Opinion

Ada pula Bible Jawi?

5 FEB — Amat menakjubkan di tengah keributan isu Bible Melayu menggunakan kalimah Allah, ada pula kononnya ditemui naskhah Bible tulisan Jawi.

Demikian dipetik dari kenyataan seorang timbalan menteri.

Saya tidak pasti di mana Bible Jawi itu ditemui dan setakat ini belum saya temui gambar kitab itu disiar oleh media.

Mengapa tiada pula media  memburu berita Bible Jawi itu bagi mengesahkan berita itu betul?

Saya tidak mahu kata kenyataan sang timbalan menteri itu betul dan tidak juga kata ia karut. Tetapi saya amat musykil akan kebijaksanaan pengembangan agama Kristian menerbitkan versi Bible Jawinya pada masa penggunaan tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu hampir pupus.

Saya tidak tahu kalau dicetak pada masa Jawi adalah tulisan rasmi bagi Bahasa Melayu sebelum merdeka dulu. Satu-satunya akhbar Melayu tulisan Jawi yang dibaca ramai ialah Utusan Melayu yang diterbitkan di Singapura sejak ia diterbitkan tahun 1939 hingga tahun 80an. Sebuah akhbar Jawi lagi yang hidup beberapa tahun selepas merdeka ialah Warta Negara yang diterbitkan di Pulau Pinang.

Ia mati kerana kelemahan perniagaannya. Akan tetapi Utusan Melayu menjadi rebutan antara Tun Razak dan Lee Kuan Yew kerana siapa yang menguasainya akan dapat menguasai politik orang Melayu. Siapa yang menguasai politik orang Melayu, dialah yang berkuasa di Malaysia.

Ternyata Tun Razak berjaya menguasai Utusan Melayu. Maka atas pengaruh itu logik adanya Bible Melayu tulisan Jawi bagi menyebarkan Kristian di kalangan orang Melayu. Masa itu miskipun tulisan rumi ada, tetapi ia tidak populer. Tiada surat kepada Sultan dan daripada Sultan melainkan dalam tulisan Jawi. Urusan pejabat dan komunikasi dalam tulisan Jawi.

Tetapi tulisan Jawi sekarang sudah mati. Utusan Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan itu pun sudah lama mati. Orang yang mengamalkan tulisan habis mati belaka. Peratus orang yang tahu sekarang amat kecil. Itupun sekadar membaca, tetapi tidak lagi mampu menulis.

Yang boleh membaca dan sikit-sikit menulis ialah ustaz dan orang lepasan sekolah agama. Orang-orang yang faham agama ini tidak mudah untuk dipengaruhi Kristian kerana mereka tahu apa yang betul dan apa yang salah pada ajaran Islam.

Maka pada ketika orang sudah tidak tahu Jawi, apa yang Bible dapat buat dengan versi Jawinya? Ia hanya menguntungkan satu dua orang saudagar yang dapat mencetak kitab itu. Bila ia diedarkan tidak siapa dapat membacanya.

Saya rasa Kristian tidak dapat apa-apa dengan mengeluarkan Bible Jawi sekarang. Ia akan menghabiskan duit saja.

Masakan pengembang agama Kristian begitu bodoh menerbitkan kitab yang tidak ada siapa dapat menggunakannya kecuali anai-anai dan gegat.

Dalam suasana yang ada adalah menakjubkan Bible Jawi diterbit dan diedarkan. Tidak mustahil ia ditemui dalam mimpi saja.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments