Sepetang saya tidak bergerak daripada kaca televisyen mengikuti liputan langsung stesyen TV CNN, BBC dan Al-Jazeera yang menyiarkan acara memperingati Nelson Mandela di Stadium Sweato, Johannesburg.
TV itu saya tinggalkan untuk solat Asar dan Maghrib saja.
Ia adalah disebabkan Mandela antara manusia penting dalam demokrasi dan pembebasan manusia daripada perhambaan sesama manusia di kurun kita ini.
Maka matinya adalah amat penting bagi manusia politik dan dunia diplomasi bagi meraih manfaat dunia masing-masing. Nilai ukhrawinya tidak sepadan dengan sumbangan para solihin di alam maya, tetapi buat politik duniawi menentang kezaliman ketika Islam hilang daya saing, Mandela adalah ikon selepas Abraham Lincoln dan Mahatma Gandhi.
Karl Marx, Lenin dan Mao Zedung mungkin manusia besar, tetapi kehebatan masing-masing kian pudar dimakan zaman.
Keagungan Lincoln dan Gandhi tidak pudar untuk semua, dan masa kita ini orang seagung itu ialah Nelson Mandela dari Afrika Selatan dan jadi gergasi dunia Afrika.
Dunia daripada pelbagai kepentingan semuanya tertumpu ke Johanesburg pada hari matinya. Daripada Presiden Barack Obama, Presiden Raul Castro dan Naib Presiden China berada di stadium pada hari memperingatinya itu. Buat apa? Untuk meraih perhatian dunia dan diplomasi.
Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Datu Mustafa adalah karib Rafa Faisal terutama peranan masing-masing dalam mengasaskan OIC. Saya jumpa Datuk Mokhtar Ahmad yang kemudiannya jadi Duta Malaysia ke Arab Saudi menyampaikan sungutan kerabat diraja Arab Saudi kepada Tun Mustafa, mengapa Tunku dan Tun Mustafa tiada dalam acara permakaman Raja Faisal?
Dunia Islam menghantar pembesarnya, Malaysia hanya diwakili oleh dutanya.
Saya lihat di TV Amerika tidak diwakili oleh Presiden Obama dan isterinya, bekas Presiden Clinton dan Presiden Bush serta Jimmy Carter yang tua bangka itu pun ada. Perancis tidak sekadar Presidennya datang, calon Presiden Sarkozy yang dikalahkannya pun ada.
Perdana Menteri British datang bersama dua bekas Perdana Menteri John Major dan Tony Blair. Presiden Hamid Karzai pun ada.
Malaysia tak ada dalam gambar sebab yang mewakilinya adalah menteri yang tidak terkenal iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Kalau Datuk Seri Anifah Aman mungkin menasabah kerana dia menteri luar.
Kalau perdana menteri dan timbalannya kurang suka ke rumah orang mati, hantar saja Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sekurang-kurangnya dia orang ketiga penting dalam Kabinet.
Tetapi yang dihantar Tengku Adnan, walaupun dia Setiausaha Agung Umno dan BN, dunia tahu setiausaha agung parti poliltik parti yang memerintah Malaysia lebih kurang ketua kerani.
Bagaimana Malaysia hendak berperanan dalam politik antarabangsa kalau pemimpinnya tidak kelihatan dalam peristiwa yang terpenting itu.
Ia tidak sekadar tokoh Afrika Selatan tetapi dia adalah Afrika, tokoh negara berkecuali, tokoh dunia, pejuang menentang kezalliman dan hero kebebasan dan keamanan.
Kita tidak pelik kalau bangsa Afrika seluruhnya terpikat dengan Amerika, Perancis dan Britian. Sekapal orang pentingnya datang.
Hebatnya permainan Jacob Zuma, Presiden Afrika Selatan sekarang, disusunnya acara Obama boleh bersalam dengan Raul Castro sedang Amerika dan Cuba bermusuh sekitar 60 tahun.
Siapa yang menasihatkan Wisma Putra hingga kadang-kadang isteri perdana menteri menjalankan kerja menteri luar?
Tun Dr Mahathir Mohamad buat macam-macam untuk memenangi komuniti Afrika dan ia termasuk seperti Sidang Langkawi. Tetapi Wisma Putra sekarang sesudah tidak ada Ghazali Shafie, tiada orang yang dapat menasihatkan peristiwa memperingati Mandela, satu siasah dan diplomasi yang penting.
Kehadiran Castro beberapa jam dan bersalam beberapa saat dengan Obama boleh membuat teka-teki tentang kebuntuan 50 tahun antara Washington dan Havana. – 20 Disember, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments