Menjelang pembentangan usul persendirian PAS di Parlimen mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan, PAS mesti lakukan banyak kerja jika ia mahu diluluskan.
Setakat ini, orang yang akan menyokong usul itu di Parlimen hanyalah orang PAS. Orang lain belum memikirkannya.
Adalah benar ramai yang bukan sekadar menunggu dan menyokong usul itu, bahkan menuntut ia dilaksanakan, tetapi mereka bukan ahli Parlimen.
Mereka tidak dapat mengundi. Yang mengundi ahli-ahli Parlimen saja.
Adalah kewajipan PAS untuk memperjuangkannya dan mengemukakannya ke Parlimen dan itulah satu daripada cita-cita PAS yang ditubuhkan tahun 1951.
Ia sudah dituntut oleh PAS lama sebelum DAP dan PKR ditubuhkan.
Apabila ia diusulkan kelak, maka ia menjadi tanggungjawab semua untuk menyokongnya dan kita mahu semua anggota Parlimen mengundinya.
Sokongan yang diperlukan bukan sekadar daripada Umno dan MP Islam sahaja, malah daripada PBB Sarawak, undi DAP, MCA, MIC dan lain-lain daripada Sabah dan Sarawak adalah penting dan amat berharga.
Sokongan Umno sahaja tidak memadai, sokongan semualah yang amat PAS kehendaki.
Oleh itu, jangan ada sekali-kali dalam benak dan kepala orang PAS menyangka sokongan MP bukan Islam tidak penting.
Bukan mudah untuk mendapatkan sokongan semua orang.
Justeru ia tidak mungkin mendapatkan semua, maka jangan kita anggap yang sukar didapati itu tidak penting dan jangan dibiarkan sahaja.
Menganggapnya tidak penting dan membiarkan sahaja, bukanlah pemikiran politik yang bijak.
Jika kita bersikap begitu, maka samalah kita dengan PAS yang tidak bermuafakat dengan mana-mana parti dulu.
Jika kita kira sokongan orang lain tidak diperlukan, mengapa tidak kemukakan usul itu semasa bersendirian dulu?
Tujuan berkawan dengan semua orang ialah kerana hendak mendapatkan sokongan semua orang, dan kerana kita tidak boleh berseorangan.
PAS tahu ia tidak boleh mendapat sokongan semua orang. Maka ia tidak boleh tunggu semua orang setuju baru ia kemukakan usul itu.
Ia boleh dikemukakan seperti yang dicadangkan oleh kerajaan Kelantan.
Apabila dikemukakan nanti, apa yang PAS patut buat? Ia tidak boleh duduk sahaja menunggu hari Parlimen mengundinya!
Semua yang pro-cadangan itu baik pemimpin dan ahli PAS, mahupun orang yang menyokongnya di luar Parlimen, perlu bekerja keras melobi parti politik yang lain dan semua MP bukan PAS supaya menyokongnya.
Menteri Besar Kelantan meminta perdana menteri menyokongnya semasa mereka bertemu di majlis PNB di Kelantan baru-baru ini.
Dr Haron Din jangan segan sampaikan wasiat kepada Datuk Seri Najib Razak yang menziarahinya di IJN dulu.
Semua orang jangan sekadar bercakap dan mencabar orang lain menyokongnya melalui media, tetapi mesti mendatangi semua dan meminta ia disokong.
Pemimpin PAS mesti membincangkan hal ini dengan pemimpin Pakatan Rakyat.
Pergi ke rumah Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, bukan sekali, bahkan berkali-kali lobi mereka.
Apa yang Anwar Ibrahim dapat buat memujuk Pakatan Rakyat yang bukan PAS memikirkan sokongan itu?
Di samping berjumpa dengan semua pemimpin Umno, berjumpa pemimpin MCA termasuk Dr Chua Soi Lek dan Ong Ka Ting.
Jangan lupa datangi rumah Samy Vellu untuk memintanya memujuk MP MIC mengajak MP Umno menyokong PAS dalam usul itu.
Ajaklah semua penyokong Jamaah Tabligh mengetuk semua pintu rumah MP bukan PAS dan merayu mereka menyokong usul itu.
Kita mesti tunjukkan mereka diperlukan oleh Islam. Bukan mereka tidak diperlukan.
Jika mereka tidak diperlukan, maka kita tidak berpolitik secara bijaksana. – 26 April, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments