2 APRIL — Sebagaimana semua menunggu bila Parlimen hendak dibubarkan, maka semuanya menunggu bila pula DAP hendak diharamkan?
RoS (Registrar of Societies) sudah mengingatkan supaya DAP mengadakan undi semula pemilihan pimpinan pusatnya jika tidak mahu dikenakan tindakan. Tindakan itu mungkin diharamkan. Dan pihak yang benci DAP memang mendesak supaya RoS membatalkan pendaftarannya.
DAP setakat ini enggan mengadakan pemilihan semua pimpinannya. Ia telah memaklumkan sendiri berlaku salah kira atas keputusan pemilihan itu dan ia tidak dibetulkan. Tiada siapa tahu DAP melakukan kesilapan jika ia tidak memaklumkannya kepada umum.
Sekarang semua menunggu bila RoS akan membatalkan pendaftaran DAP. Dalam waktu yang suntuk ini jika diharamkan, sulit sedikit baginya bagi mendaftarkan yang baru.
DAP bersedia untuk diharamkan. Penasihatnya Lim Kit Siang menyatakan DAP sedia bertanding atas nama PAS dalam PRU13 ini. Dan reaksi Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali ialah PAS sedia memberi laluan.
Soalnya sekarang bila RoS hendak mengharamkan DAP? Jika RoS sebuah agensi yang tegas dalam serba serbi, maka ia mesti haramkan DAP dengan segera sekurang-kurangnya sebelum hari penamaan calon.
PAS sekarang dipercayai menunggu. Ia tidak mendoakan supaya DAP diharamkan, tetapi kalau diharamkan, maka ia satu cabaran yang menarik bagi menguji kematangan politik Pakatan Rakyat dalam suasana baru politik Malaysia sekarang.
Semua akan menyaksikan pejuang Islam dalam PAS menawarkan kemudahan kepada sekutunya bagi membuktikan kemantapan dan kematangan kerjasamanya dan DAP pula di lihat berani menghadapi pengundi tradisinya untuk menggunakan lambang PAS, Bulan Penuh Purnama. Ia menguji kematangan pengundi bukan Islam mampu membuat perubahan untuk bersama PAS.
Sikap baru Kit Siang itu seperti satu letupan bom yang menggamamkan BN khususnya Umno dan MCA. Sikap DAP itu bukan suatu pendirian gila. Ia sikap yang berani. Dan PAS juga tidak gila. Mereka sama-sama berani.
Muapakat kumpulan yang berani biasanya membawa kejayaan.
Jika DAP diharamkan, apa yang dapat dibayangkan betul DAP bertanding atas nama PAS, maka kita akan melihat bendera Bulan akan memenuhi semua kota besar di Malaysia seperti Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Sseremban dan lain-lain. Tenggelam semua bandar dengan Bulan dan Dacing. Biasanya yang hijau lebih menyerlah dari yang biru.
Di Gelang Patah orang akan mengarak Bulan bersama Lim Kit Siang. Karpal Singh selalu dibayangkan orang yang asing bagi PAS. Tetapi kali Karpal akan berada di bawah payungan Bulan yang hijau.
Pada malam mengira undi nanti kita akan mendengar pengumuman demi pengumuman. Bukit Bintang dan Siputih dimenangi oleh PAS. Ipoh Timur, Batu Gajah dan Taiping dimenangi calon PAS. Kuching, Miri, Sibu dan lain-lain PAS juga menang.
Gelang Patah? Patahlah Umno dan BN.
Paling ditunggu-tunggu ialah di Pulau Pinang. Majoriti yang menang ialah PAS termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng. Ketua Menteri itu adalah calon PAS. Maka Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan merestui Guan Eng sebagai calon PAS untuk mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri kerana pada masa itu DAP belum lagi ada parti sendiri.
Untuk berapa hari kita belum tahu, tapi sejarah akan tercatit PAS ada kerajaan di Pulau Pinang.
Ini semua kerja Allah. Kita tidak tahu. Tuhan boleh menjatuhkan kerajaan yang Dia mahu dan Tuhan boleh menaikkan kerajaan yang Dia mahu.
Putrajaya dapat ditawan atau tidak itu cerita lain. Tetapi sekarang Pakatan/PAS bukan saja di Kelantan dan Kedah tetapi di Pulau Pinang dan beberapa negeri lagi.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments