Opinion

Apa kata Dr Mahathir yang lawan Anwar di Kajang?

Barisan Nasional (BN) sedang tercari-cari calon untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Kebiasaannya, BN meletakkan MCA di situ dan MCA juga merasa ia patut diberi penghormatan lagi.

Bahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri berpendapat, berilah kepada MCA.

Kebanyakan pandangan umum, MCA tidak akan menang. Katakanlah mendiang Tun Tan Siew Sin hidup semula untuk menentang Anwar di Kajang, dia pun boleh mati semula dengan keputusan PRK itu nanti.

Itulah pandangan kebanyakan orang termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, harapan bagi mengalahkan Anwar hanya dengan calon Melayu, tentunya daripada Umno.

Bahkan calon terbaik daripada Umno pun belum dijamin menang.

Calon yang terbaik bagi mengalahkan Anwar pada masa ini ialah Dr Mahathir sendiri.

Kalau Dr Mahathir dirasakan akan kalah juga, maka itu satu kemenangan moral bagi Anwar.

Dr Mahathir sendiri sudah mencadangkan supaya beri saja kepada MCA. Mungkin dia juga mahu mengelak daripada berlawan dengan Anwar di situ.

Maka dia mencadangkan MCA diberi lagi supaya tiada siapa akan mencalonkannya.

Tiada orang lain ada harapan mengalahkan Anwar, melainkan Dr Mahathir. Maka eloklah Dr Mahathir diberi cabaran bagi menghadapi gergasi PKR yang disokong oleh Pakatan Rakyat itu.

Dr Mahathir ada kelebihan berbanding dengan Anwar kerana isterinya, Tun Dr Hasmah adalah orang Selangor.

Kalau beliau dibesarkan dan pendidikan awalnya di Kuala Lumpur, tetapi sebelum Kuala Lumpur jadi Wilayah Persekutuan, asalnya sebahagian daripada Selangor.

Maka Kedah bagi Dr Mahathir tidak berbangkit kerana isterinya dekat dengan Selangor.

Anwar dan isterinya pula tiada kelebihan itu.

Tidak berbangkit tentang seorang yang pernah jadi perdana menteri tidak patut turun ke negeri pula. Hendak jadi apa di negeri kalau dia menang?

Tanggungjawab dan amanah besar bagi Umno dan BN kali ini adalah untuk mengalahkan Anwar.

Tidak usah sebutlah dahulu beliau perdana menteri atau beliau sudah tua dan berpenyakit pula.

Bahkan Anwar patut diajar supaya tidak menyusahkan orang lain, khususnya Umno dan kerajaan.

Yang pernah mengajarnya sebelum ini ialah Dr Mahathir, dan beliau sahaja yang boleh mengajarnya lagi.

Tanggungjawab Umno sekarang bukan sekadar menyekat Anwar, bahkan untuk mengambil semula Selangor.

Sekalipun kekalahan Anwar nanti tidak mungkin menumbangkan Pakatan di Selangor kerana majoritinya sekarang adalah besar, tetapi kemenangan Dr Mahahir nanti dapat menjadikannya ketua pembangkang di Selangor.

Biar beliau ajar Tan Sri Khalid Ibrahim dan Azmin Ali di DUN dan membangkitkan semua kelemahan pentadbiran kerajaan Selangor di bawah Pakatan.

Dengan beliau sebagai pembangkang di Selangor, bersemangatlah Umno untuk mengambil negeri itu semula.

Walaupun Dr Mahathir juga ada kelemahan, tetapi bukankah sekalian rakyat Malaysia terhutang budi kepadanya, kerana di bawah pentadbiran dan kepimpinannya dulu Malaysia menjadi maju mendadak seperti yang ada sekarang.

Bukankah sudah ada yang mencadangkan supaya beliau dikembalikan kepada kekuasaan bagi menangani kepincangan yang tidak terkawal di bawah kerajaan sekarang?

Jika Anwar hendak menjadikan Kajang langkah bagi tangga melompat ke Putrajaya dalam PRU14 nanti, maka Kajang juga boleh memulakan Dr Mahathir untuk kembali lagi ke Putrajaya.

Kalau Dr Mahathir menjadi calon, berpuluh ribu anggota Perkasa akan turun membantu kemenangannya.

Maka Dr Mahathir jangan lari daripada tanggungjawab untuk menyelamatkan negara dan Umno jadi permainan politik tinggi Anwar.

Tidakkah Dr Mahathir terasa beliau ada tanggungjawab di Kajang? – 5 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments