Beberapa hari selepas Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said menyertai DAP, beberapa sahabat bertanyakan pendapat saya mengenai langkah sasterawan ternama itu, saya menjawab: “Apa salahnya, ini demokrasi, Samad seorang pemikir dan dia sudahpun berfikir sebelum menyertai DAP.”
Untuk beberapa hari saya belum lagi menghubunginya, memikirkan mungkin beliau sedang sibuk dengan perkembangan baru ini, hinggalah penyair Dinsman memberitahu saya bahawa Samad mahu mendengar pendapat saya mengenai langkahnya itu.
Lalu saya menghubunginya, mengucapkan tahniah kepadanya kerana memilih parti yang berintegriti, mempunyai imej bersih. Beliau mengucapkan terima kasih kepada saya.
Pada pendapat saya, sasterawan negara itu membuat pilihan yang tepat, iaitu memilih parti yang mampu mempertahankan integritinya, teguh pada prinsip perjuangannya untuk menegakkan demokrasi dan keadilan, menentang perkauman, walaupun selama puluhan tahun DAP digambarkan sebagai parti chauvinis Cina dan pelbagai lagi.
Pada mulanya Samad cuba merapatkan diri dengan pimpinan PAS, terutamanya daripada golongan sederhana seperti Mohamad Sabu, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa , Khalid Samad dan lain-lain sentiasa yang dilihatnya sebagai pemimpin berintegriti dan berada di tengah gelombang rakyat dalam pelbagai perhimpunan dan program lain parti itu dan Samad sangat gembira melihat keadaan ini dan berada di tengah mereka.
Sasterawan Negara itu pernah membaca sajaknya bersama saya di majlis Sambutan Di ambang Merdeka di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur, anjuran PAS Wilayah dua tahun lalu.
Penglibatannya sebagai pengerusi bersama Bersih 2.0 pula bersama Datuk Ambiga Sreenevasan.
Ambiga beberapa tahun lalu dan seterusnya penglibatannya dalam pelbagai kegiatan rakyat, membaca sajak di Dataran Merdeka dan di mana-mana di seluruh negara, memperlihatkan minatnya untuk berjuang bersama rakyat.
Di sinilah saya melihat Samad mendekati PAS dengan harapan bahawa parti itu juga sama-sama mendukung cita-citanya memperjuangkan keadilan rakyat.
Malangnya apa yang berlaku kepada PAS sejak lebih setahun lalu itu sejak berlaku krisis yang puncaknya apa yang terjadi di Muktamar PAS baru-baru ini sangat mengecewakan Sasterawan Negara itu.
Saya sendiri merasakan bahawa peristiwa di Kuala Selangor – tempat muktamar itu diadakan – adalah sejarah hitam bagi PAS dan sangat sukar dibaiki kerosakannya.
Nilai Ukhuwah Islamiyah, kasih sayang sesama jemaah hilang seperti disambar raksasa, digantikan dengan persengketaan dan prejudis. Matlamat menghalalkan cara. Lalu golongan sederhana dan progresif disingkirkan semuanya dengan cara paling hina, seperti “menghalau kucing kurap dengan penyapu”.
Saya kira begitu ramai orang, termasuk Samad sendiri turut merasa amat kecewa dengan peristiwa ini, melainkan musuh politik PAS yang tentunya merasa gembira.
Di sinikah saya terkesan dengan sebuah mesej yang saya terima: “Sebelum muktamar: Jebon, barua, munafik haraki, engkar syhura, pengkhianat, lawan ulama, pro-DAP, fikrah tak jelas, liberal, sekular, anti hudud, pemecah belah. Selepas muktamar: Mari kita rapatkan saf perjuangan kita, rapatkan ukhuwah, kalah menang adat bertanding. Jadilah Khalid Al-Walid. Ruang dalam perjuangan sangat luas.”
Demikianlah lidah bercabang dan sikap kepura-puraan tahap tinggi yang wujud dalam sebuah parti yang bernuansa Islam sejak akhir-akhir ini.
Sebagai pemikir yang merenung kehidupan ini dengan mendalam, termasuklah dunia politik, A, Sa,mad Said akhirnya mengambil keputusan untuk menyertai DAP, sebuah parti politik yang dilihatnya berwibawa, konsisten dengan perjuangan menegakkan keadilan dan demokrasi, tidak sekadar bermain dengan kata-kata, tetapi melaksanakan yang termampu olehnya serta memiliki daya intelektual yang tinggi.
Permusuhan terhadap DAP oleh sesetengah pihak, adalah biasa, ditambah lagi dengan kempen anti DAP oleh BN/Umno sejak puluhan tahun. Namun Samad tidak terpengaruh dengan parti lawan itu.
Penyair dan dramatis Dinsman menyatakan bahawa dia sedar memang ada kerisauan beberapa teman penulis iaitu apabila menjadi ahli DAP nanti Samad akan menerima kritikan, tohmahan dan fitnah, seperti yang biasa berlaku di kalangan orang politik. Bahkan ada yang mengatakan DAP akan memperalatkannya demi kepentingan politik mereka.
Bagi saya, betapapun kita menjangka fitnah dan kutukan akan dihadapi oleh sasterawan negara itu, tetapi tentu sekali Samad sudah merujuk kepada bisikan hatinya sendiri, penilaiannya terhadap semua parti politik tanah air dan membuat perbandingan. Lalu beliau mendapati perjuangan DAP memenuhi sebahagian besar cita-citanya.
Bukan bermakna DAP itu serba sempurna, tetapi bagi Samad, ia memenuhi sebahagian besar ideal yang dihajatinya. Saya kira selepas ini pun Samad akan bebas mengkritik, termasuk mengkritik DAP di mana DAP sendiri pula perlu bersedia untuk dikritik.
Dalam hal ini ramai penulis yang kononnya tidak memihak kepada parti politik, tetapi ternyata sikap, aliran fikiran mereka yang dipancarkan melalui tulisan dan kata-kata, ternyata ada di antara mereka yang memihak. Tidak kurang juga yang membisu melihat kemungkaran yang berlaku di depan mata mereka.
Daripada segi seni-budaya pula, seperti kata Dinsman, rasanya tiada pihak yang lebih tahu dan faham Samad melainkan Seniman Paksi Rakyat (Paksi).
“Maka setakat ini, kami perhatikan walaupun beliau terlibat dalam pelbagai jenis dan lapangan aktiviti, yang menjadi inti pati atau roh atau semangat penglibatannya adalah kerakyatan dan kemanusiaan. Dia masih menjunjung dua prinsip tersebut, di mana Paksi pun menganggapnya sebagai inti pati, roh dan semangat kreativiti seniman dalam berkarya.
Dinsman percaya, keputusan nekad Pak Samad menyertai politik DAP itu adalah juga kekecewaannya terhadap sikap pimpinan PKR dan PAS terhadap seni-budaya.
Kawan dalam paksi, kata Dinsman, sangat faham, kerana Samad adalah sebahagian daripada gerakan itu. – 23 Jun, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments