponen dari semua negeri, kerana hanya Pakatan Harapan yang menggabungkan pembangkang.

Dalam hubungan ini, Konvensyen Pertama Pakatan Harapan pada 9 Januari ini mempunyai erti sangat besar dan pengukuhan Pakatan Harapan, di mana ia akan membincangkan penyelarasan garis panduan bertindak yang akan dipersetujui semua pucuk pimpinan parti komponen dan Pakatan Harapan.

Langkah selanjutnya Pakatan Harapan akan diperhatikan sungguh-sungguh oleh rakyat sama ada ia benar-benar mampu membela nasib rakyat yang kini sedang bergelut dengan tekanan hidup yang berat.

Namun pelbagai pihak yakin, Pakatan Harapan dengan kesungguhan dan pengalaman politik mereka yang panjang mampu menangani masalah rakyat. PRU14, akan memberi peluang sepenuhnya kepada Pakatan Harapan untuk mendukung amanah rakyat bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang membebankan rakyat sekarang ini. – 5 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments