Opinion

Pecat Khalid oleh akal cerdik, PAS pula berakal

Seperti yang pernah saya tulis sebelum Presiden PAS Ustaz Hadi Awang membuat kenyataan mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, betapa PAS akan ikut kemahuan PKR tentang kedudukan menteri besar Selangor.

Suasana berubah berikutan kenyataan Ustaz Hadi dan disokong oleh Mursyidul Am itu, akhirnya keputusan PAS adalah seperti pandangan awal saya dulu, iaitu menerima keputusan PKR. Masalah dalaman Pakatan Rakyat selesai dengan keputusan terbaru itu.

Sama ada PAS setuju atau tidak setuju dengan keputusan PKR itu, soal PAS keluar dari Pakatan Rakyat tidak berbangkit.

Sejak PAS bersetuju dengan tahaluf siyasi membentuk Pakatan Rakyat, tidak pernah ia memikirkan untuk keluar Pakatan. Malah dalam pendirian awal presiden PAS dan Mursyidul Amnya mempertahan Khalid itu tetap mereka mahu Pakatan dikekalkan.

Sikap PAS tentang Pakatan Rakyat tidak berganjak, cuma ia berbeza pandangan tentang satu isu.

Pebezaan itu tidak menyebabkan pandangan dan keperluan Pakatan goyang dan patut memecah dan menamatkan riwayat Pakatan. Kecuali dua sekutunya lagi – DAP dan PKR – tidak mahu bersama PAS.

Itupun mereka tidak boleh pecat PAS, melainkan membentuk muafakat lain tanpa PAS.

Seperti kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum memecat Khalid dari PKR, pendirian PAS atas isu itu pada masa itu tidak akan memecahkan Pakatan Rakyat.

Dan saya amat yakin dengan kenyataan Anwar itu, bahawa beliau tidak akan membiarkan keputusan PAS itu boleh menamatkan Pakatan Rakyat.

Pakatan itu adalah hasil usahanya dan dia akan gunakan kepintarannya bagi menyelamatkan Pakatan tidak kira PAS boleh menerima kemahuan PKR atau tidak.

Katakanlah, andainya hingga akhir PAS bersama Khalid juga, Anwar tetap pertahankan Pakatan dan mahu PAS tetap bersama.

Masa depan politik negara dan perubahan yang diperjuangkan adalah memerlukan Pakatan atau apa jua muafakat yang PAS adalah bersama. Semua yang dimimpikan oleh penubuhan PKR dan pemerintahan yang anjal yang disarankan oleh DAP mudah dicapai dengan penyertaan PAS.

Menolak kerjasama PAS bagi mencapai hasrat Buku Jingga sekali pun berbeza pandangan tentang isu MB Selangor adalah tidak bijak.

PAS hanya pertikai pembuangan Khalid, tetapi tidak pernah menyoal kepintaran mengadakan Pakatan Rakyat.

Sekarang isu Khalid itu bagi Pakatan Rakyat selesai dengan keputusan baru PAS menerima
keputusan PKR, ia dibuat kerana Khalid tidak lagi ahli PKR, bukan kerana bimbangkan Pakatan akan hancur. Anwar berupaya menyelamatkannya dan tentunya Pakatan tidak akan hancur.

Jika PAS membuat keputusan baru itu kerana takut Pakatan hancur, maka ia adalah silap, tetapi Khalid tidak dapat dipertahankan lagi dari segi politik kerana dia sudah dipecat dari ahli parti sama seperti Anwar tidak dipertahankan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana dia sudah dipecat dari ahli Umno.

Barangsiapa menyangka Pakatan akan hancur dengan pergolakan di Selangor itu adalah tidak mengakui kepintaran Anwar.

Jika Pakatan hancur, semua cita-cita politik Anwar akan hancur, maka Anwar tidak akan biarkan Pakatan hancur.

Dengan keputusan PAS itu, Khalid tidak memikirkan kedudukannya sebagai menteri besar lagi. Pilihannya berundur sebelum undi tidak percaya di DUN atau mendapatkan perkenan Sultan membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya negeri yang dia tidak akan bertanding lagi.

Langkah Kajang itu terlaksana juga tetapi melalui banyak kecederaan dan bukanlah suatu kerja politik yang pintar.

Penyingkiran Khalid adalah oleh mereka yang cerdik, justeru keputusan PAS itu adalah sebagai berakal. – 21 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments