Seniman Paksi Rakyat (Paksi), sebuah badan seni budaya pimpinan Dinsman di Madrasah Tarbiyah, Jalan Gombak, Kuala Lumpur setiap bulan mengumpulkan para seniman berbicara mengenai seni budaya, deklamasi puisi dan sebagainya, yang bersifat "merakyat" setiap bulan.
Ia digerakan sekumpulan seniman dan aktivis budaya – Kasim Muhamad, Rozan Azen Mat Rasip, M Nasir dan lain-lain yang berusaha keras menyuburkan kegiatan Paksi.
Setiap bulan Paksi mengadakan acara baca puisi dan kegiatan seni yang lain hingga madrasah tersebut, atau dipanggil Madrasah Seni, menjadi begitu terkenal sebagai tempat berkumpul sang budayawan.
Bulan lalu, ia mengadakan Majlis Memperingati Jasa dan Perjuangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pelancaran novel “Nenek” karya Razali Endon, sementara minggu lalu pula mengadakan malam meraikan Mejar Zaidi, bekas pegawai tentera TUDM yang dipecat kerana isu dakwat kekal.
Pada 10 April, Paksi akan mengadakan samabutan ulang tahun kelahiran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, di tempat yang sama.
Walaupun Paksi bersifat badan seni budaya, tetapi ia juga berperanan sebagai suara rakyat, atau penyampai salam rakyat, cita rasa dan hati nurani serta keluh kesah mereka.
Seperti kata Dinsman, para seniman dalam badan penulis seperti Paksi perlu mempunyai kefahaman dan keyakinan diri yang kuat, agar tidak mudah terpengaruh atau dipengaruhi, bukan saja oleh parti atau agen politik kepartian tetapi juga pihak lain yang berkepentingan atau mempunyai kecenderungan berbeza.
Menurutnya, seniman dan budayawan (termasuk penulis), seperti juga ulama, perlu kenal dan faham mana yang baik dan mana yang jahat, juga mana yang benar dan mana yang bohong. Malah, katanya, perlu mempunyai keyakinan diri yang kuat, agar tidak berasa takut hadir atau melibatkan diri dengan politik dan orang politik.
Pada malam meraikan Mejar Zaidi itu, Dinsman menyampaikan ucapan melalui puisinya dengan melancarkan Tekad Budaya iaitu sebagai alternatif kepada kehidupan yang didominasi oleh politik keterlaluan yang mengakibatkan keadaan kacau bilau sekarang ini.
Memang Mejar Zaidi bukan penyair, kata Dinsman, tetapi sikapnya yang berani berkata benar walau apa pun risikonya itu perlu dihormati dan dihargai para penyair dan seniman terhadap sikap dan komitmennya.
Maka itu, di pekarangan madrasah itu, para budayawan berkumpul dalam suasana santai, tidak berprotokol, serba sederhana dengan jamuan biasa, tetapi majlis minggu lalu agak istimewa hidangannya: Nasi Arab.
Dalam sajak yang dibacanya sendiri malam itu, Dinsman melahirkan kekecewaannya yang amat sangat kerana orang politik tidak henti-hentinya berkrisis dari satu isu ke satu isu, hingga mengabaikan pelbagai tugas besar untuk rakyat.
Oleh itu, beliau melihat Paksi, walaupun hanya sebuah badan budaya, tetapi boleh berperanan menjadi jurubicara rakyat, menyuarakan hak mereka seperti menyuarakan hak setinggan ibu kota yang sentiasa diancam pembanguan yang menerpa kawasan mereka. Juga isu pemandu teksi yang menjalani kehidupan getir di bandaraya ini, serta pelbagai lain yang melengkari kehidupan rakyat marhain.
Di sinilah saya teringat masa lalu, di tahun 50an dan 60an – di Singapura dan di Malaysia – bagaimana Angkatan Sasterawan 50 (Asas '50) yang didukung kuat oleh Kris Mas, Usman Awang, A Samad Ismail, Asraf, Wijaya Mala, Awam El-Sarkam dan lain-lain mencetuskan tekad budaya. Iaitu melalui penulis mereka berjuang menegakkan keadilan sosial dan kemerdekaan tanah air.
Suara sasterawan Asas ’50 ini sangat berkesan dan banyak mempengaruhi aliran pemikiran masyarakat pada masa itu. Maka itu, Asas ’50 mendapat tempat istimewa di hati nurani masyarakat, walaupun dipandang sinis elit pemerintah ketika negara sudah mencapai kemerdekaan.
Puisi Usman Awang, umpamanya, sentiasa menyindir elit pemerintah pada masa itu, seperti puisinya "Pak Utih", "Melayu Itu" dan lain-lain. Demikian juga cerpen Kris Mas "Rumah Sederet di Jilat Api", novelnnya, "Saudagar Besar Kuala Lumpur" dan juga karya penulis lain Asas ’50.
Di sinilah saya kira Seniman Paksi Rakyat pimpinan Dinsman ini menjadi pewaris Asas ’50 – menjadi jurubicara rakyat. Lebih-lebih lagi Dinsman adalah dramatis yang rapat dengan Allahyarham Usman Awang.
Cumanya suasana dan keadaan ketika Asas ’50 jauh berbeza dengan suasana dan generasi masa kini. Namun masalah kemanusiaan, kebebasan, sosial, miskin kaya dan sebagainya masih wujud di zaman ini walaupun bentuk dan caranya berbeza.
Di sinilah saya kira kewajaran Paksi membina hala tujunya dalam gerak kerjanya ke arah membela rakyat. Lebih-lebih lagi di masa kini, di mana kebebasan rakyat semakin terhakis, demokrasi entah ke mana, keadilan sukar ditegakkan, rasuah dan pembaziran berkembang subur. Yang benar dikatakan salah dan yang salah dikatakan benar.
Di sinilah peranan sasterawan sebagai jurubicara masyarakatnya. Ia tidak boleh sama sekali membisu seribu bahasa melihat kemungkaran, kerana Islam pun menuntut supaya umatnya menyeru makruf, mencegah kemungkaran.
Saya teringat kata-kata Napoleon Bonaparte, “The world suffers a lot. Not because of the violence of bad people, but because of the silence good people.”
Dari itu, jangan membisu melihat ketidakadilan di mana-mana. Saya kira, Paksi berusaha melaksanakan peranan ini.
Dalam hubungan ini, pada 10 April depan, Samad Said akan diraikan Paksi sempena ulang tahun kelahirannya. Memang wajar Paksi meraikannya kerana beliau adalah seniman rakyat.
Samad Said diraikan bukan semata-mata kerana nama besarnya, tetapi lebih kerana usahanya menjadi besar. Sasterawan ini tidak akan dikalahkan kerana suaranya adalah sebuah kekuatan dan sebuah gelombang besar di lautan biru.
Selamat hari jadi kepada Samad Said dan para seniman yang bersama rakyat – semoga Tuhan terus memberimu kekuatan kepadanya. – 24 Mac, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments