Opinion

Calon BN patutnya bertanding di Taiwan?

Dalam ceramah pra kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Ketua Pemuda DAP yang juga Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke menyindir calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun sepatutnya tidak bertanding di Kajang, sebaliknya bertandinglah di Taiwan.

Mengikut pemimpin DAP itu, dalam kempen awalnya pada pra kempen PRK itu, wakil MCA itu dikatakan menyebarkan kartun politik. Tidak disebutnya kartun apa dan mengenai apa.

Tetapi setelah disiasat, kartun itu dikatakan diciplak dari Taiwan. Kartun itu dikatakan tidak sesuai dibawa ke Kajang dan Chew cadangnya lebih baik bertanding di Taiwan, bukan di Kajang.

DAP tidak kata MCA adalah parti Cina yang berkiblat ke Taiwan, tetapi ia implikasinya ialah parti itu condong ke Taiwan.

Selama ini musuh politik DAP sentiasa melabelkan parti itu tidak bertunjang di Malaysia. Ia tidak menjunjung langit di bumi ia dipijak. Sebaliknya ia adalah parti yang berkiblat ke Singapura. Ia adalah disebabkan parti itu asalnya ialah PAP yang memerintah Singapura. Masa itu Singapura sebahagian daripada Malaysia.

Isteri setiausaha PAP Semenanjung, Devan Niar adalah warga Singapura. Pilihan PAP Malaysia ialah menukar parti itu kepada DAP. DAP menghadapi kesukaran untuk membebaskan dirinya daripada dikatakan sebagai parti Singapura.

Yang mengata DAP itu parti Singapura bukan sekadar Umno, bahkan MCA juga memperoloknya sebagai parti Singapura. Penyokong MCA pada peringkat akar umbi sama naik memomokkan ia parti Singapura.

Bahkan hingga sekarang parti itu masih diperleceh sebagai tidak bertunjang di sini. Apatah lagi perjuangannya pula adalah Malaysian Malaysia, satu slogan yang digunakan oleh Lee Kuan Yew sebagai warga Malaysia dulu.

Justeru parti itu terus mendapat sokongan masyarakat Cina dan sejak lebih 10 tahun lalu ia menjadi rakan PAS dalam Barisan Alternatif dan selepas PRU 2008 ia ikut membentuk Pakatan Rakyat, maka tidak berapa laku lagi isu parti Singapura itu.

Manakala MCA sejak zaman Tunku Abdul Rahman dikira sebagai pelobi Taiwan, pemimpin masa itu adalah anti Komunis China, ia sentiasa dikira ancaman kepada Malaysia, maka Umno dan Tunku adalah pro Taiwan kerana Taiwan di bawah ketiak Amerika. Memang Taiwan pula menjadi pusat orang Cina melanjutkan pelajaran.

Sekarang dalam politik yang lebih terbuka dengan generasi muda, tidak banyak peduli ia pro Singapura atau pelobi Taiwan, apa lagi apabila dalam transformasi politik Najib ialah mempromosikan 1Malaysia.

Arus perdana politik di Malaysia keluar daripada kepompong perkauman. Apabila arus perkauman itu ditinggalkan, maka ia menjadi suasana gelap bagi BN. Bagi menyelamatkan Umno dalam kekuasaan, maka ia terus menanamkan rasa benci kepada DAP yang dikatakan akan menghakis saki baki kedaulatan Melayu yang masih ada.

MCA sendiri membangkitkan isu pelajaran Cina yang dikatakan cuba diabaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi menteri pelajaran dulu. Ia mahu menimbulkan isu itu di kalangan pengundi Cina di Kajang bagi menolak Anwar. DAP sejak bersama dengan PAS dan PKR lebih fokus kepada keadilan, kerajaan baik dan anti rasuah.

Dalam suasana ini, calon BN datang dengan kartun Taiwan. DAP mulai kaitkan MCA meniupkan semangat pro Taiwan bagi mengingatkan Umno apakah ia suka Cina Malaysia terus bersama Taiwan, sedangkan transformasi politik adalah untuk 1Malaysia.

Ketika DAP sudah keluar daripada momokan Singapura, DAP kata MCA masih lagi Taiwan. – 7 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments