Begitu banyak sekali masalah negara yang namaknya belum lagi terselesaikan. Isu perkauman masih membara, harga getah dan kelapa sawit begitu rendah sekali, nilai wang Malaysia semakin menurun, jutaan pendatang asing sangat merisaukan, harga barang melonjak tinggi dan pelbagai lagi.
Malah wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, dalam tulisan di blognya, sampai menasihatkan kerajaan agar berterus-terang kepada rakyat mengenai realiti ekonomi negara pada masa ini.
Kadir berkata, kerajaan perlu berterus terang kepada rakyat mengenai situasai ekonomi negara sebelum mereka marah apabila keadaan menjadi parah.
Katanya, kerajaan perlu berkongsi maklumat secara rasional dan terbuka dengan rakyat bukan berdolak-dalik dengan berita-berita baik yang sengaja diada-adakan.
"Lebih baik membuatkan mereka kurang gembira dengan menyatakan kebenaran daripada membuatkan mereka marah apabila malapetaka ekonomi melanda mereka. Yang utama sekarang adalah berkongsi maklumat secara rasional dan terbuka dengan rakyat jelata. Bukan berdolak-dalik dengan mereka apatah lagi memesongkan mereka dengan berita-berita baik yang sengaja diada-adakan,” tambahnya.
Terus teranglah dengan mereka, kata Kadir, jangan sekali-kali anggap mereka bangang, bodoh, dungu, tongong dan bahlul.
Di tengah-tengah kegelisahan rakyat ini, kelihatannya parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti tidak mengambil perhatian serius akan masalah ini. Malah mereka masih sibuk dengan masalah dalaman yang tidak habis-habisnya.
Memang kita kerap membaca tulisan Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS, pandangan Rafizi Ramli dari PKR, Tony Pua dari DAP dan analisis dari ahli ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakub. Juga dari peguam Hanipa Maidin serta beberapa tokoh NGO.
Tetapi belum nampak usaha Pakatan Rakyat sendiri untuk menangani secara besar-besaran krisis ini yang boleh meyakinkan rakyat bahawa Pakatan - yang dikira sebagai alternatif kepada Barisan Nasional - serius dengan krisis ini.
Pakatan perlu melakarkan usaha secara konkrit bagaimana mengenai masalah negara ini yang berhubung dengan soal ekonomi, perkauman, keresahan rakyat kerana kenaikan harga barang, wang kita yang susut nilai, rasuah, pendatang asing yang berlambak di sana sini dan pelbagai masalah lagi.
Krisis dalam Pakatan mungkin dilihat keseluruhannya sudah mulai reda, walaupun pergeseran di antara PAS dan DAP masih berterusan, sementara PKR mulai tenang. Tetapi krisis dalaman PAS terus membara.
Isu walak dan tidak walak (setia dan tidak setia) antara sesama ahli kelihatan boleh mengundang perpecahan secara terbuka dalam PAS sama ada disedari atau tidak disedari. Malangnya hingga kini tidak nampak ada usaha meredakan isu ini.
Ini menyebabkan, Fauwaz Fadhil, putera bekas presiden PAS, Allahyarmam Fadzil Noor, menyatakan kebimbangan dalam Facebook:
“Risau melihat gerakan Islam banyak membincangkan isu wala’ dan taat kepimpinan, khususnya kepada golongan ulama, daripada membincangkan isu kelemahan pimpinan gerakan Islam yang menyebabkan mereka dikritik. Kehidupan zaman sekarang menuntut banyak berdialog bukannya suruh taat.”
Dengan terus bergelut isu itu, nampaknya PAS lupa untuk memberi perhatian kepada isu nasional yang begitu banyak sekali. Dalam Muktamar PAS di Johor September lalu, isu ekonomi, keselamatan negara, isu pendatang asing disentuh sambil lalu saja dalam perbahasan.
Demikian juga dengan isu perkauman yang terus membara, tidak disentuh di dalam Muktamar itu, pada hal isu ini adalah isu PAS sejak 30 tahun lalu, di mana ucapan dasar presiden, Yusuf Rawa di muktamar di Kedah masa itu membawa tema "Menggempur Pemikiran Assobiyah" (Perkauman).
Akhirnya, kini isu ini senyap begitu saja di dalam PAS.
Rakyat yang sedang resah dengan pelbagai isu yang muncul itu melihat Pakatan Rakyat, khususnya PAS, seperti terlepas pandang dengan isu tersebut.
Benar ada pelbagai kritikan dari para tokoh dalam Pakatan sendiri terhadap pemerintah. Tetapi itu tidak cukup, kerana rakyat mahukan Pakatan memperlihatkan apa yang ada "di tangan Pakatan", iaitu rancangan besar-besaran untuk mengatasi masalah ini.
Ada Buku Jingga dari Pakatan sendiri dan "Negara Berkebajikan" (gagasan PAS) yang di ketengahkan menjelang PRU Ke-13 dulu. Tetapi kedua-dua gagasan itu entah ke mana menghilangnya. Pada hal kedua-dua gagasan itu boleh dijadikan asas yang kukuh dalam meyusun rancangan besar sebagai jawapan kepada krisis negara yang ada sekarang.
Gagasan Negara Berkebajikan penuh dengan idea yang sangat praktikal dan boleh mensejahtera serta menyelamatkan negara, tetapi hingga kini tiada siapa yang pedulikannya lagi. Pada hal buku tersebut adalah "golden idea" yang dicetuskan oleh para pemikir PAS yang menyusunnya.
Tiba-tiba isu ulama-profesional ditimbulkan kembali, mencetuskan gelombang yang luar biasa dalam PAS dan didebatkan tidak habis-habisnya, hingga melupakan isu besar yang jauh lebih penting.
Isu ini – entah atas kepentingan apa dan siapa – disuburkan kembali, walaupun Ustaz Fadzil sudah menegaskan bahawa "kita hendak mengulamakkan professional dan memprofesionalkan ulama" yang membawa maksud bahawa pendukung PAS perlu memiliki kedua-dua elemen ini untuk menjadi pendukung PAS yang berkualiti.
Rakyat kecewa dengan krisis yang berlaku dalam negara, yang dilihat bagaimana Umno/BN yang memerintah tidak berupaya menyelesaikannya, malah bertambah tenat. Pada hal mereka memiliki segala keupayaan untuk mengatasi krisis ini.
Maka itu, rakyat mengharapkan sangat PAS, PKR dan DAP, duduk semeja memulakan perbincangan untuk mengatasi masalah negara seperti yang disebutkan tadi dan memberitahu rakyat akan rancangan mereka.
Janganlah tunggu dekat PRU Ke-14 baru bingkas untuk mengusuun rancangan memulihkan krisis negara ini. Berusahalah dari sekarang supaya rakyat menyokong Pakatan melalui peti undi nanti. – 9 Disember, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments