Jika ada pemikiran sesetengah ahli politik di Malaysia, terutama di Selangor, Pakatan Rakyat (PR) – bukan Pakatan Harapan – kononnya masih hidup dan akan terus mewarnai masa depan politik negara ini, maka pemikiran atau ramalan seperti itu wajar dihentikan.
Pemikiran seperti ini yang datang dari beberapa pihak, termasuklah di kalangan pengkaji politik yang membuat tinjauan umum, gagal membaca realiti politik yang ada sekarang.
Tinjauan tidak munasabah ini hanya berasaskan pemikiran yang lemah, tidak relevan, bertentangan dengan suasana politik masa kini dan akan datang.
Secara logik, realiti yang ada dan wujud sekarang ialah Pakatan Harapan, yang terdiri daripada PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. Inilah akar tunjang pakatan baharu pembangkang yang akan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya utama (PRU) akan datang, bukan PR.
Dari itu, tidak boleh sama sekali premis PR masih dijadikan asas kepada senario politik masa depan negara, khususnya di Selangor.
Walaupun baru berumur 5 bulan, Amanah berkembang pesat di seluruh negara dan akan mengambil peranan penting dalam mendukung keutuhan Pakatan Harapan.
Tidak syak lagi ia akan memberi input yang bermakna dalam memperkukuh pakatan baharu pembangkang ini.
Memang tidak boleh dinafikan PR dahulu yang dianggotai PKR, PAS dan DAP mencapai kejayaan cemerlang, terutama dalam PRU yang lalu diseluruh negara.
Namun nasib malang menimpanya apabila penghujung sejarahnya ditandai titik hitam. Sebabnya tidak payah lagi diulang kerana semuanya maklum.
Yang wajar difikirkan ialah kesilapan, kelemahan dan kekurangan dalam PR dulu itu di mana tidak boleh lagi berulang dalam Pakatan Harapan. Lebih-lebih lagi ia memeterai piagam 7 perkara wajib dipatuhi semua komponennya.
Ini bermakna tidak akan ada lagi "keputusan sendiri" di belakang tabir di antara parti dalam Pakatan Harapan itu.
Seperti yang saya katakan di atas tadi, premis PR dulu itu tidak boleh lagi dijadikan asas dalam mengukur sokongan terhadap sesuatu parti atau calonnya.
Lebih-lebih lagi kedudukan di Selangor, negeri yang majoriti pengundinya adalah pengundi bandar atau semi-bandar, kecuali di sebelah utara dan selatan.
Kebanyakan calon yang menang di Selangor dalam PRU yang lalu ialah dengan majoriti kecil, di mana pengundi bukan Melayu – dalam kebanyakan kawasan Parlimen dan DUN – memberikan sokongan kepada calon daripada komponen PR. Tanpa sokongan mereka, calon daripada komponen tersebut, ketika itu, sukar menang. Ini realiti demografi pengundi dalam PRU lalu.
Oleh itu, suasana yang ada sekarang, dengan berakhirnya PR, digantikan dengan Pakatan Harapan, maka segalanya berubah.
Sebarang perkiraan berdasarkan andaian dalam PRU yang lalu akan hanya berakhir dengan kekecewaan.
Maka, sekali lagi saya mengatakan, sebarang kaji selidik – daripada pihak manapun datangnya – mestilah berdasarkan realiti dan mood politik yang ada sekarang, bukan masa lalu.
Di sinilah saya melihat, Amanah mendapat momentum yang menjadikannya sebagai parti yang sangat cepat berkembang.
Walaupun ia sangat muda, tetapi kehadiranya sangat menarik perhatian. Ada pihak cemas, ada yang cemburu, ada yang tidak menyangka sepantas itu pertumbuhannya, malah ada yang terkejut melihatkan kehadiran Amanah demikian cepat mendapat perhatian.
Oleh itu, para pengulas politik, malah yang membuat pelbagai kaji selidik, adalah wajar melihat semua logik ini.
Maka mereka mestilah berhati-hati apabila mengulas dan membuat kajian supaya dilihat tidak ketinggalan zaman.
Kini Amanah sedang bertungkus lumus mendapatkan ahli seramai mungkin – baik daripada masyarakat kota mahupun desa.
Di Kelantan sendiri, negeri majoriti Melayu, umpamanya, Amanah pimpinan Datuk Wan Rahim Abdullah, mendapat momentum luar biasa. Lebih 13,000, setakat ini menjadi ahli Amanah di negeri itu.
Begitu juga di Johor, negeri jantung hati Umno sejak puluhan tahun, rakyat di sana memberikan sambutan luar biasa terhadap Amanah, di bawah pimpinan Aminolhuda Hasan dan Dr Dzulkifli Ahmad.
Di Selangor, ahli Amanah mencecah lebih 5,000 orang dan permintaan orang ramai untuk menjadi ahli terus diterima.
Demikian juga di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu di mana sambutan semakin menggalakkan.
Semuanya menunjukkan Amanah bukan saja disokong pengundi Melayu di bandar dan semi bandar, tetapi juga pengundi Melayu di luar bandar.
Di sinilah seperti saya katakan, pengkaji dan pengulas politik sangat wajar melihat perubahan ini secara jujur, di mana dijangka demografi pengundi akan berubah dalam PRU akan datang.
Perubahan ini berlaku bukan sahaja di Selangor dan Kelantan tetapi juga di negeri lain. Semuanya ini akan memungkinkan Amanah diterima pengundi pelbagai golongan dan kaum.
Ini isyarat Amanah adalah parti masa depan negara ini. Dalam hubungan ini, trend pengundian dalam PRU yang lalu akan berubah. Oleh itu boleh dijangka, berdasarkan realiti yang ada, Amanah akan mendapat lonjakan yang mengejutkan terutama di negeri disebutkan tadi.
Dengan perkembangan yang ada ini, saya kira, terlalu awal memikirkan pertandingan satu lawan satu, atau 2 atau 3, malah 4 penjuru, justeru segalanya boleh berlaku.
Pakatan Harapan memiliki 3 parti komponennya yang memeterai piagam 7 perkara. Bagaimana pula dengan parti politik yang di luar Pakatan Harapan. Segalanya boleh berlaku.
Kesimpulannya, kerana politik itu sangat dinamik sifatnya maka para pengkaji politik perlu memahami sungguh-sungguh sifat politik supaya kajian mereka munasabah. – 9 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments