Pelbagai pihak bercakap supaya pembangkang membulatkan kesepakatan – 1 lawan 1 dengan Umno/Barisan Nasional (BN) – dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Hanya dengan strategi 1 lawan 1 saja, menurut mereka, pakatan pembangkang akan dapat menewaskan parti yang memerintah sekarang.
Memang ini sangat logik. Tetapi ia mungkin menjadi retorik semata-mata, apabila keghairahan pemimpin sesebuah parti untuk bertanding melebihi segala-galanya, ditambah dengan keangkuhan, walaupun dengan bacaan politik yang salah dan didorong emosi yang mengalahkan semua pemikiran logik dan rasional.
Pengalaman Pakatan Rakyat dalam PRU dulu, iaitu walaupun sudah diputuskan bertanding 1 lawan 1 dengan Umno/BN, tetapi apa yang terjadi berlaku juga pertandingan 3 penjuru di beberapa kawasan Parlimen dan DUN, menyebabkan Umno/BN menang.
Kali ini harapan tinggi diletakkan kepada Pakatan Harapan, pakatan baharu pembangkang di mana secara positifnya kita melihat ada usaha serius untuk memantapkannya.
Dalam persetujuan para pemimpin gabungan pembangkang bulan lalu, 7 perkara digariskan menjadi piagam dan peraturan untuk Pakatan Harapan di mana diwajibkan semua komponannya – PKR, DAP dan Amanah – mematuhinya. Maka hasilnya ditetapkan 1 lawan 1 berdepan dengan Umno/BN.
Tetapi bagaimana jika ada parti politik di luar Pakatan Harapan dengan amat ghairah seboleh-bolehnya mahu bertanding juga dan ia tidak terikat dengan piagam Pakatan Harapan. Siapa yang boleh menghalangnya?
Inilah tanda tanya yang sangat besar, terutama melihat senario politik di Kelantan dan Selangor, malah mungkin di negeri lain.
Saya kira, di sini wajar diulang kembali piagam atau persetujuan yang dicapai pemimpin Pakatan Harapan tempoh hari supaya dapat direnung dan dikaji keberkesanannya.
Persetujuan itu ialah:
1. Keputusan bersama.
Mengikat semua parti berasaskan prinsip konsensus. Parti dibenarkan untuk membuat keputusan dan dasar sendiri, dengan syarat mereka selaras dengan dasar bersama.
Badan yang membuat keputusan utama ialah Majlis Presiden.
2. Pembinaan kesatuan politik.
Ahli dan pemimpin semua peringkat perlu menghormati kedudukan yang diguna pakai pihak lain. Setiap pihak mempunyai hak untuk membawa bantahan dan pertikaian kepada jawatankuasa dalaman bersama untuk penyelesaian.
3. Penyelesaian pertikaian.
Setiap ahli mempunyai hak untuk membuat aduan terhadap seorang lagi ahli parti lain. Aduan pertama perlu diperiksa parti masing-masing sebelum ia dibawa kepada Pakatan Harapan. Satu badan penantara dilantik Majlis Presiden bagi mengendali aduan.
4. Dasar bersama.
Dasar bersama boleh dibangunkan dan dikaji semula dari masa ke semasa mengikut keadaan dan perkembangan. Mereka mestilah dipandu Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi, hak agama lain dan kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan masyarakat etnik yang lain, Bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan dan sesuai dengan peranan Raja berpelembagaan di Malaysia.
5. Pilihan raya.
Hanya seorang calon mewakili Pakatan Harapan setiap kerusi dalam pilihan raya dalam mana-mana peringkat.
Jawatankuasa pilihan raya akan menjalankan rundingan kerusi untuk mana-mana pemilihan ketiga-tiga parti. Keputusan muktamad calon terletak pada Majlis Presiden.
6. Perjalanan kerajaan dan pembangkang.
Perdana menteri Pakatan Harapan dan menteri besar atau ketua menteri di peringkat negeri akan dipilih berdasarkan kata sepakat semua parti komponen dan selaras dengan peruntukan mengenai dasar bersama. Sebuah kerajaan di mana-mana peringkat adalah kerajaan Pakatan Harapan jika wakilnya membentuk majoriti mudah.
Semua kerajaan Pakatan Harapan di mana-mana peringkat perlu berpegang kepada prinsip pemisahan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman.
7. Keabsahan pakatan.
Hanya Majlis Presiden boleh membuat keputusan dan membuat pengumuman mengenai status Pakatan Harapan sebagai gabungan politik. Parti komponen boleh sebulat suara menamatkan keahlian parti jika ia melanggar mana-mana peruntukan dalam perjanjian ini.
Persetujuan ini memang sangat releven dan perlu dipatuhi. Saya optimis, dengan piagam ini, Pakatan Harapan akan hadir dengan segala kemampuannya untuk menghadapi Umno/BN.
Malah, pimpinan Pakatan Harapan sendiri percaya hanya pakatan ini yang akan berdepan secara langsung dengan parti yang memerintah dalam PRU akan datang.
Pihak mana yang merasa berkemampuan menjadi "orang tengah" atau pengantara, menasihatkan parti lain di luar Pakatan Harapan supaya sepakat mengelak pertandingan 2 atau 3 penjuru.
Satu persoalan lagi, adakah pihak "orang tengah ini" mempunyai kuasa untuk "mengambil" beberapa kerusi parlimen dan Dun untuk "diserahkan" kepada parti yang di luar Pakatan Harapan untuk dipertandingkan.
Perjanjian 7 perkara yang dimeterai Pakatan Harapan ini nampaknya tidak memungkinkan hal ini berlaku. Dalam hal ini perlu dingat, Majlis Presiden juga tunduk kepada semangat piagam walaupun sangat dihajatkan – tetapi kita tunggu dan lihat dulu, terutamanya di Kelantan dan Selangor.
Dengan itu perkembangan politik menjelang PRU akan datang sangat menarik, kerana ia penuh dengan teka-teki, sangat sukar diramalkan. – 2 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments