Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ditakwil justeru terus berpolitik aktif setelah menunjukkan isyarat untuk melepaskan jawatan politiknya.
Dia bercadang untuk mengakhiri baki usianya sebagai seorang isteri dan ibu yang banyak masa di rumah daripada di padang politik. Biar dia menjadi wanita di belakang seorang pemimpin pula yang menjadi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suatu sikap yang betul. Tindakan itu sesuai dengan padangan saya sebelum PRU13 dulu betapa tiba masanya dia menjadi suri rumah yang terhormat pula.
Timbul masa itu agar dia bertanding kerusi DUN di mana-mana setelah ketika ini dia masih dalam tempoh tidak boleh bertanding kerusi Parlimen justeru dalam edah perletakan jawatan kerusi Permatang Pauh buat lima tahun.
Selangor sudah bersedia memberi laluan kepadanya. Seperti sudah ada kerusi untuknya di Selangor. Saya menulis ketika itu, seeloknya dia lebih banyak masa di rumah kerana suaminya yang amat aktif itu hampir tidak ada masa di rumah.
Biar anak cucu merasa kehadiran banyak masanya dengan mereka dan seri sebuah rumah tangga itu terletak tunggaknya pada isteri.
Saya tidak tahu apakah dia tidak bertanding kerana membaca tulisan saya tetapi selepas itu dia mula untuk melepaskan jawatan politiknya. Bahkan Anwar disebut untuk kali ini menjadi presiden pula, bukan lagi sebagai ketua umum yang tidak dilembagakan itu.
Sekonyong-konyong dia bertanding PRK Kajang menggantikan suaminya yang tiba-tiba hilang kelayakan menjadi calon setelah pulang dari mahkamah.
Maka itulah dia diungkit, kata tidak mahu aktif lagi, tapi bertanding pula di Kajang.
Bukan sekadar bertanding DUN bahkan dipercayai akan dikekalkan sebagai presiden PKR.
Tiadalah ia dinamakan mungkir hasrat, tetapi suasana mewajarkan mengubah rancangan bersara daripada politik.
Dia berpolitik dulu kerana suaminya digari kaki dan tangan daripada berpolitik. Jasadnya terpenjara.
Hanya roh berada di gelanggang politik di luar penjara. Suasana itu kira-kira hampir pasti berulang lagi. Apakah dalam suasana itu dia wajar pasif daripada politik. Maka dengan sendiri dia tidak wajar meletakkan senjata.
Sekadar dia saja hendak kekal aktif tidak jadi juga jika partinya tidak mahunya lagi.
Tiada boleh dia meninggalkan tanggungjawab apabila partinya kata dia tidak boleh berundur. Tiada haknya untuk berkata, dia sudah penat selagi partinya mahukan dia aktif.
Saya juga mengubah pendirian saya bahawa dia belum boleh lagi menjadi suri rumah saja. Saya tidak membantah menjadi Adun dan kekal menjadi presiden PKR hinggalah Anwar keluar menjadi perdana menteri atau tidak lagi menjadi perdana menteri rakyat yang dipenjarakan.
Perdana menteri di luar penjara itu adalah perdana menteri Umno dan kerajaan saja. Bukan PM rakyat.
Politik yang aktif baginya sekarang adalah tanggungjawab, dan tiada pilihan baginya. Bukan dia gatal sangat untuk aktif terus tetapi tok hakim paksa dia aktif lagi.
Sebagai manusia setelah biasa dengan tanggungjawab itu sejak Anwar disingkirkan daripada kerajaan, jika tidak aktif lagi selesa untuk buat yang lain.
Anwar tiada di luar dan tiada di rumah. Jika dia kurang di rumah sekarang, ada juga masanya di rumah. Tetapi kalau suami terkurung di penjara nanti, patutkah isteri terkurung di rumah pula?
Aktif terus adalah pilihannya selagi orang mahu. Tidaklah jadi macam Dr Mahathir yang tidak tahu buat apa setelah tidak aktif dan tiada jawatan. Kerana tiada kerja, dia cari Kassim tolong sebar fikirannya. - 26 Mac, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments