Opinion

Pakatan mesti bersetuju untuk tidak setuju

Apabila PKR tidak setuju Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus menjadi menteri besar Selangor, PAS setuju dia terus menjadi menteri besar. Masing-masing ada sebabnya. Apabila PKR/DAP setuju memberi 1 nama saja kepada istana sebagai calon MB baharu, PAS setuju memberi lebih 2 nama seperti yang dikehendaki istana.

Ia adalah satu dua contoh bagi Pakatan ada yang tidak disetujui sesama sendiri. Di samping banyak disepakati tetapi tidak semua boleh dipersetujui semua. Dalam semua muafakat dan kerjasama tidak semua dipersetujui.

Maka setiap kerabat Pakatan wajar belajar hakikat ini.

Jika semua yang ada pada PKR dan semua yang dikehendaki PKR dipersetujui PAS, maka tiada perlu lagi PAS wujud. Tutup parti dan semua ahli PAS masuk PKR. Jika semua yang PAS mahu dipersetujui Anwar tidak dia membentuk partinya sendiri. Masuk saja PAS selepas dipecat Umno.

Anwar dan DAP setuju kepada parti berbagai kaum, sama-sama anti rasuah dan penyelewengan, mahu menegakkan keadilan dan kerajaan yang anjal. Patutnya Anwar masuk saja DAP atau DAP dibubarkan supaya semua bersama dalam PKR. Tetapi kerana ada yang sama-sama tidak setuju, PKR tidak boleh masuk DAP dan DAP tidak boleh masuk PKR.

Hatta dalam perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad dengan musyrikin Quraisy, ada yang mereka setuju dan tidak setuju. Pertama mereka setuju untuk mengadakan perjanjian. Bila setuju mereka merangka perjanjian. Pertama mereka tidak setuju ialah tajuk perjanjian. Saidina Ali yang merangka menyebut ia adalah Perjanjian Antara Nabi Muhammad dan Quraisy.

Musyrikin menolak tajuk rangka itu menggunakan kalimah Nabi Muhammad. Mereka mahu disebut antara Muhammad dan mereka saja. Nabi pun bertanya, apa beza antara Muhammad dan Nabi Muhammad? Kedua-duanya adalah orang yang sama.

Jawab mereka, mereka tidak menerima Muhammad itu Nabi. Kalau mereka setuju Muhammad itu Nabi dan Rasul, tidak mereka berada di sebelah menentang Nabi, tentulah mereka bersamanya. Nabi setuju padam kalimah yang dipersetujui itu. Saidina Ali enggan memadamnya, lalu baginda sendiri mengambil rangka itu dan memadam kalimah yang tidak disetujui.

Demikian juga DAP tidak setuju dengan konsep negara Islam dan hudud yang dirangka PAS sebelum kewujudan Pakatan Rakyat maka tiada ia disebut dalam perkara yang disepakati setakat ini. Daripada segi logiknya, jika mereka setuju dengan perjuangan PAS tentulah mereka menyertai PAS dan bersama dengan agamanya.

Jika demikian apa yang PAS tunggu? Maka teruskan dengan program dan strategi dakwah, bukan saja terhadap orang bukan Islam bahkan juga terhadap yang lahir sebagai Islam yang belum terbuka hatinya untuk beriman kepada perrintah itu.

Apa pun yang paling penting tentang muafakaat yang ada ialah bersetuju mengadakan muafakat bagi mengambil alih Putrajaya dan melakukan perubahan ke arah keadilan dan kebenaran dalam kerangka yang dipersetujui kita banyak perbezaan dan jangan perbezaan itu menghalang untuk mencari kebaikan.

Sedangkan gigi dan lidah lagi tergigit, maka kita tetap setuju gigi dan lidah tidak terpisah. Janganlah kerana takut lidah tergigit kita cabut semua gigi atau kita potong lidah.

Apabila kita tahu kita ada perbezaan, maka jangan kita fikir kitalah raja, kemahuan kita yang mesti diikut, kemahuan orang tidak diambil kira. Sedang sekarang raja pun mendengar rakyat, maka janganlah sesama rakyat hendak jadi macam raja zaman dulu. – 5 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments