Opinion

Johor tidak lagi simpanan tetap

20 MAC ― Bunyinya Datuk Ghani Othman tidak lagi dikekalkan sebagai Menteri Besar jika Barisan Nasional hendak mengekalkan Johor di bawah perintahnya.

Nama Datuk Khalid Nordin, Menteri Pelajaran Tinggi yang hampir menggantikan Ghani tahun 2008 dikatakan  akan menggantinya kali ini.

Pemerhati yang  dekat dengan Umno masih percaya Johor akan kekal di bawah BN tetapi kedudukannya tidak lagi seperti sepanjang separuh abad lalu. Nama Ghani mulai mewarisi dua Menteri Besar yang awal dulu iaitu Datuk Hassan Yunus dan Tan Sri Othman Saad sebelum mereka digantikan dengan Menteri lain.

Maka bagi memastikan Johor kekal dengan Barisan Nasional walaupun tidak segagah dulu, MB-nya mesti ditukarkan. Itu ikhtiar politik BN.

Pakatan Rakyat sangat yakin, Johor bukan lagi simpanan tetap Umno/BN. Inilah peluangnya yang terbaik untuk merampas negeri Datuk Onn, Musa Hitam dan Muhyiddin Yasin itu.

Dalam usaha melucutkan kuasa BN itu, PAS menurunkan Salahuddin Ayub yang kedudukan selesa di kerusi Parlimennya di Kubang Kerian kembali ke Johor. Penasihat DAP, Lim Kit Siang, disebut sedia kembali bertanding di negerinya di Johor bagi memastikan negeri BN terlucut dari  tuannya.

DAP amat yakin hampir 80 peratus pengundi Cina akan mengundi pembangkang tidak kira calonya PAS atau PKR,  apa lagilah DAP. Mereka bertanya banyak mana yang mereka boleh tarik dari undi Melayu?

Jika undi Melayu boleh berubah antara 30 dan 35 peratus, maka Pakatan di negeri pasti mara  ke Johor Baru.

Tetapi banyak yang  tidak yakin PR dapat meraih  sokongan hingga 80 peratus seperti kepercayaan setengah orang Cina. Tetapi sebusuk-busuknya pembangkang tetap menguasai tidak kurang  dari 70 peratus undi Cina.

BN tetap meraih antara 65 hingga 70 peratus undi Melayu. Kalau undi Cina kepada pembangkang boleh dikurangkan dibawah 70 peratus, maka ia akan kecewakan PR.

Dalam PRU 2008 undi Melayu yang bersama pembangkang hanya 18 peratus. PAS dapat dua DUN. Kalau kali ini ia boleh mencapai 35 peratus, selamat jalanlah BN.

Saya tanya Mazlan Aliman, ketua ANAK Felda yg juga Jawatankuasa PAS pusat adakah ia boleh dapat 35 peratus undi Melayu. “Tak dapat,” katanya. Tetapi tambahnya, “Kami boleh dapat 32 peratus.”

Adakah PR boleh dapat 80 peratus  undi Cina? “Tinggi sangat,” katanya. Tetapi ia boleh mencecah antara 70 hingga 75 peratus.

Jika dugaan itu benar, semua kawasan Parllimen dan DUN yang lebat pengundi Cina akan jadi milik Pakatan. Mana-mana kawasan yang pengundinya bercampur, ia masih mirip kepada PR. Yang tinggal buat BN ialah kawasan Melayu yang pengundi bukan Melayu kurang dari 35 peratus.

Dengan sifir politik yang mudah itu, inilah kali pertama BN merasa tidak  selamat di Johor tetapi tidaklah sampai hilang kuasa.

Orang Melayu atas pagar yang bercakap dengan  saya berkata, keadaan di Johor sudah jadi 50-50 puluh. Dia tidak mahu kata BN akan jatuh. Ia mungkin boleh menang lagi.

Tetapi belum pernah di Johor itu boleh jadi 50-50. Selalunya 70-30.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments