Opinion

PAS bergerak ke negeri selatan

Pimpinan Dewan Pemuda PAS nampaknya kembali ke Johor selepas satu penggal iaitu dua tahun apabila Suhaizan Kayat memenanginya dalam pertandingan tiga penjuru dalam muktamarnya 21 November lalu.

Beberapa penggal sebelum ini pimpinan Dewan Pemuda itu dipimpin oleh orang Johor juga iaitu Salahuddin Ayub. Salahuddin melepaskan jawatan itu untuk berubah tempat bagi menjadi Naib Presiden PAS.

Hanya dua penggal dipimpin oleh Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, ia kembali semula ke Johor.

Saya tanya Ustaz Nasaruddin mengapa berundur? Jawabnya, "Seperti yang anta tulis, baik berundur sebelum disuruh berundur".

Banyak berandaian, kemunculan Suhaizan akan menyambung penampilan Salahuddin yang menyambungnya daripada gerak tindak Datuk Mahfuz Omar.  Keterampilan Suhaizan dalam politik nasional menambah penampilan Salahuddin yang sudah menunggu di Johor sekarang.

Salahuddin sudah pun dikukuhkan oleh keberadaan aktvis pembela Felda yang amat ligat, Mazlan Aliman.

Muktamar PAS ke-59 ini juga menyaksikan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfuz Mohamad kekal sebagai salah seorang pimpinan Dewan Ulama bersama Datuk Harun Taib dan Datuk Ahmad Yakub, Menteri Besar Kelantan.

Ustaz Harun diketahui uzur dan tentu mengurangkan gerakannya untuk menjelajah seluruh negara. Sebahagian masa Ustaz Ahmad Yaakub pula adalah untuk kerajaan Kelantan, maka yang banyak masa untuk Dewan Ulama adalah Dr Mahfuz.

Kedudukannya itu menambah pentingnya peranan pimpinan dari Johor. Semua ini tentunya menjadikan pemimpin dari Johor bertambah penting dalam politik nasional PAS.

Tentulah limpahan penampilan nasional PAS dari Johor yang penting itu memberikan nilai tambah yang menarik bagi politik Johor.

Tidak pernah selama penyertaan PAS dalam politik negara berkumpul beberapa orang penting dalam parti dari Johor. Sebelumnya penyertaan pimpinan PAS Johor kebanyakannya dilantik oleh PAS Pusat.

Kecuali buat beberapa ketika Dr Daing Sanusi Mariok mampu duduk sebagai Naib Presiden secara terpilih, bukan melalui pelantikan.

Tetapi sekarang Johor mula berperanan dalam PAS. Apa pun tentu penonjolan beberapa orang pimpinan PAS dari Johor ada kaitannya dengan peranan PAS di negeri itu dan sambutan masyarakat semasa terhadap peranan parti.

Memang Johor mula bangkit sejak beberapa penggal DUN yang lalu. Cara mana DUN Johor itu dapat ditembusi PAS tidak penting. Tetapi PAS mulai ada di dalamnya sejak PRU 2004.

Adun yang pertama menang tanpa bertanding. Mungkin kemunculan PAS itu bukan banyak disebabkan kekuatannya di kawasan yang diwakilinya atau ia justeru sikap sambil lewa Umno yang leka dengan kekuatan kononnya negeri simpanan tetap BN, maka calonnya ditolak SPR.

Tetapi ia memberi kesempatan kepada PAS untuk memperkenalkan perjuangannya kepada masyarakat Johor melalui DUN. Sepenggal kemudian ia menambah 100 peratus kedudukannya dalam DUN. Sebelumnya ada satu, lepas PRU 2008 ia ada dua. Lepas itu ia tidak berkurangan bahkan bertambah.

Banyak kerusi yang ia belum menang PRU 13 lalu dengan majoriti yang nipis.

Sekarang dengan izin Allah, menjadikan Johor didatangi ramai pimpinan pusat PAS berumahtangga di negeri itu. Pimpinan Pusat PAS bukan lagi berlegar dari Kelantan, Kedah dan Terengganu saja tetapi sudah mula berkumpul di selatan tanah air.

Ia memberi isyarat gelombang sudah mara menuju selatan. Peranannya yang lebih ketara dalam politik Johor akan memberi harapan besar lagi buat Pakatan Rakyat di negeri itu. – 29 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments