10 JUN — Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat memenangi PRU13 pada 5 Mei lalu, tentu kita sudah tahu bila semua motokar akan turun harga dan berapa angaran harga kereta pilihan masing-masing.
Kita tahu tidaklah hari ini menang, esok harga motokar itu akan turun seperti yang Pakatan Rakyat janjikan tentang harga minyak. Tetapi ia sudah boleh beritahu bila cukai eksais itu akan dibatalkan dan bila mula motokar murah itu boleh dibeli.
Tentulah tidak berbangkit lagi cukai itu akan dimansuhkan apabila Putrajaya tidak dapat diambil. Kita boleh lupakan ia sekurang-kurangnya hingga PRU14 nanti.
Harga itu tetap berbangkit apabila BN yang tidak mahu menggunakan panggilan manifesto ke atas janji pilihan rayanya, bahkan memanggilnya akujanji, meniru semangat manifesto Pakatan untuk memurahkan secara umum motokar yang baru dibeli.
Tidak dijanjikannya cukai eksais akan dihapuskan, tetapi harga baru itu akan dikurangkan antara 20 hingga 30 peratus.
Sekarang ia menang semula. Orang yang menangguh untuk membeli motokar baru menjelang pilihan raya dulu tidak sanggup menunggu lagi. Ada yang melupakannya membelinya dengan harga pasaran yang ada.
Perkhabaran awal dari kerajaan, banyak yang perlu dibuat sebelum harga baru itu ditentukan. Ada logiknya kerana sebelumnya ia tidak ada perancangan itu. Ia hendak diturunkan kerana manifesto menjanjikan cukai eksais akan dibatalkan. Secara automatik harga itu akan turun, cuma menunggu masa saja. Tidak banyak yang Pakatan perlu tunggu, Cuma tentukan masa bila ia dimulakan.
BN belum ada dasar mengenainya. Maka terpaksalah menunggu masa. Ia baru hendak membuat dasar.
Akhbar pula mengeluarkan senarai harga beberapa jenis motokar di negara-negara ASEAN. Tanpa memaklumkan negara-negara itu ada cukai eksais atau tidak, harga motokar di Thailand, Filipina dan Indonesia lebih murah.
Lepas itu ada pula maklumat terbaru, tidak semua motokar boleh diturunkan harganya. Motokar tertentu saja akan diturunkan.
Bila motokar terpilih itu akan diturunkan? Mungkin tidak dalam waktu yang terdekat?
Jangan sampai menjelang PRU14 baru ia turun. Masa itu Pakatan akan memberi banyak maklumat tentang harga baru untuk perbandingan, kerana manifesto barunya akan meneruskan cadangan membatalkan cukai eksais.
Saya terkilan motokar yang saya ingin belum tentu dapat dibeli dengan harga yang murah, kerana ia mungkin tak termasuk dalam senarai motokar terilih yang boleh diturunkan harganya. Jika PR menang dulu, sudah tentu apa jua jenis motokar yang hendak, harganya tentulah lebih murah. Bukan sikit-sikit murah. Tetapi benar-benar murah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments