Angin malam yang ramah menyapa muka saya ketika merenung suasana malam di Bandaraya Singapura dari flet kediaman anak saudara saya.
Gemeralapan lampu jalan, pusat membeli belah, deru kenderaan pelbagai jenis, MRT yang hilir mudik dengan lancarnya, kesibukan pedagang kecil dan besar, orang hilir mudik membeli-belah dengan segala keperluan adalah warna-warni kota termoden di Asia.
Singapura yang dolarnya bernilai tinggi, dikatakan antara kota termahal di dunia, hampir menyamai Tokyo dan kota-kota di Eropah dan Amerika.
Dengan penduduknya kira-kira empat setengah juta orang terdiri daripada kaum Cina, Melayu, India dan lain-lain dalam masa setengah abad, sejak di bawah pemerintahan PAP, ia membangun sebagai kota termoden, yang tidak pernah terbayangkan oleh sesiapapun setengah abad yang lalu.
Di sinilah orang Melayu – seperti kaum lain di Singapura – bertarung untuk survival hidup masing-masing.
Saya menyaksikan bagaimana orang Melayu masa kini, atau Melayu baru Singapura, berjaya menempatkan diri mereka dalam kedudukan yang sama seperti kebanyakan kaum lain. Mereka bertungkus lumus bekerja dan berniaga, tidak bersikap mengalah dengan keadaan yang ada.
Dalam hal ini peranan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura turut membantu para peniaga Melayu dalam pelbagai cara. Dewan tersebut mempunyai ahi seramai 300 orang terdiri daripada peniaga bersaiz besar, sederhana dan kecil.
Menurut Timbalan Presidennya, Junaidah Tarjo, Dewan tersebut berusaha untuk menambah ahli hingga seramai 1,000 orang dan ini tidak mustahil dicapai memandangkan usaha sungguh-sungguh Dewan itu membantu peniaga Melayu-Singapura.
Dewan tersebut, menurut Junaidah, menyediakan bantuan guaman kepada ahlinya dalam pebagai urusan, mengadakan program meningkatkan perniagaan mereka, mengadakan hubungan lebih luas dengan negara tetangga.
Tidak lama dulu, Presiden Dewan itu, Abdul Rohim Sarip mengetuai rombongan ahli Dewannya melawat Shah Alam, Selangor dan menyatakan minat untuk menjalin usaha sama dengan rakan niaga di Malaysia terutamanya pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (IKS).
Antara usaha sama yang boleh diterokai bersama, katanya, ialah bidang bioteknologi berasaskan herba seperti kosmetik dan barangan makanan halal yang giat dipromosikan oleh Malaysia melalui kewujudan hab halal di negara ini.
Rohim turut melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di kediaman rasminya di Shah Alam. Beliau berkata 80% daripada perniagaan di Singapura adalah berbentuk IKS dan ini amat sesuai untuk mengadakan kerjasama dengan rakan-rakan seangkatan dari Malaysia, katanya.
Kemajuan orang Melayu-Singapura tentunya sering diasosiasikan dengan wajah Geylang Serai dan sekitarnya, kawasan tradisi Melayu yang kini berwajah baru.
Ia bukan lagi memiliki wajah serba suram di mana orang Melayu 50 tahun dulu mendiami rumah kayu beratap zink, menonton filem Hindustan untuk menghiburkan hati beberapa jam.
Tetapi kini Geylang Serai dan kawasan sekitarnya – Lorong Engku Aman, Kampung Wak Tanjung, Paya Lebar dan lain-lain – sudah berubah wajah. Pusat membeli-belah, pasar moden menggantikan panggung wayang dan pasar lambak yang bersepah.
Ternyata Melayu baru yang berkualiti mampu menghadapi cabaran dan mampu menjalani kehidupan sama dengan kaum lain. Mereka mampu berniaga dan bekerja sendiri atau bekerja di pebagai sektor, sebahagiannya menjadi golongan profesional yang berjaya.
Bagaimanapun ada sedikit kebimbangan, termasuk Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sendiri apabila beliau menyatakan dalam ucapannya di perhimpunan menyambut Hari Raya dua tahun lalu di Geylang Serai:
“Kita perlu huraikan masalah kita yang utama: adakah kita ada cukup anak untuk membina generasi akan datang? Jawapannya, kita semua sudah tahu. Kadar kesuburan kita memang sudah merosot. Orang Melayu dulu banyak anak, tapi sekarang kadarnya juga merosot.”
Bagaimanapun, katanya, kita tidak hanya berpeluk tubuh. Pemerintah akan cuba sedaya upaya untuk menggalakkan pasangan supaya berumah tangga dan mempunyai anak.
Lee mengharapkan supaya terus berusaha untuk meningkatkan pembangunan masyarakat Melayu/Islam kita, supaya dapat maju bersama sebagai satu bangsa.
Saya mendapati prestasi Melayu Singpura kini terus meningkat. Mereka tidak lagi hanyut dengan sentimen dan mengelus-ngelus nostalgia masa lampau, tetapi mereka memikirkan masa depan untuk membina kehidupan baru yang lebih baik.
Melayu-Singapura mendapat naungan dan pertolongan dari badan mendaki di segi pendidikan, Muis dari segi perkembangan agama Islam di mana masjid begitu maju bukan saja dari segi bangunan dan peralatannya yang canggih, tetapi dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti yang menyemarakkan Islam di republik itu.
Tidak lama dulu pertubuhan Islam tertua di republik itu, Jamiyah, menyambut ulangtahunnya yang ke-80, di mana Jamiyah menabur bakti sekian banyak untuk pengembangan dakwah Islam di Singapura.
Saya pernah bertemu beberapa kali dengan pengasas Jamiyah, Al-Marhum Tuan Haji Wanjur di awal tahun 60an ketika menjadi wartawan di Singapura, di mana beliau sangat gigih memperjuangkan Islam semasa hayatnya.
Kini Jamiyah terus subur dan sudahpun menubuhkan Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Darul Ma’wa dan ramai bekas penghuni Darul Ma’wa sudah berjaya, dan menyumbang kepada negara Singapura.
Antaranya, Sufian Anuar. Sufian bermain sebagai penyerang dalam skuad Lions XII. Pasukan beliau berjaya mendapat tempat kedua dalam Liga Super Malaysia dua tahun lalu.
Seorang lagi ialah Zulfadli Nazaluddin. Beliau adalah penganalisis satelit di Singtel. Seorang lulusan politeknik, beliau kini melanjutkan pengajian untuk mendapat ijazahnya di Universiti Singapura.
Seorang lagi, Muhammad Kamal Jauhari Zaini di mana kini berjaya masuk NTU. TTFS (Skim Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi) membiayai yuran pengajiannya di universiti. Baru-baru ini, beliau lulus dengan ijazah Kepujian Kelas Pertama dan menerima Pingat Emas Lee Kuan Yew.
Demikian juga kejayaan seorang lagi anak Melayu, Adil Hakeem Mohamad Rafee. Beliau muncul sebagai salah seorang daripada lima penerima Biasiswa Presiden yang berprestij.
Adil seorang pemimpin pelajar di Raffles Institution. Beliau juga anggota pasukan Singapura yang menjadi juara dalam Kejohanan Debat Sekolah-Sekolah Dunia pada 2011.
Memang setiap orang, termasuk orang Melayu/Islam adalah bahagian penting dalam masyarakat moden Singapura. Mereka mahukan masa depan terjamin, kediaman lebih baik, penjagaan kesihatan yang sempurna dan pebagai lagi.
Di sinilah saya melihat Melayu-Singapura masa kini sudah mempersiapkan diri untuk menyahut cabaran dan kelihatan sudahpun berjaya. – 17 Jun, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments