Tidak syak lagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini akan menarik perhatian umum kerana ia amat mempunyai signifikan, terutama kerana ia ditandingi oleh seorang calon muda, professional, cerdas - Dyana Sofya daripada DAP.
Lawannya ialah seorang ahli politik veteran daripada Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.
Mengapa pertarungan di Teluk Intan ini mempunyai makna yang besar dalam arena politik tanah air?
Untuk pertama kali, DAP/Pakatan Rakyat mengemukakan seorang gadis Melayu profesional untuk bertanding di kawasan itu.
Sekiranya dia menang, maka untuk pertama kali dalam sejarah kawasan itu akan diwakili seorang Melayu dalam Parlimen Malaysia.
Kedua, calon DAP/Pakatan Rakyat ini adalah daripada kalangan ahli politik generasi baru, menentang calon generasi lama.
Berdasarkan demikian ramai pengundi baru seperti yang dilihat dalam pilihan raya umum yang lalu, maka DAP/Pakatan Rakyat merasakan ada keperluan yang amat sangat untuk meletakkan calon muda untuk bertanding di situ.
Maka, saya kira, Dyana Sofya dipilih untuk bertanding mewakili generasi baru, bukan kerana cantiknya, tetapi kerana melihat potensinya untuk menjadi ahli politik yang berjaya.
Dia seorang profesional, seorang peguam, cerdas fikirannya, terbuka, sikapnya menentang perkauman dan mengetahui matlamat mengapa dia berjuang dalam politik; iaitu untuk memperjuangkan hak dan keadilan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Inilah sebenarnya aspirasi generasi muda yang mahu membetulkan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam negara. Generasi muda yang diwakili oleh Dyana ini sangat perlu diberikan sokongan dari pelbagai bangsa.
Kepada generasi muda inilah sebenarnya terletak masa depan negara, maka adalah sangat wajar pengundi Teluk Intan memberi sokongan kepadanya pada 31 Mei ini.
Jika menang nanti, Dyana akan bersama rakan muda dalam Dewan Rakyat nanti, seperti Nurul Ezzah, Rafizi Ramli, Tony Phua, Zairil Khir Johari, Ramkarpal Singh yang baru menang di Bukit Gelugur dan lain-lain rakan muda mereka.
Ini tidak bermakna kita menolak kalangan ahli politik veteran atau generasi lama dan tidak pula mereka ini dianggap tokoh politik kitar semula, justeru pengalaman dan perjuangan politik mereka masih berguna.
Yang dimaksudkan di sini, biarlah ada perubahan dalam Parlimen Malaysia, ada suara baru yang mungkin mempunyai idea bernas untuk dikemukakan di Dewan Rakyat itu di samping suara lama yang bermutu.
Bagaimanapun, terdapat ramai ahli Dewan Rakyat yang ada sekarang, terutamanya daripada Pakatan Rakyat yang memberikan hujah dan cadangan bernas. Sama ada pandangan mereka diterima oleh ahli Dewan Rakyat yang lain atau sebaliknya, itu adalah persoalan lain.
Kita sudah melihat hujah bernas yang dikemukakan oleh, antara lain, Hanifa Maydin, Dato’ Kamarudin Jaafar, Khalid Samad, Raja Bahrin, Dr Hatta Ramli dan ramai lagi dari PAS/Pakatan Rakyat.
Mereka memenuhi hasrat rakyat yang sangat berkehendakkan perbahasan yang dynamik, bersifat intelektual, iaitu berbahasan yang bermutu. Bukan bercakap hal-hal yang remeh temeh, sentiment kaum dan seumpamanya.
Rakyat mahukan perbahasan yang benar-benar memenuhi kehendak mereka, bukan pendapat yang dipaksa untuk diterima mereka.
Kerana itu kita yakin calon DAP, Dyana Sofya mempunyai kemampuan untuk menyuarakan kepentingan rakyat dengan berkesan.
Yang penting di sini ialah DAP/Pakatan Rakyat membuat pembaharuan dengan mengemukakan calon muda profesional. Sebab itu sangat wajar pengundi Teluk Intan memilih Dyana Sofya pada 31 Mei ini.
Parlimen Teluk Intan mempunyai dua kawasan DUN, iaitu DUN Pasir Bedamar dan Changkat Jong, di mana DUN Changkat Jong pernah dimenangi oleh calon PAS dalam PRU ke-12, tetapi tewas dalam PRU ke-13 yang lalu.
Manakala Dun Pasir Bedamar menjadi kubu kuat DAP sejak dulu lagi. Suatu ketika dulu DAP pernah meletakkan calon Melayu di situ, iaitu Fadzlan Yahya dan menang.
Menurut pemerhati, pengundi Cina di Teluk Intan melebihi 40%, bermakna DAP hanya memerlukan lebih kurang 15% undi Melayu dan India untuk menang. Tetapi kalau dapat undi Melayu lebih daripada itu tentu lebih baik.
Sementara itu, PAS mempunyai kekuatan di Teluk Intan sendiri, terutama di Changkat Jong. Sebab itu, jentera pilihan raya PAS/Pakatan Rakyat banyak memberi tumpuan di DUN Cangkat Jong ini, di samping menolong di tempat lain.
Sangat menarik untuk diperhatikan bagaimana jentera PAS dan PKR bergerak serentak secara maksima, berkempen menolong calon DAP dan ini membuktikan kesepaduan Pakatan Rakyat yang tidak mungkin dapat digugat oleh musuh politiknya.
Teluk Intan terletak di selatan negeri Perak, adalah pusat pentadbiran dan bandar terbesar di daerah Hilir Perak.
Ia dilingkungi oleh aliran Sungai Perak dan Sungai Bidor dan ia adalah bandar terbesar di selatan Perak.
Nama asal Teluk Intan ialah Teluk Mak Intan diambil dari seorang janda lawa bernama Mak Intan.
Beliau seorang peniaga wanita yang berasal dari Mandahiling, Sumatera dan peneroka yang membuka Teluk Intan di sekitar awal abad ke-19. Pada waktu itu, kawasan yang diterokai oleh Mak Intan dikenali sebagai Pekan Mak Intan.
Berikutan penerokaan ini, ramailah orang seberang keturunan Jawa, Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan kemudian India-Bombay datang mendiami kawasan yang baru diterokai itu.
Mereka bertani dan berdagang barangan tradisi seperti rempah ratus, kain, inggu, kacip, parang dan sebagainya. Berkuatkuasa pada 1 Januari 1982, bandar ini bertukar nama dari Teluk Anson kepada Teluk Intan.
Kesimpulannya, ramai yang menjangkakan kemenangan DAP di Bukit Gelugor Ahad lalu memberikan ransangan dan semangat kepada petugas Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan di Teluk Intan pula. – 27 Mei, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments