Pemimpin utama Umno mulai sedar Umno hanya bertahan di kampung dan berusaha membuat perubahan serta cuma bersikap sederhana.
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini menyatakan kebimbangannya apabila melihat perkembangan hari ini di mana Umno hanya bertahan di kampung.
Umno katanya, semakin hilang sokongan masyarakat bandar yang lebih terbuka, lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari segi pemikiran, nilai dan cara hidup.
“Dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, Umno kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Kita kalah di Shah Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan banyak kawasan lain yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat Umno. Kita juga kalah teruk di Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia,” kata beliau lagi.
Ini adalah sebuah kenyataan pemimpin Umno yang berterus-terang dan terbuka serta mempunyai kesedaran yang cukup mengenai kelemahan Umno walaupun begitu lama memerintah.
Namun pelbagai pihak meragukan apabila pemimpin Umno itu bercakap mengenai kesederhanaan dan mahu bersikap sederhana. Ada yang bertanya, sejak bila Umno bersikap sederhana?
Umum mengetahui dalam sejarahnya Umno tidak pernah bersikap sederhana baik dalam politik, sosio-ekonomi dan lain-lain. Teriakan perkaumannya, kehidupan bermewah-mewah pemimpinnya, keangkuhan ahlinya kerana lama berkuasa, dilihat tidak memungkinkan Umno bersikap sederhana. Kalau bebar bertukar sikap menjadi sederhana, maka itu sangat luar biasa.
Tendensi yang ada dalam parti itu menyukarkannya bersikap sederhana, walaupun retorik pemimpinnya mahukan perubahan, namun kita lihatlah perkembangan selanjutnya.
Bagaimanapun meninjau secara menyeluruh fenomena perubahan masa kini dalam semua bidang kehidupan di negara ini pada keseluruhannya sudah disedari pelbagai pihak iaitu sistem nilai sudah berubah dengan cepatnya, maka parti politik di Malaysia perlulah berubah. Jika enggan berubah, ia akan ditinggalkan.
Oleh itu, pakatan Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS, perlu segera menangani perubahan ini supaya kekal relevan. Hanya dengan melakukan perubahan, PR mampu mempertahankan kuasa di negeri dimenanginya, di samping berusaha untuk menang hingga ke Putrajaya dalam PRU akan datang.
Bagi PAS pula jangan ada pemikiran untuk menumpukan perhatian kepada pengundi Melayu saja berdasarkan pemikiran lama power-base PAS ialah Melayu Islam.
Sikap ini mengkaburkan peluang PAS untuk memenangi banyak kerusi yang akan dipertandingkannya. Lebih-lebih lagi berdasarkan fakta yang ada, menurut kajian pengundi luar bandar hanya tinggal 25%, suatu jumlah yang sangat besar tetapi jumlah pengundi di bandar semakin bertambah besar, iaitu meliputi pengundi pelbagai kaum.
Pemimpin Umno sendiri seperti ucapan Muhyiddin tadi, sudah mengakui masyarakat bandar lebih terbuka, lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari segi pemikiran, nilai dan cara hidup.
Dalam PRU lalu, Umno kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Umno/BN kalah di Shah Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan banyak kawasan lain di mana suatu ketika dulu adalah kubu kuatnya. Umno juga kalah teruk di Selangor, iaitu negeri termaju di Malaysia.
Dalam hal ini PAS/PR jangan berasa lega atau selesa dengan pengakuan pemimpin utama Umno itu mengenai kekalahannya di kawasan bandar dan juga gagal mendapat sokongan majoriti Melayu bandar sendiri.
Keadaan mungkin tidak kekal begini kerana sifat politik sangat dinamik, cepat berubah, Justeru, PAS/PR perlu mengatur strategi dan melakar road-map daripada sekarang jika masih bercita-cita untuk menang bagi menguasai Putrajaya dalam PRU akan datang.
PAS sendiri tentunya perlu memikirkan secara serius bagaimana memperbaiki imejnya dan persepsi rakyat terhadapnya.
Benar sokongan undi Melayu kepada PAS sangat perlu. Justeru, perjuangan PAS berasaskan Islam tetapi dalam masa yang sama PAS juga perlu mendapat sokongan daripada pengundi bukan Melayu khususunya di bandar. Adalah salah jika berfikir PAS hanya perlu menumpukan perhatian kepada undi Melayu saja.
Perlu diingat, kemenangan calon Melayu di bandar banyak bergantung kepada sokongan undi bukan Melayu seperti di Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Perak, Melaka, Kedah dan beberapa negeri lagi.
Jika PAS lebih banyak hendak memfokuskan kepada undi Melyu saja, akhirnya nanti PAS mungkin banyak menang di Terengganu, Kelantam dan Kedah, sedikit di negeri lain. Tetapi itupun belum pasti.
Jika keadaan seperti itu berlaku, maka PAS akan kembali seperti keadaan sebelum tahaluf siyasi, iaitu kebanyakan kerusi hanya di kawasan pengundi Melayu – Terengganu, Kelantan dan Kedah, itupun ada yang kalah.
Sebab itu, tiada pilihan lain kepada PAS melainkan ia mesti bersama dengan PR untuk mempertahankan kerusi yang ada baik di Selangor, Perak, Johor dan beberapa negeri lain, malah menambahkan jumlahnya.
Boleh dijangkakan selepas PAU minggu lalu, pemimpin Umno dan para aktivisnya mulai berusaha mengatur strategi untuk melakukan pelbagai perubahan bagi memenangi kembali kawasan bandar, dengan segala jentera dan kewangannya.
Dari itu jika perpaduan dalam PR masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya malah pergeseren dalaman dalam PAS sendiri masih wujud hingga kini, maka kemungkinan PR akan mengalami kekalahan.
Dalam keadaan yang ada sekarang, mungkin hanya DAP seperti yang diramal beberapa pihak, memperoleh kemenangan besar kerana sokongan besar pengundi Cina, malah pengundi berbilang kaum. Tambahan pula DAP dilihat hampir-hampir tidak menghadapi masalah dalaman, kalau adapun sangat minima. – 2 Disember, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments