Opinion

Rasuah dan cuba dirasuah

Pendedahan WikiLeaks tentang isu rasuah yang dikatakan membabitkan nama tiga perdana menteri Malaysia dan beberapa menteri kanan patutkah didiamkan?

Dalam pendedahan itu dinamakan syarikat pencetak wang di Australia dikatakan merasuah beberapa nama penting pemimpin Malaysia dari Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Rafidah Aziz.

Tidak diketahui reaksi orang lain, tetapi Abdullah dikatakan dalam pendedahan itu menafikan penglibatannya dalam urusan kontrak cetak wang Malaysia RM100 juta.

Sasaran utama WikiLeaks ialah terhadap kerajaan Australia mengapa ia didiamkan dan mengapa menteri Australia juga dikatakan mengugut untuk bertindak terhadap siapa yang bising dalam perkara ini?

Tidak kita ketahui adakah semua nama yang sebut itu menerima rasuah itu dan banyak mana bagi seseorang? Atau mereka sekadar cuba dirasuah tetapi tidak menerimanya. Hanya Abdullah saja menafikan dia terlibat.

Isu rasuah itu dikatakan berpunca daripada kegiatan Reserve Bank Australia dan anak syarikat percetakan wangnya menyogok calon pelanggannya atau cuba merasuah mereka bagi mendapat kontrak mencetak wang Malaysia hingga ada orang dari Malaysia yang ditahan kerana suapan lebih RM3 juta atas cetakan wang kertas RM5.

Polis Persekutuan Australia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada pengetahuan tentang pendedahan. Pendedahan itu adalah tuduhan sekandal yang besar melibatkan tiga perdana menteri yang terakhir tetapi tidak menjaadi isu utama dalam negara, sedangkan jika ini berlaku di Korea dan Jepun nescaya pintu penjara terbuka untuk mereka atau jika berlaku di China nescaya melibatkan jiwa.

Jika percubaan rasuah itu tidak dilayan, urusan kantrak berjalan secara rasmi dan telus, tentulah tidak berbangkit percubaan menyuap dua lagi perdana menteri yang terkemudian.

Tetapi semua nama yang WikiLeaks sebut ada imej bernafsu besar terhadap kebendaan. Kita semua manusia ada nafsu belaka. Prinsip yang menghalang kita gelap mata. Sebagai orang biasa yang ada prinsip kita tolak sebarang suapan. Tetapi kalau suapan itu banyak juta, selepas ditolak, kita nescaya payah tidur berhari-hari. Bertahun kita kerja, nak kumpul RM20,000 pun sukar, tetapi hadiah jutaan itu boleh menyusahkan kita makan dan tidur.         

Dengan imej nafsu sukakan duit, payah kita hendak percaya tawaran yang lumayan itu tidak dilayan. Tetapi orang yang tinggi disiplin dan prinsipnya tidak makan tawaran yang lumayan itu.

Maka bagi semua tidak bersangka hodoh kepada nama-nama yang didedahkan itu, badan-badan bertanggungjawab membenteras penyelewangan tidak wajar diam dan duduk tidak buat apa-apa atas fitnah yang didedahkan itu. 

Isu ini mesti dilihat secara serius kerana ia melibatkan nama negara dan pembesar. Amanah mereka sudah tercalar. Penyiasatan mesti dilakukan kerana pendedahan itu kiranya benar, adalah jenayah besar yang membahayakan negara, masyakat dan maruah bangsa.

Muflisnya negara kerana pemimpin yang tidak amanah. Bagi memastikaan mereka amanah atau tidak mereka mesti ditanya. Mungkin mereka tidak terlibat seperti Abdullah kata itu. Tetapi sekadar membuat penafian tidak memadai. Penafian tidak melepaskan seseorang daripada obligasi undang-undang.

Jika mereka tidak kena mengena dengan pendedahan itu, mereka mesti mengambil tindakan undang-undang. Itu yang biasa dilakukan oleh orang yang bersih dan bermaruah. – 6 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments