Opinion

Sambutan luar biasa Parti Amanah

Ketika memasuki dewan tempat berlangsungnya Konvensyen Parti Amanah Negara di Shah Alam minggu lalu, saya tertegun menyaksikan konvensyen tersebut begitu “grand”, warna-warni dan “lively”, dikuasai warna jingga.

Saya kagum dengan usaha bersungguh-sungguh panitia Amanah Negeri Selangor dan Pusat, serta bantuan pelbagai pihak lain hingga Majlis itu begitu berjaya. Pada hal Amanah hanya baru saja ditubuhkan dengan rasminya dua minggu lalu.

Persiapan dewan dan pentasnya yang berwarna-warni, lagu Amanah yang bersemangat dan semuanya sangat mengesankan.

Konvensyen gilang gemilang ini disertai pula oleh “Awan”, iaitu sayap wanita dan Pemuda serta unit keselamatannya dipanggil “Arif”.

Semua entiti ini menyerlah dalam Konvensyen tersebut,  kesepaduan gerak kerja yang sungguh-sungguh, di mana Presiden Amanah, Mohamad Sabu memeriksa perbarisan Unit Arif. Sementara Pemuda pula  turut mengambil peranan penting di samping Awan.

Lebih dari segalanya, ucapan presiden Amanah, Mohamad yang sangat bernas ucapan itu menggariskan dengan jelas misi dan visi Amanah, sebuah parti politik Islam yang dinamik, progresif, terbuka, toleransi, menepati kehendak Islam sebagai Rahmat Seluruh Alam. Menentang perkauman dan ekstremisme agama dalam apa bentuk pun.

Kehadiran pemimpin DAP, PKR serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Wadah, Abim, Ikram dan banyak lagi memancarkan penerimaan mereka terhadap Amanah, malah menyokong perjuangan Amanah.

Dengan sifatnya sebagai parti pelbagai kaum, tetapi berpaksikan Islam, menarik perhatian pelbagai kaum dan golongan. Penerimaan luar biasa dari rakyat terhadap Amanah, menghantar isyarat jelas bahawa inilah sebuah parti politik Islam yang menepati serta sangat dinantikan oleh rakyat Malaysia.

Iaitu ketika rakyat sangat kecewa dengan parti politik perkauman yang menyebabkan negara ini terhempas dipelbagaikan krisis – ekonomi, rasuah, penyelewengan, keteresan dan pelbagai kebejatan. Ini disebabkan pemimpin yang tidak ada rasa malu dan rasa tanggungjawab.

Sebenarnya, inilah cabaran besar yang dihadapi oleh Parti Amanah, walaupun ia sangat baru dan sedang menunggu kelulusan pendaftarannya. Bagaimanapun cabaran ini akan dihadapi bersama dalam Pakatan 2.0.

Ketika berada di dewan untuk menyaksikan Konvensyen Amanah yang gilang gemilang itu, saya terfikirkan dan berdoa semoga pendukung Amanah – dari pemimpin hingga ke pendukung biasa – diberikan kekuatan oleh Ilahi untuk meneruskan perjuangan yang sukar ini.

Cabaran luar biasa ini menuntut pendukung Amanah supaya tidak melakukan kesalahan dalam apa bentuk pun, justeru rakyat sedang memerhatikan sungguh-sungguh kehadirannya.

Dengan Kelantan mendahului negeri lain, diikuti negeri Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah serta negeri lain, dari segi jumlah keahlian Amanah, menunjukkan sambutan luar biasa rakyat terhadapnya. Jumlah itu kini terus bertambah dengan pantasnya.

Mereka yang menghadiri konvensyen tersebut datang dari pelbagai golongan di seluruh negara - bandar dan luar bandar, anak muda dan terpelajar serta juga kalangan veteran politik yang saya kenal ramai sejak dulu lagi.

Ini bermakna Amanah diterima oleh semua golongan dan tentunya mereka ini meletakkan harapan tinggi kepada parti baru ini.

Pimpinan Amanah adalah para tokoh berwibawa, seperti Ahmad Awang (Penasihat Amanah), Abd Ghani Shamsudin (Timbalan Penasihat), Mohamad Sabu, Salahudin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Ir. Shaari Sungeb (kedua-duanya kini menunaikan haji), Mohamed Hanipa Maydin, Khalid Samad, Izham Hashim, Anwar Tahir, Dr Siti Maria. Datuk Seri Ir Nizar Jamaludin, Datuk Raja Kamarul Bahrin, Aminolhuda Hasan, Datuk Abd Rahim Abdullah, Asmuni Awi, Aiman Athirah Al-Jundi dan ramai lagi.

Kini gerak kerja Amanah semakin diperhebat dengan pembukaan lebih banyak kawasan dan cawangan seluruh negara serta rancak mendaftarkan ahli baru sebanyak mungkin.

Di samping itu Amanah juga memperbanyakkan penubuhan sayap wanitanya, Awan dan Unit Arifnya di setiap negeri dan kawasan.

Apabila berlangsung kongres pertama Amanah nanti, keunggulan Amanah akan lebih menyerlah sebagai parti politik Islam yang mendukung sepenuhnya konsep Islam sebagai Rhmatan-Lil-Alamin.

Kini Amanah “walking tall”, berjalan gagah sebagai parti politik Islam yang berpotensi besar. Ia dijangka akan membawakan gelombang besar untuk mencetuskan perubahan melalui demokrasi.

Ia diharapkan Amanah akan mengambil peranan penting, atau “center stage” dalam gabungan politik pembangkang yang baru nanti.

Walaupun ia parti politik yang paling baru di tanah air, tetapi dengan latar belakang pengalaman dan ketokohan pimpinannya yang luas dalam perjuangan politik selama puluhan tahun,  kita yakin Parti Amanah mampu berperanan dengan berkesan dalam memperkukuh pakatan baru pembangkang nanti.

Tokoh ini bukan saja sudah terdedah di peringkat nasional, bahkan di peringkat antarabangsa dengan segala kepakaran masing-masing.

Dari itu, saya yakin, para tokoh ini dan pendukungnya akan menjadikan Amanah bukan saja sebagai parti politik yang mantap, tetapi berintegriti dengan pendukunya memperlihatkan akhlak Islam yang mulia.

Malaysia dan rakyatnya sangat lama merindukan sebuah parti politik berbilang bangsa dan agama, peduli rakyat, memperjuangkan keadilan dan kebebasan, meletakkan nilai kemanusiaan yang tinggi dan harga diri.

Maka di sinilah, saya kira, Parti Amanah, mampu memenuhi hasrat rakyat Malaysia ini.

Dalam tinjauan saya dengan beberapa tokoh NGO di Konvenssyen itu, mereka menyatakan harapan supaya Amanah tidak mengulangi kesilapan dan kelemahan kebanyakan parti politik yang ada sekarang.

Mereka kecewa melihatkan kebanyakannya mengesampingkan integriti dan sibuk memikirkan kepentingan puak dan kaum, menyebabkan mereka terlibat dengan politik perkauman, rasuah dan penyelewengan.

Yang utamanya, Amanah mestilah muncul sebagai parti Islam yang berintegriti, benar-benar memikul amanah rakyat dengan pendukungnya memiliki akhlak Islam yang tinggi. – 22 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments