Opinion

Keberkatan daripada pemimpin berintegriti

Begitu ramai yang mengingatkan menjelang pemilihan pimpinan Umno di semua peringkat tidak lama lagi supaya memilih pemimpin berintegriti.

Termasuk yang memberi ingatan itu ialah ahli fikir baru, Dr Asyraf Dasuki. Dia mengisi ruangan tetapnya di akhbar dengan perkara ini.

Saya tidak bercadang untuk mengulas apa yang dikata dan apa elokkan pemimpin berintegriti kerana integriti itu wajib bagi sekalian yang bernama pemimpin.

Cuma yang menarik ialah mengapa ia diingatkan menjelang pemilihan pimpinan Umno oleh penyokong dan peminat Umno. Sekalipun tujuan itu adalah umum dan bukan ditujukan pada Umno saja, bahkan ia relevan juga buat pemilihan PAS November nanti, malah DAP yang baru selesai pilihan pimpinannya juga perlukan orang yang berintegriti.

Justeru ingatan itu dibuat menjelang pemilihan pemimpin Umno oleh pelanggan Umno pula tentulah  dituju khas kepada Umno sebagai pemegang monopoli kuasa yang berpanjangan dan mendakwa memperjuangkan masalah orang Melayu  di buminya dan kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meliputi di persada antarabangsa.

Adakah ia dibuat sebagai sekadar satu ingatan dan adakah sifat mulia itu sudah tiada atau sudah pupus bagi kumpulan politik Melayu yang berkuasa sejak sekian lama itu?

Kalau ia memang berada di tangan orang berintegriti, maka tentu tidak banyak yang memikirkan isu integriti itu. Seperti orang banyak bercakap tentang kelemahan pelajaran dan ekonomi orang Melayu. Mengapa semuanya bercakap tentang hal itu, kerana masalah orang Melalyu menjelang kemerdekaan  dan selepas kemerdekaan memang begitu nasibnya.

Seperti banyaknya yang bercakap rasuah mesti dikekang, ia kerana rasuah itu sudah jadi penyakit sosial yang amat teruk. Betul atau tidak, kita tidak tahu. Tetapi akhbar di New York kata dalam seminggu ini Malaysia negara nombor dua teruk rasuah dari sekitar 150 negara. Semua mahu rasuah diperangi kerana rasuah memang teruk.

Bila ramai pula yang mengingatkan supaya carilah pimpinan yang integriti, adakah semua yang memimpin miskin integriti. Jika pemimpin semuanya bangsat integriti, maka bagaimana orang jadikan mereka pemimpin?

Kata pepatah Inggeris, dalam negara orang buta, yang bermata satu jadi raja. Adakah Umno sedang dipimpin orang bermata satu?

Orang  Badwi di padang pasir sebelum pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz mendapati hasil tanaman mereka biasa saja. Tiba-tiba mereka dapati hasil tanaman lebih baik daripada biasa, maka mereka berkata, tentu pimpinan umat sudah bertukar kepada orang baik. Dan pemimpin di zaman baik itu ialah Khalifah Umar Abdul Aziz.

Seorang saja pemimpin soleh sepertinya menjadikan semua orang jadi baik dan negara dan umat jadi makmur.

Integriti patut dipastikan oleh 150,000 pemilih Umno itu bukan terhadap pemimpin nombor satu dan serangkai yang nombor duanya. Dua serangkai Najib-Muhyiddin itu tidak perlu dipilih lagi kerana mereka tidak dicabar.

Ingatan yang mereka buat itu sebagaimana yang  semua sudah tahu ialah terhadap enam calon Naib yang hendak dipilih tiga, Pemuda, Wanita, Puteri, Ahli Majlis Tertinggi dan lain-lain di peringkat Bahagian dan akar umbi.

Mereka sudah lepas peluang bagi menentukan Presiden dan Timbalan Presiden kerana dalam pemilihan yang terbuka itu tiada yang menawar diri. Itulah ruginya Umno sudah ketiadaan Haji Sulaiman Palestin.  Jika dia ada tentu Umno berpeluang memillih yang lebih berintegriti antaranya dengan Najib.

Dengan banyaknya ingatan supaya mencari yang berintegriti itu adakah Najib sudah dikira ada integriti atau tidak? Adakah Shahrizat Jalil juga ada integriti atau tidak? – 10 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments