Opinion

Saya hanya seorang wartawan

26 OKT — Saya bukan pegawai akhbar al-Marhum Perdana Menteri Tun Razak seperti yang ditulis oleh pengulas buku saya “Mens Sana Incorpore Sano” di sebuah mingguan dua minggu lalu.

Malah saya tidak pernah menjadi pegawai  akhbar kepada sesiapa. Hubungan saya dengan bapa Perdana Menteri Najib itu adalah hubungan biasa seorang wartawan dengan mana-mana Perdana Menteri.

Mungkin orang menyangka saya pegawainya kerana saya banyak mengulas tentang politiknya sama dengan yang berikan kepada semua Perdana Menteri dan orang-orang politik lain. Mungkin kerana ikut meliputi kunjungannya ke Beijing bagi acara formalisasi hubungan dilomatik China-Malaysia yang banyak diperkatakan masa itu.

Bukan penulis itu saja menyangka saya pegawai Tun Razak. Malah banyak orang yang menyangka begitu dan menyebut di hadapan orang ramai bahawa saya pernah jadi pegawai akhbarnya. Sebenarnya tidak.

Buku bertajuk “Mens Sana Incorpore Sano” yang baru diterbitkan tiga mingggu lalu adalah kumpulan rencana mingguan saya di Harakah yang terdapat dalam pasaran sekarang. Ia adalah tulisan yang tersiar hujung tahun 2011 hingga suku pertama tahun 2012.

Antara isinya adalah tentang penyertaan pertama dalam politik Tun Dr Ismail sebelum dia menyertai Umno. Tun Dr Ismail adalah Timbalan Perdana Menteri semasa Tun Razak jadi Perdana Menteri dan satu-satunya Timbalan Perdana Menteri yang mati semasa dalam perkhidmatan.

Beliau telah jadi menteri dalam kabinet Tunku Abdul Rahman Putra sejak tahun 1955, dua tahun sebelum merdeka.

Tidak ada yang tahu bahawa Tun Dr Ismail pernah menjadi ahli jawatankuasa pusat Hizbul Muslimin yang ditubuhkan oleh Ustaz Abu Bakar Bakir dalam tahun 1948. Ustaz Abu Bakar adalah ulama dari Gunung Semanggol yang apabila membentuk parti politik parti Islam yang pertama itu amat dibimbangi oleh Datuk Onn  Jaafar dengan kata-katanya yang masyhur “Hubaya, hubaya bahaya dari gunung.”

Datuk Onn masa itu adalah pemimpin Umno dan Menteri Dalam Negeri dalam pentadbiran penjajah British.

Hizbul Muslimin mendapat perhatian dan sambutan luar biasa dari rakyat dalam waktu yang singkat. Perjuangannya ialah untuk menuntut kemerdekaan dan menggantikannya dengan negara Islam Semenanjung Tanah Melayu.

Parti ini diharamkan oleh British pada usianya empat bulan, Ustaz Abu Bakar bersama beberapa orang lagi ditahan. Tetapi Dr Ismail yang tinggal di Johor Baru terlepas.

Kita tidak tahu peranannya dalam politik masa itu tetapi apa yang mendorongkan menyertai parti Islam itu sedang beliau tidak diketahui ada latar belakang pendidikan Islam. Padahal Umno mendapat dukungan yang baik dari orang-orang Johor tetapi Dr Ismail tidak menyertai Umno. Dia adalah anak seorang bangsawan. Kebanyakan orang bangsawan Johor adalah menyertai Umno.

Kalau  dia tidak setuju dengan Umno, mengapa dia tidak menyertai Partai Kebangsaan Melayu Malaya pimpinan Dr Burhanuddim Al-hilmi yang mendapat sambutan hebat orang Melayu masa itu.

Ini bererti Dr Ismail sudah menyertai politik sebelum Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak menceburi politik.

Mengapa Ustaz Abu Bakir melantiknya menjadi ahli jawatankuasa pusat partinya?

Juga tidak ramai yang tahu bahawa setiausaha Hizbul Muslimin yang dilantik oleh Ustaz Abu Bakar ialah Tan Sri Yaakub Hitam, abang Tun Musa Hitam. Tan Sri Yaakub adalah Setia Usaha Kerajaan Pulau Pinang ketika Gerakan di bawah Dr Lim Chong Eu mula menjadi Ketua Menterinya.

Kerajaan sedang merancang menubuhkan Memorial Tun Dr Ismail. Kiranya penampilan beliau dalam Hizbul Muslimin tidak disingkap, maka sejarah politiknya tidak sempurna. Arkib Negara mempunyai tanggungjawab besar mencari bahan sejarahnya yang tersembunyi itu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments