Opinion

Berhijrahlah ke negeri yang disukai pilihan rayanya

30 MEI — Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri telah memanaskan banyak pihak apabila dicabarnya mereka yang tidak suka dengan sistem pillihanraya ini berhijrah ke negara yang sistem pilihan rayanya menggunakan undi populer.

Pilihan raya kita ditentukan oleh jumlah kerusi yang diperolehi tetapi sistem yang satu lagi jumlah kerusi itu ditentukan oleh jumlah undi populer. Jika sistem itu yang digunakan di Malaysia, nescaya kerusi Parlimen yang Pakatan Rakyat dapat sesuai dengan undi populer yang diperolehinya 51 peratus dan BN yang dapat kurang dari 48 peratus undi, kuranglah kerusinya.

Maka menteri itu pun mencabar orang yang mahukan sistem itu, ayuh hijrahlah ke negara yang demikian sistem pilihan rayanya.

Ia seolah-oleh sindirian Tuhan kepada orang yang tidak beriman yang menentang peraturanNya supaya pergi ke alam lain kerana alam ini Tuhan Yang Esa itu yang menciptanya.

Tuhan berkuasa membuat sinidirian itu kerana Dia Maha Mencipta, tetapi manusia sesama sendiri kerana sama-sama dicipta tidak bijak membuat cabaran itu.

Apakah Zahid bijak membuat cabaran itu terserah kepadanya. Tetap kalau 51 peratus pengundi yang memilih Pakatan itu berhijrah meninggalkan negara ini, maka dalam PRU14 nanti Barisan Nasional akan menang 222 kerusi Parlimen tanpa bertanding.

Malaysia tidak akan ada pembangkang lagi kerana pembangkang sudah pindah sama ada ke Amerika, Indonesia, Mesir dan lain-lain. Atau yang tidak mahu berpolitik hijrah saja ke Saudi atau Brunei Darussalam.

Dengan demikian terjaminlah Umno. Calonnya tidak akan ditentang oleh sesiapa lagi. Yang lebih seronok ialah MCA yang masa depannya agak gelap, dengan demikian semua calonnya baik di Gelang Patah, Kepong, Cheras dan lain-lain menang tanpa bertanding.

Dan dengan cara itu saja kita akan lihat Pulau Pinang akan dikuasai semula oleh Gerakan.

Jika apa yang Zahid seru itu disahut oleh Pakatan, nescaya Umno akan dapat apa yang tidak pernah didapatinya. Paling baik Umno dengan Perikatan di bawah Tunku Abdul Rahman Putra dulu menang 51 dari 52 kerusi yang ditandinginya dalam tahun 1955. Ia kalah satu saja di Kerian. Kemenangan besar itu adalah melalui pertandingan. Masa itu satu kerusi saja Umno menang tanpa bertanding dengan calonnya Hashim Awang di Seberang Perai.

Tetapi kali akan datang ini ia menang tanpa bertanding 222 kerusi. Paling baik selepas merdeka ialah kali pertama Umno, MCA dan MIC bertanding atas nama Barisan Nasional menggantikan Perikatan dalam PRU 1974. Dengan PAS berada dalam BN, berbelas-belas kerusi dimenanginya tanpa bertanding.

Yang saya ingin tahu, adakah kerajaan akan menyediakan kapal bagi hijrah besar-besaran ini?

Yang seronok dengan sistem ikut undi populer itu bukan orang DAP dan PKR saja. Orang PAS pun kesemuanya suka sama. Lebih 90 peratus bersama PAS itu adalah orang Melayu.

Umno mendahulukan perjuangan orang Melayu dan selepas itu ia mengutamakan semua rakyat.

Tiba-tiba yang menyambut seruan Zahid itu orang Melayu. Dalam Melayu itu ada Pak Pandir, ada Luncai, Lebai Malang, ada Pak Belalang dan lain-lain. Kalau bangsa Melayu itu seperti watak dongeng Melayu itu, maka mereka saja yang berhijrah kerana terlalu sensitif atas cabaran Zahid.

Orang Cina dan orang India mungkin tak makan dengan cabaran Zahid. Mereka tidak akan ke mana-mana. Mereka akan kekal dengan caranya. Orang Melayu dan Islam saja yang berhijrah untuk mencari apa yang dihajati.

Maka apa akan jadi? Melayu ramai hijrah. Mereka makan umpan. Cina dan India macam ikan sepat, tak makan umpan. Nescaya kurang pula peratus orang Islam. Tinggal Malaysia ini untuk ditandingi oleh Umno dan DAP saja.

Apa kata kalau Malaysia jadi macam itu selepas dengar cabaran Zahid!

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments