Opinion

Pemimpin yang mampu kritik dirinya sendiri

Ketika negara ini, malah pelbagai tempat di dunia menghadapi krisis kepimpinan, umat Islam mengingati kembali sosok Umar Abdul Aziz, Khalifah Islam yang dikagumi bukan saja oleh umat Islam bahkan bukan Islam juga.

Beberapa penulis Barat sendiri yang mengkaji sejarah Timur Tengah turut memuji kepimpinan Umar yang hidupnya sangat sederhana dan peduli rakyat.

Berucap di atas mimbar masjid ketika dilantik menjadi khalifah, Umar berkata:"Demi Allah, jawatan yang kupegang ini sama sekali bukanlah atas permintaanku, baik secara rahasia ataupun terang-terangan."

Beliau seterusnya berkata:"Wahai manusia, sesungguhnya aku diamanahkan dengan tugas memimpin ini tanpa mereka meminta pendapatku lebih dulu, dan bukan pula atas permintaanku sendiri, juga tidak pula atas musyawarah kaum muslimin.

"Aku ini," katanya lagi, "Memberikan kebebasan kepada  saudara sekalian sama ada hendak menyokong aku atau tidak. Maka itu pilihlah dengan siapa yang kamu sukai untuk memimpin kamu."

Ketika semua hadirin memilihnya dan melantiknya sebagai khalifah, Umar berpidato dengan ucapan yang menggugah. "Taatlah kamu kepadaku selama aku taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan jika aku durhaka kepada Allah, maka kamu semua tidak perlu mentaati aku."

Malah ketika berucap itu Umar berlinangan air mata, takut tanggungjawabnya di depan Allah kiranya tidak mampu dipikul.

Ketika pemimpin lain dan penjawat awam di zamannya bermegah kerana memegang pelbagai jawatan, Umar menjalani kehidupan paling sederhana. Ketika ia ditawarkan beberapa uda tunggangan dengan baldu mahal alas tempat duduknya, Umar menolaknya, malah menjual semua kendaraan itu, lalu wang hasil penjualannya diserahkan ke Baitul Mal. Malah Umar memakai pakaian yang murah harganya serta menjual tanah kebun yang diwarisinya, lalu wangnya diserahkan ke Baitul Mal.

Dalam melaksanakan tugas hariannya sebagai khalifah, Umar sangat sedar beliau mungkin melakukan kesilapan dalam melaksanakan tugas negara. Maka dengan segala rendah hati dan berjiwa besar, beliau mengubah kembali dasar dan peraturan yang diakuannya dulu demi keadilan dan kebenaran. Beliaulah pemimpin yang mampu membetulkan kesilapan dan kelemahannya maka menganggap itu adalah perbuatan yang mulia.

Umar - keturunan Umar Al-Khattab - lahir pada tahun 63 Hijrah atau 682 M dan meninggal dunia pada Februari 720 Masehi ketika berumur antara 37 - 38 tahun. Beliau adalah keturunan khalifah Bani Umayyah yang berkuasa dari 717 M (pada usia 34 - 35 tahun) hingga 720 M.  Ayahnya adalah Abdul Aziz Marwan, salah seorang gabenor Umayah. Sungguhpun kehidupan keluarganya dilimpahi kemewahan sebagai gabenor, tetapi Umar memilih kehidupan paling sederhana.

Menurut Imam As-Suyuthi penyebab kematian Umar adalah kerana diracun kakitangan pejabat Bani Umayyah kerana merasakan mereka tidak dapat mengumpul kekayaan di bawah pemerintahan Umar.

Kata Imam Mujahid:"Umar bertanya kepadanya, apa pendapat orang ramai mengenai keadaanku sekarang?" Mujahid: Mereka berkata anda terkena sihir. Umar menjawab:"Saya tidak terkena sihir. Tetapi saya diracun."

Umar kemudian memanggil salah seorang pembantunya dan berkata kepadanya:"Celakalah dirimu, mengapa kamu meracunku?" Pembantu itu berkata:"Aku diupah seribu dinar dan dibebaskan sebagai hamba."

Umar lalu menyuruh pembantu itu menyerahkan wang itu kepadanya. Lalu menyuruh pembantu itu menyerahkan wang itu kepadanya. Lalu Umar menyerahkannya ke Baitul Mal dengan berkata kepada pembantunya itu:"Pergilah ke tempat yang tidak dilihat seseorang."

Dasar ekonomi Umar yang sangat menekankan kebajikan rakyat, menentang penyelewengan dan pembaziran menyebabkan negaranya pada zamannya begitu makmur hingga tidak ada orang yang hendak menerima zakat, tetapi sebaliknya ramai yang tampil hendak memberi zakat.

Inilah contoh pemimpin berintegriti tinggi yang disanjung rakyat. Tidak bersifat diktator, bersedia untuk berundur bila-bila masa, sentiasa juga bersedia untuk dikritik, sangat terbuka dan melayani rakyat tanpa pilih kasih.

Dalam suasana yang ada sekarang, ketika pemimpin di mana-mana pun berebut kuasa dengan segala cara dan mempertahankan kuasanya dengan apa carapun, maka sangat sukar muncul pemimpin seperti watak Umar Abdul Aziz.

Pemimpin di negara umat Islam sendiri demikian keras sikap mereka, malah sanggup menumpahkan darah untuk mempertahankan kuasa. Pemimpin ini biasanya membina kekuatan lingkungannya dengan mengumpul pengampu dan mereka yang berada di sekeliling pemimpin yang berkuasa itu mendapat pelbagai habuan sebagai ganjaran.

Itulah apa yang berlaku masa kini dan tentunya sangat sukar, bahkan hampir mustahil, untuk mendapatkan seorang pemimpin seperti Umar. – 26 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments