Opinion

PR jangan susah semua bila PRU

1 MAC — Apabila Pakatan Rakyat berjaya tiba ke Putrajaya, Insya Allah, selepas PRU 13 nanti, jangan sekali-kali susahkan orang ramai bila PRU14 hendak diadakan.

Bayangkan dari awal lingkungan masa pilihan raya umum itu hendak diadakan supaya ia tidak meangganggu orang ramai untuk membuat apa-apa rancangan seperti menentukan tarikh kahwin anak, hendak umrah atau hendak mengadakan hari keluarga atau hendak bercuti dengan anak-anak keluar negara.

Jangan buat susah semua orang seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri Najib Razak sekarang.

Sejak tiga tahun dulu orang menunggu dan teragak-agak untuk membuat kerja baik kecil atau besar kerana takut bertembung dengan PRU13.

Walaupun kerja-kerja pilihan raya itu perkara utama bagi parti-parti politik, tetapi orang ramai yang prihatin untuk menunaikan tanggungjawab mengundinya adalah ikut peka dan teragak-agak untuk merancang sesuatu.

Orang yang hendak mengadakan kenduri anak di Kuala Lumpur perlu merancang awal bukan saja tentang masa yang sesuai untuk kedua belah pihak, tetapi mahu memasti dewan atau hotel yang dapat digunakan.

Jika tempat itu tidak ditempah awal, maka ia didahului orang lain. Ada yang menempah berbulan-bulan lebih awal dan membuat persediaan awal seperti kad kahwin dan lain-lain. Selain dari memberitahu sanak saudara tentang tarikh supaya mereka dari jauh dan dekat boleh melapangkan masa, kad juga mesti dikirim  awal supaya jemputan boleh menyusun jadual masing-masing.

Mereka terganggu untuk merancang takut bertembung dengan pilihanraya. Jika semua yang dirancang awal itu bertembung dengan waktu pilihanraya, jika dia seorang aktivis politik yang terlibat dengan kerja kempen, maka payah baginya untuk membuat dua pekerjaan. Hendak dibatalkan majlis adalah susah kerana bukan senang untuk menentu tarikh baru.

Jika kenduri itu dibuat secara golongan royong, orang tempatan merasa payah untuk memberikan masa bergotong royong dengan jiran dan membuat kerja pilihan raya. Tentulah tidak dapat dijamin keluarga dari jauh datang, dan ada jemputan yang berdekatan mengundi di kampungnya terpaksa balik mengundi.

Walaupun dalam masa tiga tahun tidak putus-putus orang dari seluruh negara kahwin dan mengadakan majlis perkahwinan, tetapi masing-masing terpaksa mengambil risiko, nasiblah kalau bertembung dengan pilihanraya.

Orang yang hendak mengerjakan umrah sejak tiga tahun lalu teragak-agak. Bagi yang bekerja terpaksa memohon cuti dulu, menyelesai bayaran kepada egen umrah dan tempahan penerbangan. Ada yang menunda rancangan atau menentapkan umrah bulan puasa kerana tidak mungkin pilihanraya masa itu.

Bagi umrah boleh diadakan sepanjang  tahun tapi musim tetap. Sejak tiga tahun lalu orang yang mendapat giliran haji pun tidak tenteram takut hilang peluang mengundi seperti yang terjadi tahun 1986 ramai yang berada di Mekah, malah calon PAS di DUN Parlimen Padang Rengas terpaksa bertolak ke Kuala Lumpur selepas mengundi untuk berangkat ke Mekah.

Semua orang susah sejak tiga tahun lalu apabila Perdana Menteri menjadikan tarikh PRU13 sebagai teka-teki.

Pakatan Rakyat jika berkuasa jangan buat seperti amalan Perdana Menteri BN merahsiakan masa dan waktu pilihanraya.

Umumkan dari awal supaya semua orang tidak susah dan ia memberi peluang kepada semua parti menentukan jadual kegiatannya.

Menunggu PRU13 itu adalah satu deraan yang orang terima dari Perdana Menteri.  Mengapa orang ramai mesti didera?

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments