Opinion

Sikitnya pelajar Australia di sini

9 OKT — Saya tidak terkejut jika sikit sangat pelajar asing belajar di Malaysia dibandingkan dengan pelajar-pelajar Malaysia di beberapa negara tumpuan seperti United Kingdom, Amerika, Australia, Kanada dan lain-lain.

Sekaliannya tentu ikut pilu atas kepiluan Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi, Datuk Saifudiln Abdullah mengenangkan keadaan itu di Parllimen baru-baru ini.

Katanya, dibandingkan dengan jumlah pelajar Malaysia di Australia kini sekitar 20,000 orang, maka pelajar Australia di sini sekadar 200 orang. Saya tidak mengikuti perbandingan bagi England dan Amerika. Dipercayai tidaklah ada apa-apa ajaibnya.

Jika perbaningan dalam bidang pendidikan dengan negara-negara luar itu ibarat kerjasama dalam bidang perdagangan dengan sesebuah negara, maka jelaslah hubungan pelajar dari Malaysia dengan Australia itu amat tidak seimbang.

Jika pelajar kita ke sana sekitar 200 atau 300 orang saja, seolah-olah perkembangan pelajaran di negara kita kira-kira sama sederjat saja. Apabila perbandingan itu 200 dengan 20,000, maka ia memberi gambaran komannya mutu pelajaran kita.

Kalau nilai pelajaran kita elok, mengapa sampai 20,000 orang mencari pelajaran ke Australia? Mengapa tidak belajar di sini saja? Mengapa tidak disediakan produk pelajaran yang menarik rakyat kita sendiri?

Perbelanjaan belajar di luar bukanlah kecil. Dipercayai jauh lebih besar dari dalam negeri. Banyak mana duit kita mengalir ke luar? Dan apa kesannya kepada ekonomi kita?

Biarkanlah semua persoalan itu, tidak usaha dijawab.

Tetapi kalau pelajar kita berduyun-duyun belajar ke luar negeri, bagaimana hendak mengajak orang luar belajar di sini. Orang keluar begitu ramai kerana mereka tidak dapat yang mereka mahu dalam negeri.

Orang Australia misalnya boleh bertanya, kalau beribu orang Malaysia belajar di sana, maka mengapa pula mereka hendak datang ke sini? Maka mungkin itu persepsi mereka.

Dan mereka pun tentu mendengar tentang anggapan profesor kita antaranya dikatakan bertaraf professor kangkung saja. Kalau tenaga pengajarnya bertaraf kangkung, maka apakah tidak mungkin pelajar yang dikeluarkannya bertaraf taugeh pula?

Tentulah ibu bapa Australia itu tidak mahu anak-anak mereka balik sebagai pelajar taugeh. Mereka mahu anak-anaknya balik menjadi manusia yang baik.

Negara-negara luar punya kedutaan di sini. Tentulah duta-duta itu memberikan maklumat kepada rakyatnya tentang mutu pelajaran, kebebasan akadamik di university, peluang dan kemudahan belajar di sini dan sebagainya.

Apa apabila mereka mendengar kisah akta AUKU yang mencengkam kebebasan siswa dan tenaga akadamiknya, maka tentulah ada persepsi guru-guru university dan institusi pejaran tinggi kita macam guru guru sekolah rendah saja.

Tentulah mereka tidak mahu anaknya jadi pelajar dan graduan pasif macam lembu Kedah kalau dihantar belajar di sini.

Mereka tentu ada maklumat tentang perbalahan dalam negeri antara hendak menggunakan pengajian sains dan matamatik dalam bahasa Malaysia atau dalam bahasa Inggeris? Sampai 50 tahun mereka isu bahasa penghantar di sekolah dan universiti belum selesai. Mereka dengar Inggeris diajar sejak darjah satu sekolah rendah hingga ke university tetapi bahasa Inggerisnya lemah.

Maka siapa hendak menghantar anaknya belajar ke sini? Jika mereka hendak menguasai bahasa Inggeris, maka payah mereka ke sini.

Maka yang hendak datang ke sini mungkin pelajar Nigeria dan beberapa negara Afrika lagi. Dengan banyak isu pelajaran yang tidak selesai, maka negara-negara maju terasa kalau mereka hantar anak ke sini sama seperti kita menghantar anak belajar ke Kenya, Uganda atau Pulau Maldives.

Kita tak mahu hantar anak ke sana, maka payah mereka hendak hantar anak ke sini. Kalau kita hendak orang mengaji di sini maka reform dan transform dulu dasar dan mutu pelajaran kita. Kalau kita hantar anak ke New Zealand dan England, maka macam mana orang lain hendak datang ke sini?

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments