Opinion

Selak punggong pada gambar Najib

12 SEPT ― Nampaknya seperti sudah selesai drama selak ponggong pada gambar Perdana Menteri Najib Razak dan memijak-mijak gambarnya.

Budak yang melakukannya bersama ayah bondanya minta maaf menyatakan penyesalan atas tindakan geramnya. Beberapa budak lagi yang ikut memejak gambar sudah berjumpa polis dan memberi keterangan.

Apa yang terjadi itu adalah gelagat anak-anak muda terhadap Perdana Menteri mereka. Perdana Menteri kena terima bahawa rakyat yang dipimpinnya bukan semua menangguk atas semua kata-kata dan tindakannya.

Ada yang mengoyak, memijak, melondeh seluar pada gambarnya. Semua itu tidak manis tetapi adalah untuk memberitahu Perdana Menteri ramai juga orang yang benci kepadanya.

Maka kejadian itu semuanya buruk belaka, tetapi ingatan kepada pemimpin bahawa mereka diperhatikan oleh rakyat. Disamping menyuruh polis mengajar rakyat yang seperti itu, maka Perdana Menteri juga boleh belajar dari kejadian itu mengapa ada orang buat begitu padanya.

Nabi-nabi dulu apabila ada indakannya terlanjur ada malikat datang menyamar sebagai manusia memberi kiasan. Nabi Daud a.s. didatangi dua orang minta penghakimannya iaitu yang seorang mengadu betapa kambingnya yang cuma seekor hendak diambil oleh yang seorang lagi sedang dia sudah ada 99 ekor kambing. Adakah ia adil?

Jawab baginda, “Tidak patut.” Kejadian itu menyindir Nabi Daud yang ada 99 isteri hendak mengambil seorang perempuan lagi bagi dijadikan isterinya sedang perempuan itu ada hubungan dengan seorang laki-laki lain. Sebagai Nabi baginda cepat menangkap sindiran itu.

Nabi Yunus tanpa arahan Allah meninggalkan umatnya yang menentangnya. Nabi itu diuji dengan dibuang ke laut bagi menyelamatkan bahtera yang lebih muatan dan baginda ditelan jerung berhari-hari hinggi dimuntahkan dari perut ikan di wilayah yang ditinggalkannya. Nabi Yunus menyedari kejadian itu adalah kesilapannya sebagai Nabi. Baginda bertaubat.

Perdana Menteri Najib bukan nabi. Tidak malaikat datang menyindirnya. Tetapi Allah kirim budak-budak menghina gambarnya. Disamping dia merestui jentera kerajaan bertindak atas budak-budak itu, maka dia juga patut memikir mengapa ada rakyat yang dirasakan sudah diberi segala-galanya boleh menghinanya demikian?

Mengapa di bawah pentadbirannya ada rakyat kurang ajar begitu? Pemimpin akan ditanya mengapa ada rakyat jadi begitu? Roh Najib selamat jika jawapannya diperkenan Allah. Jika jawapannya mengarut, dia akan dibalun malaikat nanti.

Beberapa bulan sebelum budak-budak itu menghina gambar Najib, sekumpulan orang berhimpun berpetang-petang menonggeng ponggong ke rumah Ambiga Sreenevasan, ketua Bersih.

Semua Umno, pembesar-pembesar dan pecacai seronok terhadap menonggeng ponggong itu. Sikap pentadbiran seolah-olah berkata, “Padan muka kami Ambiga!” Ada yang suruh cabut kerakyatannya.

Ada rakyat di bawah pentadbiran Najib yang berperngai begitu.

Sukakah Najib dan penyokong Najib atas perbuatan itu?

Najib biasanya diam. Kalau batu bersuara, bersuaralah Najib.

Tidakkah kerja nakal budak-budak terhadap gambarnya itu satu ingatan Allah supaya kerajaan Najib bermuhasabah terhadap pemerintahannya betapa longgarnya akhlak orang di bawah pemerintahaannya.

Yang suka Najib pun tidak berakhlak dan benci kepadanya pun tidak berakhlak juga.

Jangan sampai jawapan kepada masalah yang dihadapi itu adalah natijah dari pemimpin dan kerajaan yang tidak berakhlak.

Jangan lihat saranan saya sebagai mengutuk Najib, tetapi lihatkan sebagai ingatan. Rosak dunia jika dipenuhi oleh pengampu. Biar ada orang ― seorang dua ― sedia mengingatkan sesama saudara manusianya.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments