Opinion

Ruginya peniaga bendera tahun ini

Saya tidak beli bendera Jalur Gemilang yang baru. Yang saya gantung di tiang di rumah saya sejak setahun lalu terus berkibar lagi.

Pagi 29 Ogos saya bermotokar berensot-ensot dari Gombak ke HUKM di Bandar Tun Razak.

Berbelas ribu motokar bergerak perlahan dari arah bertentangan. Man yang memandu motokar bersungut tidak nampak sebuah motokar pun memasang bendera!

Ketika itu, ulang tahun ke-56 bakal berlangsung dua hari lagi. Tidak nampak orang memasang bendera di motokar. Tidak seperti di tahun-tahun Al-Marhum Tan Sri Mohamad Rahmat menjadi pengerusi sambuntan hari kemerdekaan dulu. Banyak motokar yang memasang Jalur Gemilang di setiap sudut bumbung motokar.

Amat susah menemui motokar yang tidak berbendera. Paling tidak tetap ada satu bendera. Ada penarik beca memenuhkan becanya dengan bendera. Kerana kenderaan dipenuhi bendera hingga nampak tak elok pula. Yang eloknya ialah sederhana.

Masa Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir jadi pengerusi sambutan merdeka setengah lori bendera dihantarnya ke Markaz Tarbiyah PAS. Maka kaki tangan pejabat PAS terpaksa mengedarkan bendera itu kepada seramai-ramai penyokong.

Saya pun ambil beberapa helai. Saya pasang satu bendera sejak itu. Bila reput saya ganti baru. Yang terpasang sekarang yang terakhir.

Sepanjang jalan ke HUKM saya tidak nampak ada motokar yang berbendera. Hanya di bangunan-bangunan saja berbendera. Itu pun tidak semua berbendera. Mungkin masing-masing menunggu petang 30 Ogos baru hendak menaikkannya.

Selepas ambil darah saya pulang. Hanya dua tiga buah lori yang ada bendera. Bas pun tidak pasang bendera.

Petang kami ke HUKM lagi untuk mengetahui keputusan darah tadi. Saya terus memerhatikan motokat di kiri kanan dari arah bertentangan. Tak nampak yang berbendera. Man terus bercakap, “Tak ada langsung yang pasang bendera”.

Petang 30 Ogos itu saya ke Alor Setar. Bermalam di Penanti, Bukit Mertajam. Sebelum malam saya asyik memandang motokar di kiri kanan Lebuhraya Utara-Selatan. Hanya dua buah tanker minyak dari syarikat yang sama saja berbendera.

Pagi 31 Ogos saya ke Alor dari Bukit Mertajam. Tidak nampak lagi budaya memasang bendera di motokar bagi menyambut hari kemerdekaan seperti yang berlangsung di zaman Dr Mahathir dan Tun Abdullah dulu.

Pada 31 Ogos itu saya banyak dalam kereta dan tiada sempat menonton TV, maka tidak dapat menyaksikan siaran perbarisan hari kemerdekaan dan tidak juga menonton berita. Maka saya tidak tahu adakah orang yang ramai menyaksikan sambutan itu mengibarkan bendera kecil?

Saya harap sekaliannya membawa bendera.

Ada yang bertanya, "Mengapa orang tak mahu naikkan bendera kali ini?"

Tiada jawapan dari saya.

Majoriti yang menyambut Merdeka tahun ini adalah berusia 59 tahun ke bawah. Yang hidup zaman memperjuangkan kemerdekaan dan hidup pada hari kemerdekaan itu – 31 Ogos 1957 – kebanyakannya sudah mati. Sikit sangat yang masih hidup. Adakah yang lahir selepas tarikh merdeka tak tahu sejarah dan tidak patriotik?

Kebanyakan orang Umno sangka begitu. Saya belum mahu komen.

Mungkin yang tidak rasa penting berbendera itu sedang dalam melaksanakan transformasi yang Perdana Menteri Najib bawa. Mungkin patriotik tidak perlu berbendera. Memadai dirasa dalam jiwa.

Apa yang terjadi tidak mengembirakan pengusaha dan peniaga bendera. Mereka tidak dapat mengaut untung besar kali ini. - 7 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments