Opinion

Politik jendela hospital

Ketika menikmati kelembapan malam daripada jendela hospital, tempat saya dirawat kerana masalah jantung minggu lalu, saya merenung kehidupan ketika menyaksikan simpang siurnya jalan raya, gemerlapan lampu dengan segala kesibukan.

Saya memikirkan, rakyat Malaysia - tanah air yang kita kasihi -  sedang bertarung hebat untuk survival hidup mereka. Tidak sesaatpun terlepas daripada pertarungan ini. Maka terjadilah apa yang terjadi.

Saya melihat pertarungan di pentas politik Malaysia, yang terlibat dengan kuasa, kerana politik itu ialah mengenai kuasa. Tentunya parti politik dengan dasar dan matlamat berbeza antara satu sama lain, namun semuanya mendakwa pejuang untuk kepentingan rakyat.

Saya melihat Parti Amanah Negara (Amanah), parti politik baru di Malaysia yang mendukung konsep “Islam Rahmatan Lil Alamin” – rahmat seluruh alam – sedang memperlihatkan kehadirannya dengan wajah yang menarik. Sopan, friendly, terbuka, progresif dan penuh toleraansi.

Nilai yang sangat dihajati rakyat.

Malam itu, di jendela hospital, saya mengharapkan Amanah hadir dipersada politik tanah air, bukan sekadar memikirkan tentang soal kuasa, tetapi lebih daripada itu untuk melindungi rakyat, sesuai dengan impiannya untuk mendukung konsep “Islam sebagai rahmat seluruh alam”.

Tanpa prejudis kaum, warna kulit, dan kesukuan.

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, generasi ke-2 gerakan Islam ini adalah gambaran paling tepat yang boleh diberikan bagi mencerminkan imej Islam yang dibawa Amanah, membezakannya dengan parti Islam yang lama.

"Generasi kami mengambil pendekatan maqasid syariah, sedangkan generasi sebelum kami mengambil pendekatan melaksanakan syariah secara langsung, seperti berjuang melaksanakan hudud secara langsung," kata beliau.

Beliau menamakan An Nahdah di Tunisia, AKP di Turki dan PKS di Indonesia sebagai antara generasi ke-2 gerakan dan parti Islam di dunia sebagaimana kedudukan Amanah di Malaysia.

"Generasi ke-2 gerakan Islam pasca penjajahan ini lebih memberikan tumpuan kepada keadilan Islam dan “good governance” sebuah kerajaan yang ditadbirnya."

Saya terhutang budi dengan generasi lama parti Islam kerana pengalaman dan penghayatan Islam selama 31 tahun di sana. Dalam tempoh itu saya membaca banyak buku ulama Ikhwanul Muslimin, serta buku Al Maududi, dan Mohd Natsir.

Daripada pembacaan dan pendedahan itu saya mengetahui asas perjuangan Islam yang diketengahkan para ulama haraki ketika itu di mana pendekatannya berasaskan suasana dan keadaan tempat kelahiran mereka pada masa itu.

Kini suasana dan keadaan berubah di semua tempat. Apatah lagi di Malaysia, yang bermasyarakat majmuk dan sangat unik.

Maka pendekatan gerakan Islam juga wajar berubah, walaupun asas perjuangan Islam yang didambakan para ulama terdahulu itu tetapi utuh.

Perubahan pendekatan ini sangat wajar, supaya Amanah tidak terbentur dengan pelbagai masalah dan dogma yang boleh menghalang masyarakat menerimanya sebagai wadah politik baru Islam.

Saya teringat pesan allahyarham Datuk Fadzill Mohd Noor “parti politik Islam mesti berubah mengikut keadaan. Ia mesti berubah seperti air yang mengalir dari gunung ke bukit, seterusnya ke sungai. Air yang mengalir itu sifatnya bersih dan boleh digunakan. Tetapi air yang bertakung dan tidak berubah, maka ia kotor dan tidak boleh digunakan.”

Pendekatan baru yang inklusif ini tentu saja akan berdepan dengan pelbagai dogma dan kekeliruan daripada beberapa pihak, justeru pendekatan lama sudah berakar kukuh dengan sejarahnya yang panjang di tengah masyarakat, bukan saja di Malaysia bahkan di nusantara juga.

Inilah, saya kira, gelombang cabaran yang sangat besar dihadapi Amanah. Semoga ia berjaya melaksanakan perubahan ini, betapa sukarpun.

Ini kerana akan menjadi turning point penting bukan saja bagi gerakan Islam di Malaysia, bahkan bagi demensi politik Malaysia seluruhnya.

Saya menutup langsir jendela, membiarkan malam meneruskan tugasnya, namun pemikiran saya terus segar dengan persoalan ini hingga terlelap, selepas menelan ubat. – 17 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments