Sambutan hebat diberi masyarakat pelbagai kaum terhadap Majlis Hi-Tea Tahun Baharu Cina pada sebelah petang Parti Amanah Negara (Amanah) Bahagian Kelana Jaya, Selangor membawa ke majlis perasmian pejabatnya pada malamnya, di tengah pusat bandar Petaling Jaya Selatan menggambarkan parti itu terus berkembang dengan pantas.
Antara beribu orang itu, ada yang datang sejauh Alor Star, Perak, Johor, Kota Raja, Kuala Selangor dan tempat lain. Menggambarkan Amanah dengan pantasnya hadir di mana-mana.
Ini luar biasa, kata seorang penyokong dari Alor Star yang datang bersama kawan-kawannya untuk menyaksikan perkembangan pesat Amanah di Selangor.
Seperti diberitahu Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Izham Hashim dalam ucapannya malam itu, Amanah Selangor bekerja keras untuk menambah ahli, bukan saja di bandar tetapi juga di luar bandar.
Memanglah, minggu lalu program besar Amanah mendekati rakyat di luar bandar berlangsung dari pagi hingga ke tengah malam di Sabak Bernam dan kawasan sekitarnya, iaitu zon utara, kawasan tradisi Umno sejak bertahun-tahun. Sambutan sangat baik sekali.
Izham berkata, musuh utama ialah Umno/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan bekerja memperkukuh kedudukan untuk menghadapi Umno/BN.
Beliau mengingatkan: “Tidak ada lagi Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, Lupakan, itu hanya mampi, yang ada adalah Pakatan Harapan di mana Amanah bekerja keras turut memperkukuhnya. Jangan ada lagi pemikiran untuk menghidupkan kembali PR – gabungan PKR, DAP dan PAS dulu itu.”
Ini senada dengan ucapan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh malam itu, yang berkata Pakatan Harapan adalah politik baharu di Selangor.
“Mari kita sama-sama memperkukuhnya,” katanya disambut tepuk gemuruh daripada orang ramai.
Gambaran jelas di majlis sambutan Amanah Selangor itu ialah penerimaan rakyat pelbagai kaum di Selangor terhadap Amanah, mengukuhkan keyakinan pemimpin Amanah Selangor untuk berperanan memperkukuh Pakatan Harapan di negeri kaya itu.
Memang tidak ada pilihan lain, untuk menghadapi Umno/BN, kecuali melalui Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP.
Tidak mungkin ada parti lain di Selangor, betapapun lama usianya dan ramai ahlinya yang mampu secara bersendirian atau dengan apa cara lain untuk berdepan dengan Umno/BN.
Berdasarkan realiti politik yang ada, dengan sambutan pelbagai golongan masyarakat di Selangor, Amanah berpotensi besar diterima rakyat, dengan syarat ia tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menghakiskan sokongan rakyat kepadanya.
“Don’t make any mistake, the rakyat will support you,” kata Lim, seorang perunding syarikat jurubina di Petaling Jaya.
Tetapi beberapa orang yang ditemui pada majlis malam itu bersetuju supaya Amanah memberikan perhatian khusus kepada pengundi Melayu baik di bandar mahupun di luar bandar, di samping memberi tumpuan kepada pengundi bukan Islam.
“Ini penting supaya Amanah diterima semua kaum di Selangor,” kata Jaafar dari Kuala Selangor yang datang khusus untuk majlis malam itu bersama rakannya.
Memang diketahui selain zon utara, selatan juga perlu diberi tumpuan kerana majoritinya adalah pengundi Melayu.
Daripada tinjauan yang dibuat, menunjukkan senario politik di Selangor akan terus berubah dan tidak ada nada lagi bayangan atau impian politik lama – PR akan bangun semula untuk mendominasi politik di Selangor.
Wajah politik baharu Selangor, tidak syak lagi ditentukan Pakatan Harapan, sementara politik PR, atas kesilapannya sendiri kini tinggal sejarah.
Pakatan Harapan mesti diperkukuh dengan segera menutup ruang kelemahan umpamanya menyelesaikan segera isu perselisihan faham antara PKR dan DAP Pulau Pinang.
Juga pemikiran sesetengah pihak di Selangor yang tidak habis ingin menghidupkan kembali “semangat” PR dengan apa cara sekalipun.
Secara realitinya, PAS tidak ada dalam gabungan Pakatan Harapan yang baharu ini.
Oleh itu, ia mungkin bertanding sendiri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Biarkanlah ia bertanding sendirian, justeru ia adalah parti lama dan besar dari segi jumlah keahliannya. Demokrasi sangat membenarkan.
Sepatutnya memang wajar pembangkang berdepan satu lawan satu dengan Umno/BN, namun realiti politik yang ada, nampaknya tidak memungkinkan ia berlaku.
Oleh itu biarkanlah, secara demokrasi, bertanding 2 atau 3 penjuru.
Dalam PRU lalu, PR bersetuju bertanding satu lawan satu dengan Umno/BN.
Tetapi apa yang terjadi dengan DUN Kota Damansara, Sungai Aceh, Pulau Pinang dan beberapa DUN di Terengganu?
Ini pengalaman yang sungguh pahit, menunjukkan tidak semudah itu menentukan satu lawan satu, kerana keputusan bergantung akhirnya kepada kematangan pimpinan politik, kesabaran, toleransi dan mampu mengetepikan emosi dan keangkuhan pemimpin.
Kini Pakatan Harapan, sudah memeterai 7 piagam yang ditandatangani pimpinan tertinggi gabungan baharu pembangkang itu.
Sangat memadai setakat ini, pendukung Pakatan Harapan mematuhi isi piagam yang sudah dimeterai.
Tugas penting secara bersepadu komponen Pakatan Harapan ialah menentang perkauman dan sikap melampau semua segi. Tugas itu mesti dipikul bersama, bukan diserahkan kepada Amanah saja, tetapi juga PKR dan DAP.
Jika perkauman dapat dihalang, walau dalam tahap yang minima, maka usaha Pakatan Harapan dikira berjaya.
Ini kerana isu perkauman ini sudah sangat lama dan menimpakan pelbagai kerosakan kepada negara. – 1 Mac, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments