20 DIS — Ucapan tahniah buat Teresa Kok yang memenangi pemilihan Jawatankuasa Pusat DAP dan kemudian terpillih pula menjadi Naib Pengerusi DAP.
Ia adalah satu penghormatan kepada perjuangan wanita di Malaysia dan sekalian wanita wajar berbangga dengan pemilihannya. Dan dengan kedudukan itu, kiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya pada PRU13 nanti, Teresa diduga akan duduk dalam kabinet.
Saya tidak menduga seorang gadis muda yang datang ke pejabat saya di pejabat Harakah berbelas tahun lalu adalah seorang pimpinan penting DAP hari ini dan mungkin menjadi seorang tokoh nasional yang ke depan.
Teresa dan seorang wanita lagi datang ke pejabat saya beberapa tahun sebelum dia menjadi anggota Parlimen Siputih. Dia tidak memberitahu saya yang dia adalah aktivis DAP.
Pertama kali saya menemuinya itu, dia meninjau pandangan saya tentang Aung San Suu Kyi, wanita ikon demokrasi Myanmar yang ditahan rumah lebih 20 tahun itu. PAS adakah bersama sekalian pejuang kebebasan demokrasi di seluruh dunia menentang penahanan itu.
Dia mengaku ada hubungan langsung dengan penyokong wanita itu dan ada asas jalan darat melalui Thailand untuk sampai ke tempat tahanannya.
Dia tanya saya apakah saya mahu menemuinya? Jika saya mahu, dia boleh mengatur perjalanan bersama kedua wanita itu pergi mengunjunginya melalui jalan darat. Ia mungkin mengambil masa seminggu untuk pergi dan seminggu lagi untuk balik.
Saya sendiri tertarik untuk pengembaraan seperti itu, untuk mencari pengalaman dan untuk melihat desa dan hutan rimba wilayah-wilayah yang dilalui.
Kalau saya setuju, dia sedia untuk menyusun perjalanan dan mengatur pertemuan itu. Saya setuju pada dasarnya. Dia minta saya menghubunginya jika saya bersedia.
Kemudian datang fikiran saya telah masalah perjalanan lama dengan wanita-wanita muda pula. Banyak fitnah yang menunggu. Terutama Teresa itu orangnya amat peramah. Oleh kerana saya rasa saya tidak cukup merdeka dan tidak terdaya mendekati fitnah, saya tidak menguhunginya.
Satu hari saya menghadiri pertemuan dengan belia NGO di sebuah rumah dekat dengan pejabat DAP di Petaling Jaya. Saya jumpa Teresa di situ. Jika saya tidak silap, dia tinggal di rumah itu. Masa itu baru saya tahu dia aktivis muda DAP.
Dalam satu seminar di Universiti Malaya, saya jumpa lagi dia di situ. Kata Syed Azman, pensyarah di situ masa itu, Teresa adalah penuntutnya. Syed Azman adalah ADUN PAS Terengganu sekarang.
Kemudian dia menjadi calon DAP di Parlimen Siputih. Dia menang. Lepas itu kerap saya menemuinya di Parliman. Semasa Ustaz Fadzil Noor menjadi ketua pembangkang di Parlimen, Teresa selalu ada di pejabat ketua pembangkang itu.
Dia memang peramah, sentiasa senyum, mudah diajak berbincang. Dan pandai pula bergurau. Kira-kira itulah watak yang esok untuk menjadi wakil rakyat kerana caranya itu mudah menarik pelanggan.
Bila tiba waktu solat kami selalu solat di bilik Ustaz Fadzil itu. Bila Teresa ada dia melihat kami solat.
Bila tiba waktu solat ketika sedang berbual dengannya, saya berita dia saya hendak solat sebentar dan dia boleh duduk di situ dulu.
Kerana dia seorang yang senang berkawan, saya tidak terasa segan solat semasa dia ada, dan pernah bergurau, “Teresa mari kita solat bersama!”
Sambil senyum dan bersahaja dia menjawab, “You solat dulu.”
Kami tergelak. “I sungguh nak you solat sama.”
Jawabnya, “Tak apa you solat dulu. Nanti I solat pula...”
Sudah lama tidak ke Parlimen dan tidak bertemu dengannya. Semasa Kongres DAP di Pulau Pinang itu dia jadi orang penting mengendalikan persiapan Kongres. Sekarang dia sudah jadi Naib Pengerusi DAP dan pengerusinya ialah Karpal Singh.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments