Opinion

Malulah pada Abby Abadi dan Aishah

7 FEB — Semasa saya bulan lalu ada seorang yang pernah berjawatan tinggi dalam Bursa Saham bertanya, dia tidak faham dan tidak suka PAS bersekutu dengan DAP.

Ada pula rakan sesurau yang tidak menyertai PAS tetapi suka kepada PAS, memberitahu dia dukacita PAS bersekutu dengan DAP.

Kemudian seorang profesor yang bidang kajiannya sains politik, jadi orang Umno yang tidak kedepan sangat dan dapat pangkat kerana Umnonya itu, bersikap terbuka terhadap PAS, merasa ajaib mengapa PAS boleh bersatu dengan DAP?

Imannya terhadap Umno tidaklah sekuat iman Ibrahim Ali Perkasa atau Menteri Noh Omar. Mengikutnya, Umno yang dianggotainya itu bongkak, rasuah dan macam-macam seperti yang selalu musuh Umno kata pada Umno, tetapi dia tidak boleh terima PAS yang bukan partinya itu boleh menerima DAP sebagai kawan.

Padanya, DAP yang bercakap tentang anti-rasuah, mahukan kerajaan yang baik dan demokrasi adalah parti yang licik. Mengapa PAS yakin sangat dengan DAP yang bercakap tentang beberapa yang baik tentang Islam. Ia parti licik dan hendak memperalatkan PAS saja.

Maka berkewajipan pula saya menjelaskannya. Saya mengambil masa untuk berdailog dengan sesiapa saja atas isu ini bukan sekadar mahu mempertahankan PAS, tetapi apa yang PAS buat sekarang adalah apa yang saya desak PAS laksanakan selama lebih dari 20 tahun dudu dalam Jawatankuasa PAS Pusat.

Sebelum saya menyertai PAS, masih menjadi wartawan Utusan Melayu, dalam forum di Universiti Malaya dengan penalis lainnya Tan Sri Senu Abdul Rahman, Setiausaha Agung Umno dan Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, saya sarankan supaya PAS mencari sekutu bukan Melayu dan DAP mencari sekutu Melayu kita mahu berperanan secara berkesan dalam politik.

Saya kata kepada semua yang sangsi akan muafakat PAS-DAP itu, awak jangan sangka PAS ini bodoh sangat sambil mengaku DAP adalah cerdik. Masalah Umno dan orang Umno merasa ia saja cerdik dan PAS bodoh belaka. Padanya Cina yang baik dan jujur ada dalam MCA saja dan dalam DAP itu semua penyangak.

Malaysia dan kerajaannya yang rosak sekarang, orang Melayu, Cina dan India yang rosak sekarang adalah gara-gara politik bongkak, rasuah, menyelewang dll Umno seperti yang diakui oleh profesor tadi. Segala keburukan Umno yang saya sebutkan tidak pula dinafi oleh profesor dan bekas orang kuat Bursa Saham tadi.

Cuma kata mereka yang baiknya Umno itulah Melayunya, bukan perangainya. Mereka telan semua yang buruk Umno kerana Melayunya sedang keburukan yang dilakukannya terhadap Melayu dibiarkan saja. Jika keburukan Umno itu tidak dihentikan, bukan negara saja lingkup, Melayu pun habis lingkup.

Tiada cara bagi menghentikan keburukan Umno itu ialah dengan mengalahkannya dalam pilihanraya. Umno sendiri tidak boleh mengalahkannya dan DAP sendiri pun tidak boleh mengalahkannya. Sama juga dengan Umno sendiri tidak boleh menang pilihan raya dan MCA sendiri pun tidak boleh menang pilihanraya.

Umno hanya menang kerana berkawan dengan MCA dan MIC, dan Umno dan MCA boleh dikalahkan dengan PAS berkawan dengan DAP.

Kalau DAP mahu merasa kuasa mesti berkawan dengan PAS. Syarat berkawan dengan PAS jangan jadi anti-Islam, jangan senggong Raja-Raja, jangan tolak Bahasa Melayu dan jangan banyak hentam Umno, serahkan pada PAS saja menghentam Umno. PAS pula jangan banyak cerca MCA dan MIC, biar DAP saja cerca MCA dan MIC.

Kalau DAP mahu berperanan dan berkuasa, ikut apa yang PAS nasihat itu. Kalau PAS mahu lama berkuasa maka jagalah perasaan DAP. Kalau DAP fikir ia nak perkuda PAS, nanti PAS boleh lari  dan berkawan pula dengan Umno. Ia bukan ugut tetapi itulah caranya supaya PAS tidak jadi kuda.

Tapi dengan berkawan dengan DAP itu terbukalah peluang dakwah. Hal ini boleh difahami oleh pelakun filem Abby Abadi dan penyanyi Aishah. Mereka boleh faham, orang mengaji sains politik tidak boleh faham. Tidak malukah profesor dengan Abby dan Aishah?

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments