Opinion

Saya dan Samad Said, sama tetapi berbeza waktu

Saya terharu mengikuti berita Sasterawan Negara, A Samad Said dikehendaki polis dan polis dapat dia.

Kesnya ialah dia ada sama dalam himpunan mengibar bendera Sang Saka Malaya di Dataran Merdeka malam menyambut kemerdekaan. Dia dilepaskan selepas polis dapat bercakap dengannya.

Justeru polis mengambilnya kerana satu cara unjuk rasa, saya menunggu apakah dia akan didakwa atau tidak. Ada yang menunjuk rasa yang didakwa dan ada yang tidak. Belum diketahui tentang Samad.

Yang mengharu saya atas rakan saya itu, lazimnya yang acap menunjuk rasa ialah anak muda dan bujang. Tetapi dia adalah penunjuk rasa yang acap semasa usia warga emasnya yang lanjut. Semasa lebih 70-an dia turun ke jalan raya dan naik pentas membantah kezaliman.

Saya tiada maklumat tentang kegiatan itu semasa bujang dan mudanya. Semasa saya ikut juga unjuk rasa semasa pra usia warga emas saya, Samad tidak nampak. Sesudah saya tidak turun, baru dia turun.

Samad adalah rakan dekat yang lama. Dia tidak memanggil emak saya Mak Cik tetapi Mak. Itulah gambaran dekatnya semasa saya bujang dan jiran sebelah rumah. Kami ada banyak persamaan tetapi tidak semasa.

Kami sama-sama wartawan yang  pernah bekerja di Utusan Melayu. Masa saya di situ dia sudah berkhidmat di tempat lain. Dia pernah rapat  dengan Ahmad Boestamam semasa mudanya dan Boestamam pula dalam usia pertengahan. Saya rapat dengan Boestamam ketika dia menjangkau usia warga emas.

Semasa saya berambut panjang mencecah bahu, rambut Samad pendek dan nipis. Bila saya berambut pendek,  dia pula berambut panjang.

Saya jual motokar (kereta), naik bas ke tempat kerja atau ke mana-mana. Saya banyak berjalan kaki. Samad jadikan rutin menghantar saya ke pejabat setiap hari. Pernah beberapa kali saya keluar awal bagi mengelakkan Samad menghantar saya ke pejabat. Bila menunggu bas lama, Samad pun datang dan mengambil saya ke pejabat.

Selalu Samad berpesan dari sebelah rumahnya supaya saya jangan pergi dulu, tunggu dia keluar dan dia akan hantar saya ke pejabat. Supaya ia tidak membebankannya, saya beli motokar semula.

Memang Samad kata pada  saya, 'You tak boleh tak ada motokar.'

Tapi kini giliran Samad pula tidak ada motokar dan ke mana-mana naik bas. Ramai pula orang sukarela membawanya ke mana-mana acara. Malangnya saya tidak setempat dengannya, tidak berpeluang menumpangkannya ke mana-mana setelah dia memilih untuk berjalan kaki.

Sebagai jiran, Samad jadi penanda waktu saya. Bila dia  keluar rumah untuk ke pejabat, itu tandanya pukul 9 pagi. Tepat 12 setengah dia balik makan tengah hari. Pukul 1.30 dia keluar bekerja  semula. Antara pukul 10 atau 11 malam sampai semula ke rumah dari pejabat. Kalau jam saya mati, tunggu Samad lalu untuk membetulkan jam.

Dia selalu menerima tamu penulis, sasterawan dan lain-lain makan di rumahnya. Dipastikannya saya mesti makan bersama tetamunya. Dia ulat buku. Saya perlukan novel Inggeris tertentu. Biasanya bila saya tanya judul novel itu, dia ada buku itu dan dia tahu di mana buku itu tersimpan.

Bila saya bergiat  dalam politik, saya jarang jumpa dia. Dia tidak mencebur diri di bidang itu. Bila saya sudah tidak bergiat lagi, Samad pula sibuk ke sana sini naik pentas politik dan pantang ada kegiatan menentang kezaliman dia pasti ada. Dulu dia memerhati dari jauh, sekarang saya pula memerhati dari jauh. – 21 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments