Opinion

Langat-2 jangan jadi jambatan bengkok

22 SEPT — Kerajaan Najib hendak meneruskan juga projek Langat-2. Kerajaan Pakatan Selangor bertegas tidak akan membenarkan tanahnya digunakan untuk projek itu.

Orang yang malas berfikir dan tidak tahu apa untung ruginya Langat-2 itu hanya berkata, kedua-duanya keras kepala.

Kerajaan pusat hendak menunjukkan ia besar, ia sudah bersedia membuka tender membina projek itu tanpa mengira kerajaan Selangor bersetuju atau tidak.

Projek Langat-2 itu hanya akan menjadi kenyataan kiranya BN menang di Selangor dan kekal berkuasa di Putrajaya. Dan kalau Najib masih Perdana Menteri.

Siapa yang hendak membida Langat-2 dalam keadaan kerajaan Selangor tidak bersetuju tanahnya digunakan. Adakah Langat-2 hendak dibina di langit?

Isu ini hanya terjawab selepas PRU13 ini. Sama ada tender boleh dibida atau tidak bergantung siapa yang menang pilihan raya.

Hanya pembida yang gila berani menangkap tender dalam keadaan yang tidak menentu itu. Pembida yang gila itu berjudi nasib. Mengeluarkan duit beratus juta sebagai persediaan awal, tiba-tiba Pakatan kekal memerintah Selangor dan berjaya pula membebaskan Putrajaya.

Apa hendak buat pada masa itu?

Apapun tunggu dulu pilihan raya. Yang terbaik bagi Umno dan Barisan Nasional sekarang hanya berkata, Langat-2 akan diteruskan jika Selangor dapat dirampas semula dan Putrajaya kekal dibawahnya.

Pakatan Rakyat sudah jelas, baik ia termaktub dalam Buku Jingga atau tidak, Langat-2 tidak akan dilaksanakan jika fathul (pembebasan) Putrajaya dapat dilakukan. Sekalipun BN menang di Selangor tetapi kira ia tidak menguasai Putrajaya, belumlah jelas ia dapat meneruskan Langat-2.

Jika tender ditawarkan juga sebelum pilihanraya dan pembida Berjaya memperolehnya, katakan ia pun mula mengerjakannya, maka apa risiko yang dihadapinya?

Jadilah seperti projek Jambatan Bengkok Tun Dr Mahathir Mohamad antara Johor dan Singapura. Ia sudah dilagang separuh jalan, tiba-tiba pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak mahu meneruskannya.

Apa jadi? Binaan sudah dimulakan. Hendak diteruskan tidak boleh. Jika diteruskan ia seperti membakar duit saja. Hendak dirobohkan apa yang sudah dibina akan menggunakan perbelanjaan lagi. Maka semuanya menjadi buluh kasap yang hangus.

BN patut belajar dari kegagalan Jambatan Bengkok itu. Berjuta-juta sudah dibelanjakan, masa dan tenaga sudah banyak digunakan, tetapi ia menjadi projek yang terbengkalai.

Siapa yang terpaksa menanggung pembaziran Jambatan Bengkok itu? Rakyat Malaysia yang belum berpendapatan tinggi. Negara sudahlah berhutang, dengan projek yang terpengkalai itu menjadikan kerajaan membuat hutang yang sia-sia.

Justeru itu BN jangan keras kepala untuk menawarkan tender sebelum pilihan raya dilangsungkan. Kerajaan Pakatan Selangor tidak perlu susah dan tidak perlu bising. Bagitahu saja jika ia berjaya mengekalkan Selangor, Langat-2 tidak boleh dibina di atas darat. Binalah ia di udara dengan menggunakan tiang dari angin seperti kata pepatah Inggeris membina mahligai di angkasa.

Dalam suasana yang tidak menentu ini, dipercayai tiada pelabor yang bersedia untuk membida tender itu. Terlalu besar risiko untuk pelabor untuk menendernya. Mana ada peniaga yang mahu membuat kerja yang sia-sia.

Anggaplah kenyataan kerajaan pusat bersedia membuka tender sekarang sebagai satu lagu hendak menyeronokkan hati penyokong BN saja. Tiada apa yang dapat dibuat sehinggalah PRU 13 selesai dan selesainya pilihan raya negeri Selangor yang dijangka tidak serentak itu.

Jangan jadikan Langat-2 sebagai Jambatan Bengkok-2!

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments