Opinion

Politik budiman lawan politik kepentingan

Politik itu adalah kepentingan, demikian menurut seorang ahli akademik Indonesia, Prof Ramlan Sujadi ketika bertemu dengan saya di satu seminar mengenai demokrasi dan pilihan raya di Subang Jaya beberapa bulan lalu.

Beliau yang mengikuti perkembangan politik rantau ini dan antarabangsa, tetapi tidak menyertai mana-mana parti politik di negaranya melanjutkan kata-katanya kepada saya:

"Semua pelaku di pentas politik mempunyai pelbagai kepentingan, ganjaran kuasa, kedudukan, material, kepentingan anak buah dan suku sakat daripada pemimpin dan parti politik yang berkuasa."

Sebab itu, katanya, orang politik dengan pelbagai cara melakukan apa saja asalkan tujuan politiknya berjaya - dengan tipu helah, licik, sogokan, pembelian, malah pembunuhan. Kalau tidak, kata beliau, masakan ahli teori politik dan falsafah Itali, Machiavelli, berpendapat untuk mencapai matlamat politik, maka 'tujuan boleh menghalalkan cara'.

Tetapi saya segera mencelah, politik Islam tidak begitu. Ia sangat murni, luhur, tujuannya menegakkan keadilan untuk mencapai keredaan Allah.

Saya juga menyatakan tujuan politik Islam, seperti kata Syed Qutb ialah untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Tugas tersebut adalah membaiki tingkah laku pemerintah dan pentadbirannya. Dengan kata lain, menurut huraian Syed Qutb, pengertian parti politik dalam konteks kehidupan Islam adalah sekumpulan orang yang membentuk suatu kelompok atau parti yang berdiri atas dasar ideologi Islam iaitu dengan aktiviti dakwah - menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Menjawab hujah saya, Profesor Ramlan berkata:"Benar politik Islam begitu maksud dan matlamatnya. Tetapi anda lihatlah apa yang terjadi di negara umat Islam, di Semenanjung Arab, di Asia Tengah, bahkan di rantau ini. Ternyata hilangnya nilai murni Islam dalam iklim politik negara umat Islam itu sendiri, bahkan ada yang menggelar negaranya 'Negara Islam'.

Ini sangat memalukan, katanya, kerana pemimpin negara umat Islam itu menjadikan politik untuk pelbagai kepentingan mereka, bukan untuk menegakkan Islam, jauh sekali hendak melaksanakan amal makruf nahi mungkar.

Saya menghujah, di negara Arab itu dan juga di benua kecil India, masih ada gerakan Islam atau harakah Islam - seperti Ikhwanul Muslimin, Hamas dan Jamaat Islami yang berjuang untuk menegakkan amal makruf nahi mungkar.

"Tetapi mereka bukan pihak yang berkuasa malah ditekan sedemikian rupa oleh pemerintah yang mengaku diri mereka pemerintah umat Islam," kata Profesor Ramlan.

Ahli akademik Indonesia ini nyata sekali kekecewaannya apabila menyaksikan apa yang berlaku di dunia politik, khususnya di negara umat Islam sendiri.

Saya cuba memahaminya mengapa beliau walaupun pengamat politik, tetapi menjauhkan diri daripada terlibat dalam parti politik, walau banyak parti politik bernuansa Islam di tanah airnya.

Ini disebabkan badan politik Islam di Indonesia - atas pelbagai kepentingan - enggan bergabung bagi melayakkannya mewakili parti politik Islam dalam Pemilu (Pilihan raya Presiden) beberapa bulan lalu. Ini menyebabkan calon parti sekular, Jokowi daripada PDI-Perjuangan menang dalam Pemilu itu.

Sementara itu di Malaysia, perkembangan politik di negara ini ditandai pelbagai masalah - perkauman, penyelewengan, rasuah, pembaziran, ketirisan dan pelbagai lagi yang menyebabkan berlaku pelbagai krisis berterusan.

Memang sangat sukar mengatasi masalah ini kerana ia melibatkan pelbagai kepentingan, baik oleh pelaku utama politik mahupun kaum kerabat dan pendukung setia. Ini kerana melibatkan peluang untuk mendapatkan projek yang bukan sedikit jumlahnya dan pelbagai habuan lain. Maka itu impian pihak yang sangat prihatin, termasuk masyarakat sivil sangat sukar untuk menyaksikan politik dikawal oleh moral yang tinggi, pemimpin berintegriti bagi melahirkan pentadbiran bersih telus dan amanah.

Bagaimanapun, saya gembira mendengar gagasan 'Politik Budiman' yang dicetuskan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat dalam ucapannya di Muktamar Dewan Pemuda di Kota Tinggi September lalu.

Katanya, Pemuda PAS sangat sedar kecenderungan kuat di kalangan sebahagian anak muda Malaysia yang menolak politik kerana meluat dengan gelagat sebahagian ahli politik yang tidak mencerminkan kualiti yang diharapkan termasuklah di dalam Pakatan Rakyat.

Pemuda  PAS, kata Suhaizan, juga sedar bahawa generasi muda adalah majoriti rakyat Malaysia. Menurut data yang dikemukakan oleh Welsh dan Chang pada tahun 2012, jumlah penduduk di Malaysia berumur di bawah 30 tahun adalah sebanyak 63%.

"Sekiranya kita mahu mengambil usia 40 tahun ke bawah sebagai umur maksima belia di negara kita, maka komposisi anak muda di Malaysia semestinya lebih besar. Biarpun golongan ini 'tidak gembira' dengan gelagat sesetengah ahli politik, ini bukan bermakna mereka tidak terlibat dalam proses politik," katanya.

Menurut Suhaizan, kajian mendapati anak muda Malaysia semakin terbabit dengan proses politik di negara kita walaupun tidak begitu berminat untuk menyertai parti politik. Kemunculan kumpulan anak muda independent, tanpa hirarki dan tanpa ketua, terutamanya dalam siri-siri demonstrasi rakyat, wajar diberikan perhatian malah didampingi untuk memahami suara dan hasrat mereka.

Maka itu, katanya, Pemuda PAS mahu menggagaskan 'Politik Budiman' sebagai pendekatan dan orientasi politik di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat.

Menurut Kamus Dewan, budiman ditakrifkan sebagai berbudi, berakal dan bijaksana. Justeru, Gagasan Politik Budiman Suhaizan bertitik tolak daripada asas berikut:

i. Politik berasaskan hujah dan ilmu;

ii. Membudayakan adab al-ikhtilaf (ethics of disagreement) dalam mengurus perbezaan pandangan sesama kita;

iii. Berpolitik dengan akhlak dan etika yang tinggi. Jauhi politik fitnah dan caci maki;

iv. Budaya syura sebagai kunci muafakat;

v. Inklusif dalam membina jaringan dalam masyarakat;

vi. Jujur dan berani menyelesaikan konflik; dan

vii. Integriti dan akauntabiliti.

Jelas nampaknya, gagasan Pemuda PAS ini sebagai jawapan kepada politik berkepentingan. Saya kira gagasan ini adalah harapan masa depan politik Malaysia dan sangat wajar disokong. – 8 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments