2 DIS ― Pakatan Rakyat, kata kajian Prof Datuk Shamsul Amri, jika pilihan raya umum ke-13 diadakan sekarang hampir pasti beroleh 70 kerusi sekalipun dengan majoriti yang nipis.
Barisan Nasional tetap berkuasa tetapi kerusi yang pasti setakat ini hanya 120 saja. Ia menang tetapi kerusinya belum lagi dapat menyamai pencapaiannya dalam PRU12 iaitu 140. 24 kerusi lagi kelabu.
Setakat kajian sehingga bulan September itulah yang BN dapat capai sekalipun ia melakukan segala-galanya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hampir setiap hari menjelajah semua pelusuk negara, mencurahkan duit seperti hujan lebat, dengan semua sokongan media dan kaki tangan kerajaan pimpinannya belum terjamin meraih pencapaian Tun Abdullah Ahmad Badawi pada PRU 2008 dulu.
Mungkin ia dapat tawan baki 24 kerusi yang dikatakan kelabu itu, tetapi setakat September, dia belum dapat mengatasi prestasi buruk Abdullah sekalipun dia mendapat sokongan terbuka dari Tun Dr Mahathir Mohamad.
Abdullah tidak mendapat sokongan Dr Mahathir. Hari-hari dia dicerca oleh Dr Mahathir. Tentangan Dr Mahathir itu dikatakan antara yang memburukkan pentadbiran Abullah.
Najib diberi sokongan penuh oleh orng tua itu, namun pencapaian Najib mengikut kajian Ulung itu belum sampai apa yang Pak Lah dapat.
Atas prestasi buruk Pak Lah, lalu Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin gulingkan dia dengan cara yang hina. Dengan retorik transformasi menggantikan retorik Islam Hadhari, Najib belum lagi dapat sokongan yang lebih baik dari Pak Lah.
Apa yang Najib dapat setakat ini bukanlah hasil transformasi dalam semua perkara, tetapi ia bertahan setakat ini justeru mencurahkan duit yang sebanyak-banyak kepada rakyat yang laparkan duit tanpa perlu berusaha.
Apa yang Najib buat itu jauh lebih lemah dari apa yang Kapten Sir Francis Light buat ketika dia membuka Pulau Pinang kira-kira 300 tahun.
Kaptan Light setibanya ke Pulau Pinang menembak dengan meriam duit syiling ke belukar. Orang Melayu Pulau Pinang yang mahukan duit itu terpaksa menebang pokok besar dan menebas rumput liar bagi mendapatkan duit itu.
Light itu adalah penindas orang Melayu, tetapi dia mengajar orang Melayu, siapa mahu duit dan mahu makan mest berusaha membersihkan belukar dan hutan. Rezeki tidak mungkin datang menggolek tetapi mestilah dicari.
Seburuk-buruk Kapten Light, dia ajar orang Melayu bekerja. Dia tidak galakkan orang Melayu minta sedekah, menadah tangan meminta-minta seperti yang Najib cuba jadikan kepada rakyat jelata semua lapisan.
Prof Datuk Syamsul Amri mengagak, prestasi Najib mungkin meningkat dalam bukan Oktober dan November membandangkan pelulusan Bajet 2013 dan janji curahan BR1M 2.0.
Ini bererti kebarangkalian meningkat itu bukan kerana kejayaan program transformasi, tetapi gara-gara menabur duit yang sebanyak-banyak. Rakyat yang digula-gula oleh kerajaan Najib itu bukan sekadar orang awam yang berpendapatan rendah, bahkan pegawai awam yang dikira cerdik dan bernasib baik dibandingkan rakyat kais pagi makan pagi itu, juga diumpan dengan bonus dan macam-macam lagi.
mri tidak mengatakan BN sudah kalah dan akan kalah, tetapi telah mendedahkan bahawa sekalipun BN akan mempertahankan kuasanya, dengan segala gahnya Najib lebih uzur dari Pak Lah.
Dia mungkin kekal dan dia mungkin tumbang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments