Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang akan berlangsung di Kuala Selangor bermula hari ini akan menjadi penentu sama ada PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat atau sebaliknya.
Walau apa pun hujah dan pandangan pelbagai pihak, ia menjurus kepada penentuan ini dan inilah mimpi ngeri sebenarnya.
Semuanya ini terletak kepada keputusan perwakilan yang mengundi yang akan memilih dan menentukan siapakah bakal saf pimpinan yang akan mengemudikan PAS di masa akan datang.
Menurut situasi terkini dan mood yang ada, golongan dari jalur keras dilihat beberapa pihak mungkin akan mendominasi keputusan pemilihan pucuk pimpinan yang sangat penting itu.
Bagaimanapun, semuanya belum pasti lagi, kerana hari penentuan akan tiba bermula 4 Jun ini.
Persoalan yang berlegar ialah sama ada selepas muktamar ini, PAS akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat atau akan bersendirian mengharungi cabaran politik tanah air.
Persoalan ini tidak boleh dielakkan kerana ia berlegar sejak beberapa tahun lalu dan muktamar kali ini akan menentukannya.
Benar, beberapa pemimpin PAS memberi jaminan dengan kata-kata PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat. Namun sesetengah pihak berpendapat itu adalah jaminan kata-kata, sementara perbuatan belum tahu lagi atau bagaimana, mungkin berlainan dengan apa yang dikatakan.
Sebab itu, pelbagai pihak meramalkan jika golongan jalur keras yang sangat kritikal terhadap Pakatan Rakyat mendominasi keputusan pemilihan nanti, maka kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyaat menjadi tandatanya yang amat besar.
Namun saya teringat apa yang dikatakan oleh Nik Omar, anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di satu forum di Shah Alam, yang ayahandanya sangat mempertahankan Pakatan Rakyat, bahkan sebelum meninggal dunia dia masih mengingatkan kami supaya pertahankan Pakatan.
Ayahanda, katanya, menatang Pakatan Rakyat kerana besar faedah PAS berada dalam Pakatan.
Pada forum tersebut, tiga anak bekas pemimpin utama PAS – Dr Mujahid Yusuf Rawa, Faiz Fadzil Mohd Noor dan Nik Omar Nik Abd Aziz ketika berucap turut mempertahankan Pakatan Rakyat kerana melihat banyak faedah yang diperoleh PAS bersama Pakatan Rakyat.
Ketiga-tiganya juga menekan perlunya PAS meneruskan hubungan rapat dengan orang bukan Islam. Bahkan menurut mereka ketiga-tiga ayahnda mereka sentiasa memelihara hubungan baik dengan orang bukan Islam.
Bahkan, kata mereka, ayahnda mereka sentiasa mengadakan hubungan rapat bukan saja dengan PKR tetapi juga dengan DAP.
Sikap keterbukaan ayahanda mereka menyebabkan ahli PKR dan DAP turut bertungkus-lumus membantu calon PAS dalam PRU 2008 dan 2013.
Kata Faiz, hubungan baik PAS dengan PKR dan DAP jangan dirosakkan. Kalau ada isu berbeza pandangan boleh dibawah ke meja rundingan.
Menurut Faiz, PAS sebagai parti politik moden tidak boleh bersendirian kerana ia perlukan sokongan kalangan bukan Islam. Bukan saja untuk kemenangan politik, tetapi juga untuk kepentingan dakwah.
Seperti yang saya katakan, memang ada jaminan kata-kata dari sesetengah pemimpin PAS untuk terus bersama Pakatan Rakyat, tetapi ada kenyataan berlainan dari sesetengah sesetengah pemimpin PAS sendiri.
Malah ada kata dua, amaran dan sebagainya yang boleh mengancam perpadduan dalam Pakatan Rakyat.
Kini dengan isu perbalahan PAS-DAP yang meruncing, ada kecenderungan di kalangan sesetengah pendukung PAS yang berlumba-lumba untuk turut ‘menyerang’ DAP dengan hebatnya.
Iaitu melebihi serangan balas pemimpin PAS sendiri. Iaitu untuk menunjukkan mereka lebih ke depan sebagai ‘pendekar ulung’ PAS yang berani dengan lantang ‘membelasah’ DAP, terutamanya pada ketika musim pemilihan pimpinan.
Ahli memang berhak mempertahankan parti dan pemimpin, tetapi jangan lebih sudu dari bubur.
Pemerhati menjangka keadaan PAS akan menjadi lebih buruk nanti jika sekiranya golongan yang kritikal terhadap Pakatan mendominsi keputusan pemilihan parti itu.
Pada waktu itu, kata mereka, kedudukan PAS dalam Pakatan, terutamanya di Selangor akan benar-benar tercabar.
Ada yang berpendapat, sekiranya PAS keluar Pakatan Rakyat, Selangor kemungkinan berdepan dengan situasi di mana Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.
Pada masa ini, PAS dan DAP masing-masing mempunyai 15 kerusi manakala PKR mempunyai 13, tidak termasuk ADUN bebas yang juga bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri, di mana 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Sekiranya PAS tidak lagi berada dalam Pakatan, maka DAP dan PKR akan hanya mempunyai 28 kerusi.
Tetapi sekiranya Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin menyokong terus Pakatan maka PKR dan DAP boleh membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah dengan 30 kerusi.
Demikianlah serba kemungkinan boleh berlaku dan inilah mimpi ngeri bagi menjelang muktamar PAS bermula Khamis ini.
Saya tertarik dengan pandangan Dr Mujahid, Faiz dan Nik Omar yang PAS perlu terus menerus mengadakan hubungan dengan kalangan di luar PAS, terutama dengan kalangan bukan Islam.
Ketiga-tiganya menyebut bagaimana hebatnya sokongan kalangan bukan Islam terhadap PAS terutamanya ketika kempen PRU 2008 dan 2013 hingga ada yang menyelimutkan badan mereka dengan bendera PAS.
Ini, kata mereka, menyebabkan Pakatan Rakyat menang besar dalam kedua-dua pilihan raya umum tersebut.
Oleh itu muktamar PAS bermula Khamis ini, dengan Muktamar Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat sehari sebelumnya akan menentukan hala tuju masa depan PAS.
Mereka yang terpilih dalam pemilihan pucuk pimpinan nanti mestilah berusaha memulihkan kembali imej PAS, memperlihatkan PAS sebagai parti politik yang terbuka, toleransi, bukan fanatik dan ekstrem, memulihkan semula hubungan dengan kalangan di luar PAS, terutama dengan bukan Muslim, bahkan juga melakarkan road-map masa depan PAS yang boleh meyakinkan rakyat. – 2 Jun, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments