17 OKT ― Telah banyak yang sudah diikuti tentang isi Ekonomi Rakyat yang hendak dibangunkan oleh Pakatan Rakyat bagi menuju Negara Berkat seperti tema bajet Ekonomi Rakyat Negara Berkat yang dibentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 September lalu.
Tentulah ia telah difahami apa yang hendak dibuatnya oleh setengah pihak dan setengah pihak lagi tidak mahu mempercayai dan memahaminya.
Saya tidak bercadang untuk mengupas tentang Ekonomi Rakyat itu kerana telah banyak diperkatakan. Yang hendak saya ketengahkan ialah tentang Negara Berkat yang hendak dicapainya.
Kalimah berkat atau barakah adalah perkataan suci yang dipakai antara Tuhan Maha Pencipta dengan ciptaannya taqwa lagi soleh.
Berkat itu adalah satu anugerah Allah kepada makhluknya yang taqwa yang hidupnya adalah semata-mata mencari rahmatNya dan keredhaanNya. Rahmat dan keredhaanNya itulah berkat atau barakah.
Ekonomi yang hendak disediakan oleh Pakatan Rakyat ialah yang boleh mendatangkan berkat kepada negara supaya penduduknya dan dunia serta orang-orang yang berurus dengan negara itu mendapat kebahagian dan keselesaan.
Negara itu tidak dibebankan dengan hutang, malah tidak berhutang. Ia tidak muflis. Rakyatnya cukup makan, ada kediaman dan pakaian, ada kemudahan rawatan yanag murah, ada perkhidmatan pengangkutan yang mampu bayar, jalannya tidak ditol, pelajarannya percuma dan kalau berbayarpun adalah mampu bayar.
Apabila negara itu dapat berkat, sekalian rakyat ― kaya dan miskin, raja dan pacal, orang besar dan orang bawah, Islam dan bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu ― dapat hidup selesa, bebas dan mudah mencari rezeki, mendapat perlindungan dari ancaman jenayah dan maksiat.
Setiap makhluk terutama manusia dijamin rezeki, malah rezeki telah dinikmati sejak di alam janin lagi. Yang menyeababkan bayi lahir kerana ada rezeki. Apabila rezeki itu tidak ada, dia pun mati. Ada rezeki yang tidak payah dicari seperti udara. Negara yang ada barakah udaranya bersih. Mereka yang tidak mendapat barakah, udara yang disedutnya bercampur asap toksik dan racun nuklear.
Baik di negara yang berkat dan negara yang tidak berkat semuanya ada rezeki. Ada rezeki yang mesti dicari. Bersawah, berburu, bekerja di kilang, berniaga dan sebagainya mencari rezekilah namanya. Ada yang mendapat banyak rezeki hingga kaya raya dan ada yang rezekinya ala kadar, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Manusia dikehendaki Tuhan berdoa. Boleh minta apa saja, rezeki yang banyak dan usia yang panjang. Tetapi rezeki yang banyak, kekayaan melempah ruah dan usia yang panjang tidak menjamin kebahagian. Qarun kaya raya. Demikian juga Muammar Ghadafi. Harta yang bertimbun itu tidak mendatangkan kebaikan. Iblis hidup berjuta tahun tetapi ia dan cucu cicitnya hidup celaka.
Mengapa? Rezeki dan kekayaan itu tidak berkat. Usia yang panjang itu tidak berkat. Berdoalah untuk mendapat rezeki yang berkat dan usia yang berkat serta kehidupan yang berkat.
Sebuah negara yang berkat, mungkin kebunnya tidak luas tetapi hasilnya berlipat ganda. Pendapatan mungkin sikit tetapi cukup makan, semua anak-anak mendapat pelajaran yang baik, kadang-kadang ke Mekah dan umrah beberapa kali. Tidak berhutang.
Mekah satu bumi gersang tetapi ia bumi bertuah. Semua buah, sayuran dan makanan melimpah ruah.
PR merancang bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berkat. Ia tentu tidak segagah Amerika dan Eropah. Tidak sehandal China, Jepun dan India. Tetapi dengan barakahnya ia menjadikan rakyat dapat apa yang dimahu, cukup makan dan berbagai kemudahan. Masing-masing tidak berhutang, kerajaan bebas rasuah. Negara aman, makmur dan disegani oleh masyarakat dunia.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments